Promosi Mahakarya Cinta

Bloged in penulisan di Malaysia by john norafizan Monday November 17, 2008

Ini adalah promosi buku istimewa kerana ada ‘cameo’ namaku di sini ehehhe… tapi… tapi… watak aku yang sebenar bukan macam tu ye!

Erm… nanti jangan lupa komisyennya ya!

SINOPSIS:

Dia sering dihina kerana memiliki rupa paras yang tidak cantik. Dia sering dipersenda kerana memiliki kulit yang hitam. Namun, dia disayangi ramai kerana sikapnya yang mudah bergaul dan penyayang. Dia disenangi kerana prihatin dan suka mengambil berat akan perihal orang yang mendampinginya. Dialah Zanzilawati Izzrunnie.

Persahabatannya dengan Zuraizee bermula sejak daripada kecil lagi. Mereka membesar bersama-sama di rumah anak-anak yatim Musyawarah. Mereka bersekolah bersama-sama dan juga berkerja di bawah satu bumbung. Namun persahabatan yang telah dibina selama bertahun-tahun itu akhirnya dilanda badai dan ombak ganas hanya kerana kehadiran Wizana di antara Zuraizee dan dirinya. Pelbagai helah Wizana lakukan demi untuk memisah mereka berdua. Pelbagai kata dilemparkan hanya kerana Wizana mencemburui perhubungan kedua-duanya.

Mampukah Zuraizee mahupun Zanzilawati Izzrunnie mempertahankan hubungan mereka yang terjalin sejak bertahun-tahun dahulu? Tegakah Wizana memisahkan kedua-dua mereka? Berputikkah cinta di antara dua orang sahabat ini walaupun kedua-duanya menegaskan bahawa di antara mereka hanyalah mempunyai satu perhubungan iaitu perhubungan adik-beradik.

PrOmO DiAlOg:

“Saya pun akan rindu dengan…” John Norafizan sengaja meleretkan kata-katanya membuatkan hati Zanzilawati Izzrunnie sedikit tenang sebelum keberangkatan.

“Dengan apa?” Zanzilawati Izzrunnie menjegilkan matanya terus menusuk ke bebola mata John Norafizan.

“Pelukan Cik Zila,” sambung John Norafizan semula sambil tersengih.

Meledak ketawa kesemua mereka dalam suasana yang hiba.

“Sekali dalam seumur hidup dan awak takkan dapat lagi pelukan saya selepas ini dan mungkin untuk selama-lamanya tapi… tak aci kerana awak tak membalas pelukan saya. Tak dapat saya nak rasa bagaimana hangatnya pelukan awak.” Galak Zanzilawati Izzrunnie menyakat John Norafizan.

“Nak rasa? Meh saya peluk sekarang.” John Norafizan mula menghampiri Zanzilawati Izzrunnie untuk memeluknya.

Terkejut badak Zanzilawati Izzrunnie lalu dia menjerit kecil dan dia melompat ke belakang, menyembunyikan diri di belakang seseorang untuk menghindari daripada John Norafizan memeluknya. Lingkaran tangannya semakin erat di bahu orang itu.

“Argh! Jangan, JN. Urat akal terputus ke apa? Tolong.” Gelagat Zanzilawati Izzrunnie meledakkan semula ketawa mereka yang melihat insiden itu.

“Ha… tahu pun takut. Tadi nak sangat.” John Norafizan juga tidak kurang galak dengan usikannya. Padanlah dia dengan Zanzilawati Izzrunnie. Kaki pengusik.

“Mengada-ngada. Wek.” Zanzilawati Izzrunnie menjelirkan lidahnya walaupun pelukannya di bahu orang itu masih tidak terlerai.

“Cik Zila, lepaslah bahu saya. Takkan rindu lagi nak peluk?” Begitu dekat suara lelaki itu di pendengaran telinga Zanzilawati Izzrunnie. Pucat wajah Zanzilawati Izzrunnie seketika. Kalau ditoreh dengan pisau pun pasti tidak berdarah.

