Ulasan: Bohemian

Bloged in ulas buku by john norafizan Tuesday August 12, 2008

Bohemian adalah karya kedua (yang ketiga jika Vendetta, satu daripada 3 cerita dalam novel Gurindam Jiwa diambil kira) penulis berbakat Imaen yang diterbitkan oleh penerbitan Jemari Seni.

Sememangnya aku telah menunggu novel ini sejak membaca Labyrinth lagi. Pada aku, Imaen adalah salah seorang penulis yang memiliki seni penulisan yang lain daripada kebanyakan penulis di Malaysia.

Lalu, bila Bohemian berada dalam tangan dan aku membacanya kali kedua dengan penuh kritis, aku dapat merasakan (seperti telahan ketika membacanya kali pertama) bahawa Imaen cuba lari dari rentak novelnya yang terdahulu. Tidak ada lagi ala-thriller Labyrinth. Atau debaran Labyrinth. Tetapi untuk mengatakan bahawa Bohemian kehilangan identiti ‘kepolisan dan jenayahnya’ berbanding novel terdahulu, ia adalah salah sama sekali. Jenayah itu tetap ada, cerita kepolisan itu ada, tetapi sukar untuk membandingkannya dengan labyrinth.

Bohemian adalah cerita tentang Fadlan yang bertemu dengan Nadira dalam keadaan tidak sengaja. Kedua-dua punya karakter yang berbeza, seorang pemuzik jalanan dan seorang lagi adalah peguam. Seorang kaki rambu, seorang lagi elitis. Pada masa yang sama ada juga cerita tentang Suhaimi yang menyaksikan satu pembunuhan ketika menunggu kekasihnya di taman. Rentetan-rentetan cerita antara Fadlan dan Nadira dan pembunuhan yang disaksikan Suhaimi membentuk cerita Bohemian sehingga ke akhirnya.

Pada aku, Bohemian bukanlah satu cerita yang tidak ada plot. Yang benarnya, Bohemian adalah novel yang mempunyai plot yang tidak linear. Ia penuh dengan sindiran pedas, moment yang manis, dan pengertian berlapis sehingga mungkin ada pembaca yang mengharapkan jalan cerita seperti Labyrinth menjadi sedikit kecewa. Banyak sebenarnya yang ingin disampaikan oleh penulis. Jika membacanya tergopoh-gapah, mungkin pembaca akan ‘tersesat’.

Tapi harus diingat, Bohemian bukan cerita cinta remaja yang santai yang entah apa-apa itu. Bohemian adalah cerita falsafah yang ditulis dalam ruang penceritaan yang santai.

Seperti Aunt Safiyya and the Monastery (Bahaa Taher) dan A River Sutra (Gita Mehta), Bohemian membawa falsafah ketuhanan dan kehidupan yang baik. Bezanya, mesej Bohemian berselindung di sebalik cerita cinta antara Fadlan dan Nadira. Dan inilah yang menjadi kekuatan karya Imaen kali ini.

Tahniah untuk Imaen. Dan kepada peminat novel tanah air, jangan lupa dapatkan novel Bohemian di pasaran.

Buku seterusnya: Bila Nysrah kata tak mahu (Jemari Seni) – Aidil Khalid

Naqiah Khalida – Ku reda atas segala takdir (Must read) – Diya Nordin

Trangenesis: Bisikan rimba ulasan

Bloged in ulas buku by john norafizan Tuesday July 8, 2008

Transgenesis: Bisikan rimba adalah karya kedua yang dihasilkan oleh penulis Amir Hussaini selepas ombak senja. Ia diterbitkan oleh PTS Fortuna publications di bawah genre Fantasi & Fiksyen Sains.

 

Ia mengisahkan tentang pembunuhan misteri yang berhubung kait dengan eksperimen yang menghasilkan percampuran DNA manusia dan DNA lain (dalam kes ini DNA flora – tumbuhan-tumbuhan).

 

Transgenesis bermula dengan kisah pembunuhan tauke balak Hwang Chien Ming di sebuah hutan dengan bersaksikan pekerjanya Razilan. Pembunuhan misteri yang dilakukan oleh gadis bermata dan berambut hijau dan seolah-olah punya kuasa misteri telah menggemparkan masyarakat setelah berita itu tersiar di surat khabar Semboyan Nasional. Pada masa yang sama, kehilangan ‘subjek’ eksperimen di institut Trans-DNA tambah merumitkan keadaan. Pencarian oleh ‘orang kuat’ institut, wartawan yang ingin membongkar misteri pembunuhan ini dan keterlibatan beberapa pihak ‘secara halus’ lagi tambah membuatkan novel ini jadi satu pembacaan yang menarik.

 

Dan misteri demi misteri, sejarah silam yang tidak tersangka membuatkan ia adalah salah satu buku yang wajib berada dalam senarai buku yang harus dibeli pembaca.

