Sneak Peek novel ke 5
Aku tahu bahawa aku telah pergi terlalu jauh dalam novel terbaru ini. Gaya penulisan yang baru. Spektrum yang berbeza. Aku kira, masa boleh mendewasakan manusia menjadi lebih matang. Atau dalam perspektif kareer penulisanku yang masih mentah ini, sesuatu yang mencabar segala imaginasi.
Sempadan Tanpa Seri, Tunjukkan Aku Satu Bintang dan Cinderella Cinta adalah asas pada tangga-tangga yang aku akan daki nanti. Lebih kurang tiga tahun lamanya membina asas-asas itu.
Dan kemudian, metamorfosis itu bermula bila Garis-Garis Deja Vu terhasil. Terima kasih kepada penerbitku yang tidak jemu-jemu memberi perangsang dan semangat untuk menjadikan aku sebagai penulis yang anda kenali sekarang. Ruang yang diberikan pastinya sukar untuk diperolehi di mana-mana tempat. Garis-Garis Deja Vu adalah langkah pertama di tangga yang pertama.
Mungkin jika diminta untuk memberikan analogi, aku dapat memberikan contoh begini. Untuk tiga novel pertama, seperti melihat pada hutan dara yang tidak pernah dijejaki.
Garis-Garis Deja Vu seperti melihat api yang sedang membakar hutan itu dari jauh.
Dan novel kelima nanti seperti berada dalam api yang membakar hutan-hutan itu.
Kepada yang masih setia menanti novelku, dipersembahkan ’sneak peek’ daripada sebahagian bab pertama novel yang masih dirahsiakan judulnya….
Aneh. Aneh. Tidak mungkin seorang gadis Melayu yang tidak tahu berbahasa Jepun boleh tercampak ke pulau paling utara Jepun ini. Gadis yang hanya tahu mengucapkan dua atau tiga patah perkataan Jepun itu boleh berada di sini? Di pulau sejuk Hokkaido? Memang tidak terjangkau akal.
Seolah-olah ikan laut yang tercampak ke dalam kolam kecil di atas gunung yang paling tinggi sekali. Seperti harimau Afrika yang menggigil kesejukan di tengah-tengah benua Antartika yang terpencil. Terlalu mustahil. Terlalu mustahil.
Tetapi itulah yang terjadi. Gadis bertubuh kecil ini hanya tersenyum mesra dalam udara sejuk musim bunga yang menenangkan. Tidak ada rasa kekok atau ketakutan. Atau sedang menggigil kesejukan.
Qistina. Qistina. Nama yang aneh. Tetapi nama yang tidak dapat dilupakan. Wajahnya pula bagai bidadari. Bidadari yang hanya hadir dalam mimpi. Kulit seputih salji di puncak Fuji. Dan mata bundar yang menambah cantik pada rambut coklat kehitaman yang ikal. Rambut separas bahu. Dengan senyuman yang menusuk kalbu.
Aku tahu aku tidak mungkin bertemu Qistina jika tidak kerana botol berisi surat itu. Qistina bagai pintu antara dua dimensi yang berlainan. Bagai jambatan ke tanah yang tidak terlihat.
Tetapi yang benarnya, tidak ada kaitan antara Qistina dengan botol itu. Yang ada cuma pertalian takdir yang gila. Takdir yang menemukan aku pada botol itu. Botol berisi surat yang kemudian membawa pada Qistina. Qistina yang kemudian menemukan aku pada maksud kehidupan. Dan maksud kehidupan yang mengeluarkan aku dari jalan-jalan gelap ini!
Kadang-kadang hatiku menyoal ragu. Adakah selama ini Tuhan tahu tetapi hanya menanti saat ini tiba? Tidak ada sesaat yang terlebih. Tidak ada sesaat yang terkurang. Jika tidak, aku pasti tidak akan bertemu Qistina. Segala-galanya sempurna. Bagai simfoni Mozart nombor lima.
Dan kerana itu, aku tahu bahawa tidak dapat tidak, aku harus menemani Qistina. Menolong Qistina. Kerana takdir Qistina telah bersimpul dengan takdirku sendiri. Dan perjalanan ini sebenarnya lebih untuk menolong diriku sendiri. Perjalanan yang tidakku fahami. Perjalanan untuk mencari nama Tuhan yang paling agung. Nama Tuhan yang ke seratus.
Tetapi semua itu boleh ditunggu. Boleh dilewatkan lagi. Kerana pertemuan dengan Qistina tidak semudah yang dijangka. Dan darah merah harus tumpah dahulu di pasir-pasir putih Akunabaro sebelum cerita ini dapat dimulakan. Seperti ritual persembahan gipsi-gipsi kuno di pergunungan Caucasus. Atau persembahan dewa-dewa pagan dalam sejarah Yunani lama. Sebelum segala-galanya dapat dimulakan dengan rentak tari yang tidak pincang. Ada darah yang harus dipersembahkan!