“Ha… siapa yang aku peluk ni? Maira…” Zanzilawati Izzrunnie memanggil nama Nurhumaira yang juga turut menghantarnya di KLIA pada pagi itu. Tangannya beralih daripada terus memeluk erat tubuh jejaka itu lalu menyebamkan wajahnya ke bahu Nurhumaira.

Entah ke berapa kali ketawa mereka meletus melihat insiden-insiden lucu yang terjadi secara spontan.

“Salah kau juga… pakat rembat saja bahu sesiapa pun tanpa melihat siapa dia yang kau peluk.” Nurhumaira menyedekahkan kata-katanya sambil menyengih.

Kelat wajah Zanzilawati Izzrunnie ketika itu. “Apa tengok-tengok, Hazeef? Seronoklah tu.” Keras suaranya.

Hazril Hazeef melebarkan sengihannya seperti tidak cukup ruang.

“Takkanlah tak seronok dapat pelukan percuma kali kedua? Orang lain sekali tapi saya dua kali. Bangganya… kalau kali ketiga, confirm saya masuk meminang Cik Zila.” Hazril Hazeef tersengih nakal.

“Oi… lebihlah tu. Cikadak betul. Ada hati tu…. kelapa santan.” Terkeluar ayat itu tanpa sedar.

“Bahasa apa tu, Cik Zila? Kasih sayang ke?” Hazril Hazeef masih tidak mahu keluar dari kurungan gurauan.

“Banyaklah kau punya kasih sayang,” balas Zanzilawati Izzrunnie selamba.

Sekali lagi dan lagi ketawa mereka pecah.

Muammar dan Zuraizee hanya menggeleng kepala melihat tingkah Zanzilawati Izzrunnie yang cukup menghiburkan hati.

Sekejap untuk berfikir

Bloged in penulisan di Malaysia by john norafizan Thursday July 17, 2008

Dari berita hairan harian hari ini. Aku rasakan ia adalah sesuatu yang harus difikirkan, bukan untuk genre sastera Islami yang mulai mendapat tempat di Malaysia ini, tetapi untuk genre-genre yang lain juga. Banyak ‘thought’ dan ‘meaning’ yang tersembunyi di sebalik artikel ini sebenarnya.

LAMAN blog SastraHolic: Picisan Merangkai Kata di http://sastralife.wordpress.com menganggap sastera Islam yang sedang menjadi fenomena di Indonesia, terjebak dalam lingkungan retorik yang sempit apabila sekadar berperanan sebagai antitesis kepada sastera ‘cabul’ yang didominasi aktivis feminisme.

Penulis blog itu, Seyyed, menganggap retorik yang sempit itu menyebabkan muatan karya mereka terkesan seolah-olah dipaksakan kepada pembaca sehingga menggunakan ayat membosankan dan sengaja diulang-ulang sebagai dalil untuk membenarkan pandangan pengarang.

“Nilai tidak semestinya selalu dinyatakan dalam bentuk kalimat, sebaliknya ia boleh tersirat melalui cara berfikir dan bertindak serta tidak sewajarnya secara hitam putih dan meletakkan stigma kerana pembaca kini sudah pandai meneka ‘petunjuk’ yang diberikan oleh pen

Watak dalam karya tidak sewajarnya bersifat bersih sepenuhnya atau tidak semestinya menjadi alim kerana mengalami kejadian yang meninggalkan trauma dan penggunaan plot seperti itu sudah basi,” tulisnya.

Seyyed berpendapat sastera Islam bukan semata-mata bertujuan membangkitkan emosi keagamaan dengan menggambarkan kehidupan yang hitam putih dan meletakkan stigma, sebaliknya ia memberikan pencerahan kepada akal pembaca

Perkara terbabit mampu dilakukan dengan menampilkan watak yang mengalami pertentangan dalam hidup akibat kemiskinan, intelektual serta keyakinan, tetapi cerita mengarah kepada kebenaran.