 

Pada aku, transgenesis adalah karya terbaik Amir Hussaini setakat ini. Ombak senja memang karya yang bagus, tetapi transgenesis lebih lagi! Dia bijak memainkan plot penceritaan dengan misteri demi misteri yang membuatkan aku, tidak dapat tidak, harus membaca ceritanya sehingga ke muka surat terakhir. Kadang-kadang, bila aku seolah-olah tahu ‘apa yang akan berlaku selepas itu’, dia membuat twist 180 darjah dan membuat telahanku salah sama sekali.

 

Aku rasa benar-benar bertuah dapat mengenali penulis ini lewat kawad YM dan perbualan telefon. Tetapi perlu aku beritahu dahulu, bukannya kerana aku mengenali penulis ini sebagai teman yang membuatkan aku memberikan review yang amat positif. Bukan. Buku ini memang berhak untuk dipuji. Itulah kenyataannya, sungguh!

 

Kita memang perlu ramai lagi penulis yang dapat mempelbagaikan genre lain dari cinta agar dunia sastera tanah air tidak menjadi stereotaip dan akhirnya terkubur begitu sahaja. Bila masyarakat asyik dimomokkan dengan novel-novel yang hanya bermain dengan emosi, tanpa membuatkan pembaca terfikir, ia akan membentuk masyarakat yang tidak mahu untuk berfikir. Macam kebanyakan filem Bollywood…

 

Syabas sekali lagi buat Amir Hussaini dan Trangenesisnya!

 

(Nota: Jangan silap faham, ada juga novel bergenre cinta yang bagus….)

Lagi ulasan Garis-Garis Deja Vu

Bloged in garis-garis deja vu, ulas buku by john norafizan Thursday May 29, 2008

Kali ini dipetik dari forum bicaramuslim.com

 

John Norafizan berjaya mengolah cerita dengan baik.

 

Setiap watak dieksplorasi dengan baik walaupun pada mulanya, saya agak sedikit bosan dengan pengolahan cerita Damien, tetapi kemudian baru saya menyedari kenapa pentingnya pengolahan kisah Damien, seorang kanak-kanak kecil yang baru berusia 10 tahun, tetapi matang dari usianya.

Barangkali pengalamannya menimba ilmu di United Kingdom, berhasil dengan keupayaan penulis untuk menggambarkan kawasan-kawasan di sekitar negara Eropah tersebut dengan terperinci (walaupun tidak sebegitu terperinci, tetapi berjaya menghidupkan susana untuk saya).

 

Jalan cerita banyak benar kejutan, tetapi saya benar-benar tertarik dengan pencarian Suraya yang murtad, memeluk agama Kristian dan kemudian menjadi seorang ateis, yang bertemu kemali titik pertemuan dan mencari semula keredhaan Ilahi.

 

Penulis berjaya menyusun peristiwa-peristiwa cerita dengan baik sehingga saya langsung tidak lost track dengan jalan cerita tersebut walaupun setiap bab bermula dengan kisah berbeza. Sungguh saya merasakan karya ini sangat segar sekali, ibarat membaca Surat Ungu Untuk Nuha tulisan Noor Suraya.

 

Saya sendiri hampir ingin menukilkan tulisan Jalaluddin Rumi, seorang ahli sufi kerana betapa halusnya tulisan itu

 

Ketika aku mendengar cerita cintaku yang pertama,

Aku mula mencari engkau,

Tidak tahu betapa butanya aku,

Pasangan yang bercinta bukan bertemu di satu tempat akhirnya,

Mereka sudah bersama sejak dari azali lagi

 

Teruja benar saya, barangkali ingin mencari karya penulis yang lain selepas ini.

 

* Terasa kagum saya, menyuntik nafas segar membaca novel Melayu setelah sentiasa kerap memegang buku/novel berbahasa Inggeris

Ulasan: Ungkapan Rahsia Hati

Bloged in ulas buku by john norafizan Monday May 19, 2008

Ungkapan Rahsia hati adalah tajuk buku yang diterbitkan oleh penerbitan Fajar Pakeer hasil karya pertama penulis bernama Puteri Imaneisya (PI).

 

Ia mengisahkan tentang gelora kehidupan dan percintaan watak protagonis novel ini, Nurul Izzah. Nurul Izzah digambarkan sebagai perempuan yang diuji cinta bila lelaki yang dipujanya bertukar jadi pengkhianat kasih dan cinta yang mereka pupuk selama ini. Kehadiran beberapa lelaki lain dalam hidup Nurul Izzah (dengan seribu kerenah dan ragam masing-masing) membuatkan dia kadang kala sukar untuk menentukan destinasi kasihnya.

 

Tetapi ketentuan takdir itu adalah milik Tuhan. Bagaimana Nurul Izzah dapat mengakhiri perjalanan kasihnya dan memberikan cinta itu pada yang benar-benar menanti? Dan adakah perjalanan hidup Nurul Izzah itu sendiri dihalang dengan dugaan yang maha berat?