“Watak tidak perlu selalu menjadi pemenang, bahkan watak itu boleh kalah, tetapi dalam membela kebenaran, bermartabat atau kalau perlu kalah biarlah dengan keberanian kerana hakikatnya kelompok tewas lebih ramai berbanding yang berhasil.

“Bagaimanapun, perbezaan antara dua pihak itu adalah cara dikalahkan. Sama ada kalah dalam membela kebenaran. Kalah dalam menjaga martabat diri atau mungkin kerana mahu mempertahankan tauhid,” katanya dalam blog terbabit. Penulis blog itu menyarankan pengarang dalam sastera Islam tidak takut untuk menilai kebenaran sesuatu teori atau pendapat seperti sasterawan yang juga ulama, Hamka, yang mengutip al-Quran dan hadis.

Tidak ketinggalan Hamka turut memungut pandangan sasterawan Russia, Leo Tolstoy, sekali gus berhujah dengan penguasaan susunan bahasa serta pemikiran mantik yang indah untuk mematahkan kekeliruan materialisme dengan logik Aristotle.

Novel terbaru…

Bloged in penulisan di Malaysia by john norafizan Friday June 27, 2008

Novel terbaru aku sudah masuk gear lima – meluncur laju macam masa harga minyak tak mahal dan tak takut nak tekan minyak sampai pedal minyak macam nak tercabut… inilah bestnya bila dapat berlumba menulis dengan rakan-rakan penulis yang lain. Semangat nak menulis tu mencanak-canak naik! Ehehehe! Nazurah, Syud dan Ebriza… dah sampai gear berapa dah?

 

Jadi apa yang ada dengan novel ke 5 John Norafizan?

 

Ehehe… sesuatu yang lain…. lain sangat-sangat! Lain tapi best! J J

 

Kesimpulannya, kalau Garis-Garis Deja Vu tu dah lain, maka kali ini seribu kali lain. Aku berharap pembaca-pembaca novel tanah air akan dapat menerima ‘perubahan’ ini.

 

Inilah ‘snapshot’ sikit-sikit novel terbaru nanti… enjoy!!!

 

Snapshot 1

Demi Tuhan aku percaya bahawa Oroka tidak boleh disembuhkan lagi. Sakitnya sudah mencapai tahap kronik yang amat membimbangkan. Sering kali di dalam bilik tidurnya, aku mendengar Oroka menjerit ketakutan seolah-olah ternampak sesuatu yang mengerikan. Cuma bila ayah datang dan menenangkannya, barulah jeritan Oroka menjadi reda. Kadang-kadang juga, aku mendengar dia memanggil namaku dalam tangisan penuh sendu dan menakutkan. Bulu romaku meremang naik. Tetapi aku cuba untuk tidak mempedulikan Oroka dan pura-pura tertidur mati.

 

Snapshot 2

            Di Jepun, dia telah berkahwin dengan nenek, anak kepada jeneral yang baru sahaja balik dari Manchukou. Kata ayah, tidak ada cinta pada perkahwinan itu walaupun nenek tidak menentang. Yang benarnya, jeneral itu telah terhutang budi pada datuk. Terhutang budi yang dibawa hingga ke mati. Kerana jika tidak kerana datuk, leher jeneral itu pasti dikelar oleh penentang-penentang Monggol yang kerasukan. Darah jeneral itu pasti membasahi padang rumput steppe dan memerahi sungai Khalka yang mengalir lesu di antara Mongolia dan Manchukou.

 

Snapshot 3

Jika engkau berdiri sambil memejamkan mata di lembah Furano, engkau akan dapat mencium bau segar bunga-bunga Lavender yang memekar indah. Udara yang dingin akan menyentuh pipi bagai sentuhan bidadari. Dan kicau burung kedengaran bagai dewi Aphodite sedang menyanyikan kesyahduan sambil memetik tali-temali harp.

 

Kami berlari bagai pelari Olimpik yang pasti akan mendapat pingat emas. Kami berlari laju seolah-olah kaki kami tidak lagi jejak ke bumi. Lari dan lari dan lari. Seperti terbang di atas awan. Seperti berenang dalam lautan tidak bertepian. Aku di hadapan sementara Oroka mengejar dari belakang.

 

 

 

Snapshot 4

Memang benar. Sejak pertemuan kali pertama lagi aku seolah-olah ‘terikat’ dengan Kafka. Seolah-olah kami punya hubungan simbiosis yang tidak mungkin dileraikan. Dia seperti lukisan Monalisa yang selamanya akan dikaitkan dengan Leornardo. Bagai patung si David yang selamanya membuktikan kehebatan Michealangelo. Aku adalah Leonardo dan Michealangelo itu. Dan dia adalah Monalisa dan David yang gagah.

 

Snapshot 5

Aku tidak pernah tahu bagaimana ada orang dapat menyembunyikan kepedihan dalam hati dan kemudian pura-pura tersenyum di hadapan dunia. Adakah mereka sebenarnya kalis dengan penderitaan? Atau tidak pernah menganggap keperitan hidup sebagai kegagalan yang harus ditangisi? Ayah selalu memberitahu, hati manusia sering dilanda gusar. Hanya dengan mengingati Tuhan sahaja kita dapat menghilangkan kegusaran itu. Sama seperti apa yang dikatakan Yamata dahulu. Kata darwis itu, kebahagiaan dan ketenangan akan datang bila manusia tahu dan faham akan tujuan kehidupan mereka di muka bumi ini.

 

 

‘Readings@seksan’ yang dianjurkan oleh Bernice Chaulay

Bloged in penulisan di Malaysia by john norafizan Wednesday June 25, 2008

Aku telah diundang untuk membaca ‘excerpt’ GARIS-GARIS Dejavu, tetapi terpaksa menolak. Mungkin bulan hadapan atau beberapa bulan lagi. Apapun terima kasih, Sharon


About Readings

“Readings” is a monthly gathering of writers which was started in 2005 by Bernice Chauly.  The aim is to encourage writers by giving them a platform for them to read their work and socialize.  Each session features 6 writers – and there is always a mixture of the established and newbie, published and not yet published, in Malay and in English.  Each reader gets 10-15 minutes (no longer!) no matter what their writerly status!

Readers may read in either English or Malay and the texts should be fiction, poetry, creative non-fiction or dramatic scripts.  You are welcome to read from works in progress. And if you have self-published books to sell, bring them along too! (If you feel terminally shy about reading your work yourself, you could ask a more confident friend to read for you …)

Majlis Bicara buku

Bloged in penulisan di Malaysia by john norafizan Tuesday June 24, 2008

UPDATE 25.06.2008: PERHATIAN: Sudah tidak ada kekosongan lagi

Assalamualaikum,

Saudara/ Saudari adalah dijemput ke:

Sarapan Pagi Minggu Sambil Bicara Buku

Bersama Jemari Seni Publishing

Pada:

Tempat:

Masa: 10.00 – 12.00 tengah hari

Buku pilihan kali ini:

Bila Nysrah Kata Tak Mahu

Karya Aidil Khalid

Pembicara: Puan Ina Marjana Ulfah - Pensyarah Undang-Undang / Penyair

Tentang… Dhiya

Karya Syud

Pembicara: Puan SM* – Pelajar Doktor Falsafah / Pengarang

(akan disahkan kemudian)

Tempat terhad – Sila maklumkan kehadiran saudara/saudari kepada,


Selewat-lewatnya 29 Jun 2008

Wassalam, Terima Kasih

MASKARA 9

Bloged in penulisan di Malaysia by john norafizan Friday June 20, 2008

BOLE DAPATKAN INFO DI BLOG INI

AKU JUGA AKAN MULAI MAIN KEJAR-KEJAR DENGAN NAZURAH AISHAH UNTUK NOVEL SETERUSNYA (NOVEL KE 5) EHEHEHE.. Tunggu Ebriza lambat sangat aaaa…

Bohemian!