 

Ungkapan Rahsia hati ditulis dan dikembangkan berpaksikan pada tema kekeliruan hati. Plotnya kadang kala boleh ‘melemaskan’ pada orang seperti aku yang tidak pernah diuji sebegini. Tetapi mungkin juga, ia boleh membuatkan sesetengah pembaca mengalirkan air mata kasihan pada watak protagonis.

 

            Tambahan pula, banyak perkara dari buku ini yang boleh diambil dan digunakan dalam kehidupan seharian. Contohnya, tentang tajwid Al-Quran. Sesuatu yang bagus dan baik untuk pembaca.

 

            Aku kira, cubaan novel pertama oleh PI ini boleh dikatakan berjaya. Tetapi aku mengharapkan sesuatu yang lebih baik lagi dari penulis ini untuk novel-novel seterusnya. Aku percaya beliau boleh melakukannya!

 

           

Ulasan: Awang Vampiro

Bloged in apa-apa sahaja, ulas buku by john norafizan Thursday May 15, 2008

Awang Vampiro adalah karya pertama Nizam Zakaria (NZ) bersama dengan penerbit Kaki Novel. Aku harus mengucapkan syabas kepada penerbitan ini (dan juga kepada penulis) yang berani menerbitkan sesuatu yang lain dari yang lain. Sesuatu yang benar-benar baru dalam dunia penerbitan di Malaysia. Mungkin juga sesuatu yang provokatif.

 

Awang Vampiro meriwayatkan kisah lelaki bernama awang yang hidup pada zaman kesultanan Melayu Melaka. Jika kalian mengkaji sejarah tentang pelayaran mengelilingi dunia oleh Magellan, pasti kalian akan terjumpa dengan nama Awang @ Enrique yang dikatakan orang pertama yang sebenarnya mengelilingi dunia (dan bukan Magellan kerana Magellan terbunuh ketika kapal mereka berlabuh di salah satu pulau di kepulauan Filipina). Dan dikatakan juga sebenarnya dia adalah orang Melayu!

 

Inilah karakter yang digunakan oleh NZ untuk membenarkan fiksyennya masuk ke dalam fakta sejarah yang betul.

 

Berbalik kepada cerita Awang Vampiro, kisah ini bukan kisah biasa. Tetapi kisah bagaimana Awang menjadi makhluk penghisap darah (Inggeris: Vampire) dan kehidupan abadinya digunakan untuk menghapuskan kuasa jahat yang didalangi oleh makhluk bernama Ahriman.

 

Penceritaan Awang Vampiro dibahagikan pada zaman dan era yang berbeza (kesultanan Melaka, zaman renaissance di Eropah, zaman sekarang, zaman akan datang). Kisahnya juga berlaku pada dunia parallel bumi (contohnya dunia di mana pada tahun 2005, Singapura masih lagi berada di bawah jajahan Malaya – dan bukan Malaysia!). Ada juga watak Puteri Gunung Ledang, ‘kelahiran’ orang minyak dan pelbagai lagi makhluk mistik pada sepanjang penceritaan.

 

Seperti yang aku katakan tadi, mungkin ada perkara-perkara yang sedikit ‘dibimbangkan’, tetapi NZ berjaya mencantumkan sesetengah kewujudan ‘hantu-hantu’ ini dengan fakta saintifik yang benar-benar membuatkan pembaca teruja. Penceritaan NZ tidak dapat tidak, akan membuatkan sesetengah pembaca menyetujui rasional kewujudan makhluk-makhluk ini pada pengakhiran cerita.

 

Tetapi yang benarnya, aku lebih menyukai bagaimana NZ berjaya memasukkan cerita dan watak fiksyen dalam lipatan sejarah sehingga kadang kala jalur antara keduanya seakan sudah menjadi kabur. Inilah kekuatan sebenar Awang Vampiro. Dan aku benar-benar tabik dengan NZ.

 

Mungkin aneh bila aku katakan bahawa ketika membaca Awang Vampiro, tiba-tiba aku teringat pada karya 1515, Faisal Tehrani. Walaupun kedua-duanya menulis dalam skop yang berbeza, bagai siang dan malam, namun kedua-duanya mengambil latar belakang yang sama. Iaitu semasa Melaka diserang Benggali Putih Portugis sekitar tahun 1511. Dan kedua-duanya adalah fantasi yang digabungkan dengan rentetan perjalanan sejarah.

 

Pendapatku, NZ benar-benar telah berjaya menyelami genre Si-Fi ini dengan begitu baik sekali. Tidak berlebihan jika aku katakan bahawa ini adalah salah satu buku Melayu Si-Fi yang berada pada tahap dan kelas tersendiri.

 

Seandainya ia diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, dan NZ menukar namanya menjadi nama Benggali Putih, aku pasti golongan yang tidak mahu membaca novel-novel Melayu akan berebutan membeli buku ini (maaf NZ, sikap sarkastik ini bukan ditujukan untuk saudara, JN hanya menangguk di air yang ‘jernih’ sahaja! HEHEHE).