Bloged in penulisan di Malaysia by john norafizan Thursday June 12, 2008

Inilah adalah buku terbaru keluaran jemari seni berjudul ‘BOHEMIAN’ – karya salah seorang penulis kegemaran ku, IMAEN.

 

Sudah berada dalam tangan walaupun masih lagi belum membacanya… UH! UH! Tetiba rasa tension pula menunggu buku aku yang ke 5 ni bila nak disiapkan!

 

Ulasan dari web Jemari Seni:

Cinta membuat kita tidak memandang apa-apa yang datang daripada kita, walaupun ia sebesar mana sekalipun. Sebaliknya, kita hanya akan memandang apa-apa yang datang daripada orang yang kita cintai, walau sekecil mana pun. Cinta membuat kita membuang sifat sendiri, dan mengambil sifatnya sebagai ganti.

 

Aku

Dia

 

 

 

 

 

Siapakah dia yang berani mencuri tenang dan damaiku, lalu menggantikan ia dengan resah gelisah?
Siapakah dia berani merampas hening bening malam dengan huru-hara yang tidak keruan ini?
Siapakah dia yang berani mengusik lenaku dengan bayangnya?  

Dia, yang tidak pernah ada dalam senarai bidadari anganku! Tidak pula pernah sekalipun wujud dalam daftar mimpiku!
Dia, yang dari hujung kaki hingga hujung rambut bukanlah perempuan yang aku mohon lewat doa-doaku kepada Tuhan.

**~** 

Setelah Vendetta (Gurindam Jiwa) dan Labyrinth, IMAEN melakarkan risalah pemuzik jalanan – busker – berbicara tentang cinta antara Fadlan & Nadira, dengan bahasa mantap penuh falsafah, namun disajikan dalam nada manis cara Bohemian.
———————————————————————————————-

ISBN No: 978-967-5118-03-6
Harga: RM20.00
Harga pembelian melalui pos: RM18.00

Mengingati yang lama

Bloged in penulisan di Malaysia, sisipan, sajak by john norafizan Tuesday June 3, 2008

            Ketika aku kecil dahulu, aku sering mendongak ke atas sana sambil melihat gumpalan awan kumulus berarak perlahan di sebalik wajah langit yang membiru. Bersama teman sepermainan ku, teman rapat ku yang sentiasa bersama-sama ke mana sahaja, kami sering membayangkan bahawa ada negeri lain di balik gumpalan awan tadi – Mungkin sebuah negeri yang penuh dengan pari-pari berterbangan, putera raja yang berkejaran dengan puteri idaman di taman indah atau sahaja peperangan besar yang sedang berlangsung di antara dua raja yang  amat gagah di atas sana!

            Di sebalik awan yang bagaikan kapas putih itu, APIS (entah di mana dia sekarang!) selalu mengatakan bahawa kalau kami sudah cukup pandai, mungkin kami boleh membina sayap-sayap besar dan terbang ke negeri ini. Benar kami tidak pernah berjaya membina sayap-sayap itu sehingga ke hari ini, tetapi aku tetap percaya bahawa suatu hari nanti, kami akan terbang juga ke negeri di balik awan itu!

            Lalu kami cuba memikirkan cara yang lain. Cara yang mudah. Dengan menangkap pepatung (atau sibu-sibu/dragonfly) yang banyak berterbangan di pinggir kali – lalu ekornya kami ikat dengan benang yang di curi dari rumah APIS (Cik Enon, aku minta maaf, aku tidak pernah memberitahu engkau ke mana benang-benang jahitan engkau selalu hilang… mungkin APIS sendiri tidak pernah memberitahu engkau!!).

Dan kemudian, bagaikan layang-layang mekanikal, aku dan APIS akan berlari-lari mengikut ke mana sahaja pepatung ini terbang. Seolah-olah kami sendiri yang sedang berlari-lari di balik awan, di taman kayangan berkejaran dengan puteri impian kami! Ah! Kalau sahaja aku bertemu APIS kini, kami tentu sahaja ketawa mengingati memori bodoh ini!

 

Impian kadang-kadang tidak akan tercapai. Apa yang engkau mimpikan kadang-kadang, akan hanya menjadi kenangan yang manis untuk diingati tetapi mustahil untuk dipenuhi! Tanyalah diri – ketika engkau kecil dahulu, apa yang engkau mahu? Apa yang menjadi impian mu? Adakah kini ia menjadi kenyataan di hadapan mata?

 

Kadang-kadang bila aku berbaring di atas tanah berdebu bersama APIS dahulu, dan ketika perhatian kami tertumpu di atas langit sana, kami akan melihat kapal terbang yang begitu kecil, meluncur ke satu destinasi yang tidak kami ketahui.

Kami sering berbincang, ke arah mana kapal terbang itu pergi. Sekali lagi imaginasi kami berbicara. Bahawa kapal-kapal terbang itu membawa penumpang mereka ke sebuah negeri yang tidak ada kesusahan. Negeri di mana semua orang bergembira. Tidak ada peperangan dan tidak ada tangisan.

Bodoh kah kami berfikiran seperti itu? Dangkal kah fikiran kami kerana memikirkan yang bukan-bukan? Entah! Aku sendiri tidak dapat menjawabnya dan aku pasti kalian juga tidak dapat memberikan jawapan yang memuaskan hati ku.

Tetapi cuma satu yang aku pasti, kita selalu menginginkan kehidupan yang indah untuk diri kita sendiri. Kita selalu mengimpikan bahawa nasib yang baik akan selalu menemani langkah kehidupan kita. Bukan kah itu naluri semula jadi manusia?

Lalu aku teringat kembali ketika kami bermain polis-pencuri di dalam hutan kelapa sawit di belakang rumah (sebagai mana artikel ku yang terdahulu bahawa aku dibesarkan bersama datuk dan nenek ku di sebuah FELDA), bersama APIS, AZMI (dengarnya dia sudah berkahwin dan mempunyai lima orang anak!), AZLI (kembar AZMI), SALLEH dan MAMAT.

Aku, APIS, SALLEH dan MAMAT yang selalunya menjadi penjahat. Kami akan berimaginasi kononnya kami telah mencuri barangan yang paling berharga di dunia ini dan kamilah penjahat yang paling ditakuti oleh semua orang. Hmmm.. kecuali dua orang polis yang paling hebat di dunia pada ketika itu, iaitu AZMI dan AZLI! (heh!).

Apa yang aku mahu katakan kepada mereka jika aku berjumpa dengan mereka kini ialah betapa tidak berjaya nya aku menjadi penjahat yang di takuti. Bahawa aku tidak dapat terbang dengan sayap besar untuk bertemu dengan raja kayangan dan tinggal di dalamnya.

Cuma yang boleh ku katakan kepada APIS, itu pun jika aku bertemu dengan dia lagi, aku telah menaiki kapal terbang yang kami bualkan dahulu, cuma aku tidak pergi ke negeri yang tidak punya kesusahan. Aku tidak pergi ke negeri yang tidak ada tangisan langsung.

Bahawa aku telah menjadi lelaki dewasa yang sudah tidak percaya dengan mimpi kanak-kanak dahulu. Bahawa aku telah berpijak di bumi nyata yang sudah tidak ada kegembiraan sebagai mana kegembiraan seorang kanak-kanak bila diberikan duit walau hanya sepuluh sen untuk membeli gula-gula! SELAMAT DATANG KE DUNIA ORANG DEWASA!

Tetapi mungkin cuma satu ini sahaja yang boleh ku beritahu kepada APIS, bahawa aku telah “terbang” di atas langit sana walau bukan dengan sayap-sayap pepatung itu. Aku telah merasa betapa dinginnya udara di atas sana.

berhenti menulis?

Bloged in penulisan di Malaysia by john norafizan Tuesday May 13, 2008

Bila difikirkan balik, aku rasa macam nak berhenti dari menulis aja. Sebab ramai kawan-kawan aku yang profesional masih lagi takut nak baca novel Melayu. Ada yang cakap, novel Melayu ni meleweh-leweh sikit. Tak sama ‘standard’ dengan novel orang putih/luar negara.