 

Aku harap lebih banyak lagi buku-buku menongkah arus seperti ini dijual di pasaran sana. Dan lebih banyak lagi penulis yang berani untuk bereksperimen dengan karya mereka tanpa dibelenggu sesiapa (selagi tidak melanggar akidah). Sesuatu yang membuatkan aku tahu bahawa memang ada sinar harapan dalam dunia penulisan di Malaysia ini. Syukur!

 

Syabas kepada NZ dan Kaki Novel. Awang Vampiro adalah karya yang bermutu dan ditunggu-tunggu!

 

 

 

Ulasan: Relevankah aku dihatimu?

Bloged in ulas buku by john norafizan Monday April 28, 2008

Relevankah Aku Di Hatimu A.K.A RADHA adalah satu lagi e-novel yang begitu diminati suatu ketika dahulu di alam maya dan diterbitkan oleh penerbitan Jemari Seni. Inilah adalah hasil karya pertama versi cetak oleh pelajar kejuruteraan yang menggunakan nama RNYSA.

 

Di awal-awal bab pembacaan, aku sudah mulai ketawa seperti orang gila. Aku tidak tahu sama ada aku yang gila atau buku ini yang gila. Bahasa santainya cukup mempesonakan. Dan jenaka sinisnya yang diadun dengan terma-terma saintifik cukup ‘perfect’ sehingga aku sanggup meneruskan pembacaan.

 

Ia mengisahkan tentang kisah seorang gadis bernama Akasyah sejak dari zaman persekolahan sehinggalah menjangkau lewat pengajian universiti di Jepun. Akasyah berkawan baik dengan Carl Duke Adam sambil meminati (dalam diam) seorang pelajar lelaki lain bernama Ammar. Kisah seperti cinta tiga segi yang membawa aku pada kenangan di persekolahan dahulu.

 

Tambahan pula dia menggunakan latar belakang Taiping dengan sekolah SERATAS (itu musuh sekolahku dahulu!) dan sedikit menyentuh MRSM Taiping sebagai latar penceritaan. Teringat aku ketika zaman bermain bola sepak dan ragbi dahulu. SERATAS adalah musuh sekolahku dan MRSM Taiping adalah musuh SERATAS!

 

Apa pula aku merepek ni?

 

Kembali pada ulasan, RNYSA cukup pandai mengadun elemen-elemen yang menghiburkan tanpa melalaikan pembaca. Untaian watak dan perjalanan cerita juga berkembang menjadi lebih serius seiring dengan kehidupan mereka yang semakin besar. Banyak teladan dan nasihat yang diselitkan membuatkan ia bukan sekadar kisah cinta murahan. Petikan ayat-ayat Al-Quran, hadis dan kisah-kisah nabi dan sahabat membuatkan RADHA menjadi begitu istimewa.

 

Mungkin aku sudah cukup terlewat membuat ulasan ini kerana RADHA sudah lama berada di pasaran. Kepada yang sudah membacanya, aku tahu mereka memahami apa yang aku cuba sampaikan.

 

Kepada yang belum memiliki RADHA, tunggu apa lagi? Dapatkan RADHA hari ini juga!

 

P/S: Semenjak dua menjak ni, aku banyak mengulas buku disebabkan sedang membaca buku-buku yang dibeli ketika di pesta buku tempoh hari, aku cuma mengulas untuk buku-buku berbahasa Malaysia sahaja, buku-buku berbahasa Inggeris yang aku baca semua mungkin ‘reserve’ untuk blog Inggeris yang terbengkalai sampai sekarang uhuhu!

 

 

Garis-Garis Deja Vu: Ulasan

Bloged in garis-garis deja vu, ulas buku by john norafizan Wednesday April 23, 2008

Dari Azeel via emel

aku mula membaca karya John Norafizan dengan novel keduanya ‘Tunjukkan Aku Satu Bintang’  dan sesuatu yang berjaya memancing ku untuk menghabiskan novel itu adalah kekuatannya dalam mendalami watak-watak di dalam bukunya dan berjaya menggambarkan peristiwa yang berlaku dengan jelas.

Dan aku juga seolah-olah terkejut dengan kehadiran watak antagonis yang paling terkesan pernah aku temui sepanjang aku membaca novel-novel berbahasa Melayu. Yang aku maksudkan adalah Father Thomas Rodriguez, yang jelas membuat kita rasa gelisah dengan segala tindak-tanduknya yang melampaui batas kemanusiaan. Dan kemudiannya aku semakin teruja untuk mencari novel pertama John, Sempadan Tanpa Seri yang jelas terlalu sukar untuk mendapatkannya. Tanpa aku jangkakan, sebenarnya Father Thomas Rodriguez sudah pun wujud di dalam novel pertama itu.

Cuma watak-watak utama di dalam kedua-dua novel tiada kaitan melainkan watak Asnawi yang jalan takdir hidupnya seiringan dengan watak lelaki keparat itu. Seolah-olah Ilahi sudah menetapkan yang Asnawi perlu ada bagi mengawasi segala tipu daya dan sikap kejam Thomas Rodriguez.

Aku mula mengenali John secara dekat apabila aku mula memberi komentar di blog beliau dan kunjungan balas itu merapatkan kami. Seingat aku, ketika itu beliau masih menulis rangka bagi novel ketiga, “Cinderella Cinta”. Dan sesuatu yang menarik perhatian, John seolah-olah menulis sesuatu yang dekat di hatinya, sama ada mungkin watak-watak itu wujud sepertimana wujudnya Manchester dan Johor Bahru di dalam kesemua novel-novelnya.

Lalu setelah keluarnya novel ketiga itu, aku jadi teruja untuk bertanya, apakah novel seterusnya. Jelas, John menjawab yang dia ingin menyelesaikan apa yang ada seolah-olah tergantung di dalam novel-novelnya. Dan seingat aku sebelum munculnya ‘Garis-garis Deja vu’ di pasaran, aku yang jelas sudah tidak sabar menunggu bertanya apakah latar belakang novel terbarunya itu. Dan aku begitu terkejut, bila dia mengatakan novel ini masih berkisar tentang Father Thomas Rodriguez lagi!

Seperti novel-novel terdahulu John, dunia seperti tidak lagi aku hiraukan lagi dan untuk ‘Garis-garis Deja vu’, aku hanya memerlukan kurang lebih 4 jam untuk menghabiskan bacaan. Dan aku membuat kesimpulan begini : John akhirnya berjaya menamatkan satu trilogi penulisan yang mungkin sudah dirangkanya sejak awal lagi dengan penuh bergaya.

Sesuatu yang menarik dalam ketiga-tiga novel ini, walaupun mempunyai jalan cerita dan watak-watak yang berlainan, namun kesemuanya menemukan kita pada satu titik permulaan yang nyata. Semuanya menjerumuskan pembaca untuk memahami dan mengenali watak Father Thomas Rodriguez dengan lebih terperinci.

Hubungannya bukan hanya beberapa watak-watak utama masyarakat Malaysia (di England) tetapi di dalam ‘Garis-garis Deja vu’, kebinasaannya itu melepasi sempadan dan bersifat antarabangsa.

Bagi sesiapa yang belum lagi membaca karya-karya John, kamu masih lagi boleh membaca novel terbarunya ini tanpa merasa ketinggalan kerana masih tidak membaca karya-karya terdahulu. Setiap novelnya berdiri tersendiri di atas watak-watak yang ada. Dan aku pasti jika sesiapa yang mula mengenali John apabila membaca ‘Garis-garis Deja vu’, pasti akan mencari ‘Tunjukkan Aku Satu Bintang’ dan ‘Sempadan tanpa Seri’.

Mengulas kepada ‘Garis-garis Deja vu’ banyak unsur-unsur baru yang diceritakan oleh John.

Bukan sahaja soal percintaan yang lain dari cinta yang pernah kamu temui dari penulis-penulis yang lain. Cinta terhadap Tuhan itu dinyatakan dalam watak Suraya yang sudah kehilangan arah dalam mencari kebenaran dan kekuasaan Ilahi. Tentang seorang Muslim yang telah lama murtad atas nama cinta, dan terus beralih kepada Kristian, seterusnya hilang punca lalu menidakkan kuasa yang Maha Esa.

Dan dari penceritaan secara monolog yang disampaikan oleh John, kita akan merasakan bagaimana resah gelisahnya seorang manusia yang hanya memikirkan tentang keresahannya tanpa sebarang kepercayaan. Kerana beberapa rentetan yang berlaku di sepanjang hidupnya, dia kini dalam kesesatan.

Cinta juga menjadi persoalan utama bagi watak Ashraf yang terhimpit dengan kisah cintanya di masa lampaunya yang membuatnya rasa cukup bersalah dan cuba menebus semua kesilapannya dalam menangani permasalahan perkahwinan pertamanya dahulu.

 Maka bermulalah pengembaraan Ashraf ke tanah tandus kering bumi Jordan untuk mencari kepastian dan jawapan atas segala teka-teki atas nasib bekas isteri pertamanya yang ditinggalkannya. Bagaimana kesalnya dia melepaskan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah.

Cinta yang terlarang yang menjadi kekesalan yang besar oleh seorang isteri juga menjadi inti pati Garis-garis Deja vu . bagaimana rasa kekesalan kerana berlaku curang membuatkan seorang isteri mencari si suami yang entah menghilang ke mana.

Dan bagaimana cinta itu sendiri tidak mengenal batasan bangsa apabila Nini dan Numair dipertemukan dalam satu situasi yang penuh ketegangan akibat keganasan antarabangsa yang semakin menular di zaman ini. Begitu unik cinta yang terlahir begini, dan bagaimana dilema Nini yang tidak mampu membalas cinta itu kerana dia sendiri belum pasti tentang untung nasib diri sendiri dan bayi dalam kandungannya.