 

“Darn, you people! That was the reason why I wrote in Malay! To offset this imbalance and bring forth the quality in Malay books!”

 

Aku rasa seperti Dr. Mahathir yang kecewa bila visi yang diimpikannya kurang menjadi kenyataan selepas peralihan kuasa kepada pucuk pimpinan yang baru.

 

Mungkin aku juga harus bersara kerana visi ku untuk menyedarkan mereka telah gagal.

Labyrinth: ulasan

Bloged in penulisan di Malaysia by john norafizan Friday April 18, 2008

Labyrinth adalah karya kedua imaen selepas novel Vendetta (di dalam Gurindam Jiwa). Ia mengisahkan tentang kejadian pembunuhan bersiri yang menemukan pakar bahasa Dani dan detektif polis Kamal yang berbeza karakter dan kisah hidup. Pembunuhan itu seolah-olah satu jalan yang membawa mereka, selain daripada mencari pembunuh dengan modus operandi misteri itu, menemukan mereka pada jalan-jalan berliku di dalam hidup dan jawapan yang harus mereka cari.

 

Dilontarkan pula cerita Hanani, polis wanita keras kepala tetapi menyimpan perasaan pada teman baiknya, dan Maira yang berada di persimpangan cinta – cinta kepada manusia tetapi pada masa yang sama dia tidak mahu cinta kepada manusia itu memesongkan dia pada cinta yang lebih agung – cinta kepada Tuhan.

 

Terperangkap di dalam labyrinth, di dalam lubang arnab si ‘Alice in wonderland’, siapakah yang berjaya keluar menemui bahagia?

 

Nah! Engkau sedang membaca The English Patient, Da Vinci Code, cerita Hannibal Lecter, buku-buku Pramoedya, Love at the time of Cholera, By the River Peidra I sat down and wept, sedikit Hamka, sajak Chairil dan sajak-sajak lainnya sambil menonton CSI dan Silence of the Lambs pada masa yang sama. Pada masa yang sama! Aku benar-benar terkesima!

 

Dan jangan pula dikata ia sebuah novel yang berat, kerana ada ketikanya aku tersenyum simpul dan hampir tertawa kecil seolah-olah sedang membaca Bridget Jones Diary!

 

Sebenarnya aku tidak pernah mempercayai bahawa ada penulis thriller di Malaysia ini tetapi setelah aku membaca karya Imaen, aku terpaksa mengakui bahawa telahan ku salah. Rupa-rupanya kita sudah ada Thomas Harris dan Dan Brown versi Malaysia. Tetapi Thomas Harris dan Dan Brown yang mengingatkan aku pada Tuhan.

 

Dan kini, aku sedang mengkaji pula ‘minda’ Imaen di dalam Vendetta (kumpulan cerita di dalam gurindam jiwa).

 

Ini bukan sesuatu yang bias kerana ku kira penulis Imaen berjaya mencantumkan prosa-prosa yang cukup kukuh dan bersahaja di dalam Labyrinth. Metafora-metafora yang membuatkan aku terpaksa berhenti sebentar untuk berfikir. ‘Ideologi’ yang membuatkan aku tersengih dan mengangguk puas.

 

Plot dan perkembangan watak juga digarap kemas. Jadi aku tidak ada masalah di situ.

 

Pada aku, Labyrinth bukan ada satu cerita sahaja. Tetapi cerita dan pengertian berlapis-lapis kepada yang tahu dan mahu mencari. Benar-benar puas! Benar-benar berbaloi!

 

Kini, selain dari Ahmad Patria Abdullah, Khadijah Hashim, Anwar Ridhwan dan Faisal Tehrani, aku harus meletakkan Imaen di dalam senarai penulis-penulis Melayu yang aku minati.

 

Tahniah Imaen untuk Labyrinth!

 

 

 

 

 

16 queries. 0.440 seconds.
Powered by Wordpress
theme by evil.bert