 Dan perlu aku tabik kepada John kerana hubungan Nini dan Numair ini adalah kekuatan bagi novel ini dan aku menghayati gerak rasa cinta tanpa suara yang harus tunduk kepada keadaan yang berlaku di sekeliling mereka.

Terlalu sarat John mencipta kisah-kisah cinta dalam ‘Garis-garis Deja vu’.

kisah anak kecil berusia 10 tahun, Damien yang terlalu mengharapkan kasih sayang ibu yang sedang koma di hospital dan perhatian ayahnya yang telah menghilang diri. Dan atas dasar mencari belaian ibu dan ayahnya, Damien dan Jenny telah mencari jalan untuk menjejaki ayahnya.

Bukan sahaja watak Damien ini sahaja, kita juga dipersembahkan dengan watak Sulaiman yang turut mencari ayah kandungnya yang tidak pernah dia temui seumur hidup selepas Ashraf diwasiatkan oleh datuknya untuk membantu anak malang itu. Dan sesungguhnya pelbagai bentuk cinta yang tersurat di dalam ‘Garis-garis Deja vu’ dan setiap satunya mempunyai kekuatan sendiri. Dihuraikan dengan begitu teliti dan hidup.

Apa kekuatan novel ‘Garis-garis Deja vu’? aku kira, secara dasarnya, penceritaannya adalah elemen kekuatan yang utama. Kisah-kisah yang berlaku di dua benua, tiga negara digarap begitu baik dengan setiap watak utama berpeluang bercerita secara monolog tentang apa yang difikirkan, apa yang dirasakan.

Ashraf, Nini, Damien dan Suraya menunjangi keseluruhan cerita dalam novel ini, dibantu dengan kehadiran watak-watak sokongan yang menguatkan penceritaan itu. Dan dengan beberapa persoalan cinta berjalan serentak, kita jadi tidak bosan dan tidak sabar untuk mengetahui peristiwa yang akan terjadi.

Dan yang paling mendebarkan apabila peristiwa ketika di dalam pesawat yang aku kira sesuatu yang terlalu baru dalam penulisan novel di Malaysia. Mungkin agak berlebihan jika aku katakan John sudah mencapai tahap novel antarabangsa, tetapi babak-babak itu cuma hanya akan kita jumpa di dalam novel-novel ciptaan Robert Ludlum atau Tom Clancy.

Seperti yang aku perkatakan tadi, pelbagai kisah cinta dipersembahkan. Tidak seperti novel-novel lain yang hanya memusatkan perhatian pembaca kepada satu kisah cinta utama sahaja, novel ini sebaliknya memperkenalkan beberapa kisah cinta yang berkisar tentang cinta dan kerinduannya, tentang cinta dan pengorbanannya serta cinta dan pencariannya.

Jangan pula pembaca mengharapkan adanya ungkapan-ungkapan cinta yang terlalu melankolik, ianya sukar untuk kamu cari dalam novel ini. Kisah di mana kita diajak untuk berfikir betapa realiti dalam bercinta itu adalah sesuatu yang harus difahami dan dikupaskan secara ilmiah. Ini adalah kekuatan kedua yang harus ditimbangkan untuk membezakan penulisan John yang begitu kreatif.

Kesinambungan kisah ini yang bermula dan berlaku di sekitar Manchester semenjak wujudnya Father Thomas Rodriguez di sana dalam ‘Sempadan Tanpa Seri’, hingga membawa kepada pengembaraan Ashraf yang cuma pertama kali menjejak kaki di bumi Inggeris, merupakan kekuatan ketiga novel ini. Dan bagi aku yang mengikuti novel-novel terdahulu, ini merupakan pengembaraan terakhir yang harus ditempuhi.

Makanya, ikatan antara ‘Sempadan Tanpa Seri’ dan ‘Tunjukkan Aku Satu Bintang’  dipererat lagi dengan munculnya ‘Garis-garis Deja vu’. Ini aku namakan keseronokan dan keterujaan apabila membaca, seperti mana berlaku kepada peminat setia siri ‘Harry Potter’. Kekuatan yang hanya akan dirasakan oleh pengikut setia John Norafizan dan akan turut dirasai oleh peminat-peminat barunya nanti.

Secara keseluruhan, ‘Garis-garis Deja vu’ membawa kita mengembara ke seluruh pelosok dunia, mengenali kebudayaan yang wujud di merata dunia. dan ianya bukan hanya menghasilkan unsur cinta yang berbeza, juga mempunyai unsur mistik yang membawa kita menyedari yang setiap apa yang berlaku itu sesungguhnya adalah di bawah kekuasaan Nya. John masih lagi mahu membuka mata kita tentang konsep mengenali Allah dengan sudut pandangannya yang penuh firasat.

Tahniah atas kejayaan ini, dan teruslah melahirkan sesuatu yang berbeza dan tidak terbelenggu dengan penulisan arus perdana.

 

Nota: Azeel telah menutup blognya – datang dan menghilang. Kata Azeel, ada sesuatu yang hilang sehingga tidak mampu menulis lagi. Tetapi sebelum itu dia telah berjanji untuk mengulas Garis-Garis Deja Vu dan petang semalam, dia menghantar ulasan ini

Lili buat najah:ulasan

Bloged in ulas buku by john norafizan Tuesday April 22, 2008

Lili buat Najah (LBN) adalah karya pertama Nazurah Aishah yang dihantar secara e-novel di salah satu forum di internet tidak lama dahulu. Ia telah mengumpul ramai pengikut dan ‘die-hard fan’ sebelum diterjemahkan ke versi bercetak beberapa minggu yang lalu. Ini adalah satu testimoni di mana penulis-penulis blog atau e-penulis adalah entiti yang tidak boleh diabaikan dewasa ini kerana mereka seperti permata yang hanya menunggu untuk digilap. Dengan saluran yang betul, tidak mustahil karya mereka boleh diterbitkan dan menjadi ‘best-seller’ melebihi karya penulis-penulis sedia ada.

 

LBN mengisahkan hubungan perkahwinan sembunyi-sembunyi antagonis novel ini, Tasha dengan Najah yang belajar di luar negara (England! Manchester! Yea!). Mereka balik ke tanah air dan terpaksa berlagak seperti tidak ada apa-apa yang berlaku di antara mereka. Semuanya dilakukan demi menyembunyikan perkahwinan mereka dari keluarga Najah, lebih-lebih dari ibu Najah, Puan Seri Tunku Helena Tunku Ariff Bendahara (PSTHTAB) yang ku kira adalah protagonisnya.

 

Segala-galanya semakin rumit bila PSTHTAB mahu menjodohkan Najah dengan menantu pilihan hatinya, Farah. Farah pula yang ditonjolkan sebagai wanita ‘tergedik-gedik’ cuba mengambil hati Najah dengan bekerja di syarikat milik bapa Najah. Keadaan menjadi kompleks bila Tasha pula telah diambil bekerja terlebih dahulu di syarikat yang sama.

 

Adakah PSTHTAB akan menerima Tasha sebagai menantu? Apa yang berlaku di antara hubungan Tasha dan Najah yang kadang-kadang bergelora? Adakah lagi kepedihan yang harus Tasha tempuhi demi cintanya yang agung pada Najah? Apakah ‘kegilaan’ yang dilakukan Najah demi untuk melihat Tasha bahagia?

 

LBN adalah bacaan santai/sedih tetapi lebih baik daripada novel-novel cinta remaja/dewasa santai/sedih yang sudah banyak di luar sana. Ia memperlihatkan kematangan dan kepandaian penulis dalam menggarap genre ini agar tidak terjatuh dalam kisah-kisah sinetron Indonesia yang merapu-rapu.

 

Aku rasa tidak rugi membacanya. Ada sesuatu yang akan membuatkan rasa terharu menggaru-garu di hati. Oh! Ya, aku terlupa satu perkara, jika anda seorang yang sensitif, anda pasti mahu menyediakan tisu untuk mengesat air mata yang akan keluar nanti. Hehehe!

 

Syabas kepada Nazurah Aishah. Semoga beliau akan terus menulis novel-novel yang menggetarkan perasaan pada masa hadapan. Dan syabas juga kepada Jemari Seni kerana telah berjaya mencungkil bakat seorang lagi penulis berpotensi besar seperti beliau.

 

 

 

 

CHANTEK yang cantik

Bloged in ulas buku by john norafizan Wednesday March 26, 2008

Wangi bunga dicipta oleh cinta,

Cahaya pun terbentuk,

Dengan tipis gemerlapan bintang,

Ramahilah rumput di halaman,

Menyilang salam keakraban,

Sulam kembali kerawang putus benang,

Jemari cantikmu bukan kerana butiran permata,

Berilah senyuman,

Oleh bersihnya iman ibunda,

Putera puteri terasuh,

Ditabiri takwa,

Bunga kasihpun tumbuh,

Panca warna,

Berterbanganlah debunga,

Menumbuhkan benih asuhan,

Dibentengi ampuh jiwa.

Negara hati yang cantik,

Kita syukuri,

Menikmati keindahan,

Milik amanah-NYA,

Demi waris bangsa!

 

(Siti Zainon Ismail)

 

CHANTEK yang cantik! CHANTEK adalah penerbitan yang diusahakan bersama oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Ia adalah sebuah personafikasi terhadap masyarakat di Malaysia yang berbilang bangsa. Ia bukan sekadar buku semata-mata. Ia sebenarnya adalah memoir yang manis!

 

Penyampaian CHANTEK merupakan gabungan tiga cabang seni yang berbeza: Penintaan prosa, kreatif reka bentuk dan juga fotografi yang penuh warna-warni seni yang meninggalkan kesan di hati. Ada lapan golongan khusus yang difokuskan di dalam CHANTEK iaitu; kanak-kanak, keluarga, wanita dan gadis, Orang kurang upaya (OKU), Orang papa/pengemis, Mangsa bencana alam, NGO dan warga emas.

 

Pemerhatian dan foto-foto yang diabadikan di dalam CHANTEK di sulami dengan kata-kata sajak yang menyentuh hati; dan ada kalanya membuatkan kita tersenyum. CHANTEK juga membuatkan kita berfikir, bagaimanakah kita boleh mengenali, mencintai dan mendekatkan diri dengan Pencipta?

 

Aku amat bertuah untuk mendapat senaskhah CHANTEK, kerana menurut Pengarah projek CHANTEK, saudara Asrul Muzaffar, ia masih lagi belum dilancarkan dan dipasarkan di kedai-kedai buku di seluruh negara. Namun, ia adalah sesuatu yang berbaloi untuk ditunggu, dibeli dan dimiliki.

 

 

Isteriku dan anakku.

Sesungguhnya kamu berdua adalah kurnia

Dari Pencipta sebagai tanggungjawab untukku

Menjaga dan mendidik kalian menjadi

Insan-insan berguna.

 

Isteriku.

Di kala aku melafazkan cinta dan engkau menyambutnya,

Langit terbelah awan

Tersibak mengalirkan hujan kama yang membasahi kita berdua.

Kamulah satu dalam seribu yang aku pilih untuk menjalani

Kehidupan bersamaku.

 

Akan kubawa dikau bersama dalam gembira,

Memapahmu dalam duka

Dan terbang menukik pelangi

Hingga bertemu destinasi abadi.

 

Anakku.

Kamu adalah lambang cinta ayah dan ibu.

Lambang satu kejayaan berkat semangat kental

Yang membolehkan kami mengharungi segala cabaran

Dan dugaan hanya untuk melihat manis senyummu.

 

Kamu adalah kami. Kami adalah dirimu.

 

Persembahan pembacaan konseptual buku coffee-table yang amat menarik. Terlalu banyak yang membuatkan aku duduk berfikir dan merenung jauh setelah usai pembacaan CHANTEK. Benar-benar membuatkan aku terkesan. Benar-benar membuatkan hatiku tersentuh!

 

Nantikan kemunculannya! Tahniah Asrul dan gerak kerja CHANTEK kerana memberikan rakyat Malaysia sesuatu yang amat bermakna seperti ini!

entri 2: Persis sebutir Pasir

Bloged in ulas buku by john norafizan Monday March 24, 2008

Persis sebutir Pasir (PSP) adalah kisah perjalanan sedih watak protagonis novel ini Widya (Kasih) di dalam mengharungi kehidupan yang menjangkau penceritaan lebih dari lima tahun. Secara ringkasnya, Widya adalah gadis manis yang malu untuk memberitahu isi hatinya kepada lelaki yang disukainya, Irwan Zahir. Teman baiknya Farah cuba untuk merapatkan hubungan mereka, namun peristiwa-peristiwa cerita yang berlaku membuatkan hubungan di antara dua teman baik itu menjadi jauh dan renggang.

Konflik perhubungan ini disulami dengan rentetan perjalanan penuh cabaran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ulama Intellectual Forum (UIF), yang diterajui oleh ayah Widya, Dato’ Fahim Muzaffar. Pertembungan antara UIF dengan banyak pihak yang tidak menyukai UIF telah membabitkan Widya sehingga harapan dan cinta Widya tidak lagi sama seperti dahulu.

Aku suka dengan gaya penceritaan manjlara yang matang. Sukar sebenarnya untuk aku menghabiskan sesebuah novel jika aku tidak menyukainya (baik novel Inggeris mahupun novel Melayu!). Tetapi PSP membuatkan aku mahu terus meneruskan pembacaan ini. Ia bukan sebuah cerita roller-coaster tetapi lebih kepada sebuah perjalanan kereta api yang panjang untuk sampai ke destinasinya. Namun engkau sukar untuk turun di perhentian seterusnya kerana pemandangan yang indah di sepanjang perjalanan membuatkan engkau terus terpaku di tempat duduk. Jika sekali imbas, seolah-olah penulis ini telah menghasilkan banyak novel dan PSP ini bukanlah novelnya yang pertama. Tetapi, ini adalah novel beliau yang pertama! Syabas!

Potongan-potongan ayat Al-Quran yang diletakkan di penghujung setiap bab begitu menarik sekali. Satu pembaharuan yang unik dan amat berkesan di hati pembaca. Cumanya, kenapa bab kedua tidak ada ayat Al-Quran tetapi sebaliknya potongan perenggan daripada sebuah lagu?

Aku harap ramai yang akan membeli novel ini. Rugi jika tidak berkongsi rahsia hati dengan novel yang sarat dengan teladan ini. Syabas sekali lagi, manjlara untuk Persis Sebutir Pasir!

48 queries. 0.507 seconds.
Powered by Wordpress
theme by evil.bert