peti ais! peti ais!

Bloged in idea baru, sisipan by john norafizan Monday May 5, 2008

Aku tak tahu kalau sesiapa rasa apa yang aku rasa, tapi aku rasa cuaca tersangatlah panasnya seminggu dua ini. Aku pun tak tahu kenapa. Mungkin sebab jisim berat aku dah naik mendadak dan banyak sangat lemak yang bergayut kat badan ni. Jadi cuaca yang sebenarnya tak berapa panas tu dah digandakan sepuluh kali bahangnya. Atau memang dah macam tu kalau asyik duduk terperap menulis malam-malam di rumah batu. Bukan ke orang cakap, kalau rumah batu, haba akan diserap pada siang hari dan kemudian haba akan dilepaskan di sebelah malamnya?

 

Itu yang rasa macam dipanggang hidup-hidup dalam periuk tu!

 

Nasib baik aku ni bukan budak-budak kecil yang masih tak ada tanggungjawab menutup aurat lagi. Kalau tak, agaknya aku dah berlari telanjang bulat sambil pegang plastik ABC atau cendol sejuk di tangan. Parah kalau dengan umur sekarang ni aku nak buat macam tu! Dan nasib baik juga aku tak terpengaruh dengan idea nudist/naturist yang ada kat barat tu. Kalau tak… NAUZUBILLAH!

 

Tapi yang benarnya, benda ni memang betul-betul bagi kesan kat aku. Aku tak tahu penulis lain, tapi cuaca dan tahap turun naik merkuri kat termometer itulah yang akan menentukan turun naik mood aku menulis.

 

Macam masa tulis GARIS-GARIS DEJA VU, keadaan cuaca tengah panas membahang itulah yang banyak menaikkan semangat menulis aku. Senang. Ashraf kat Jordan, Nini kat Malaysia. Dua-dua tempat panas. Jadi malam-malam buta dengan peluh mencurah, atau pun waktu tengah hari Sabtu dan Ahad tu, aku terus tulis dan tulis. Tiba part Suraya dan Damien pula, aku berhenti sekejap, tunggu bila cuaca dah sejuk atau ketika hujan turun.

 

Tapi kalau nak tunggu macam tu untuk novel baru ni, jawabnya tak adalah novel kelima aku tahun depan. Kalau takat nak tunggu masa bila hujan atau cuaca sejuk je baru nak menulis, alamatnya memang tak jalan terus. Sebab kali ni, novel baru ni akan dibuat berlatarbelakangkan Jepun. Di pulau paling utara Jepun. Pulau sejuk Hokkaido!

 

Sekarang ni, tahap malas aku memang kronik. Bukan idea tak ada, tapi sebab panas jadi idea tu terus terpeluwap tiba-tiba. Merangkak-rangkak menaip depan skrin komputer.

 

Ada juga niat nak pasang penyaman udara. Tapi bila fikir-fikir, rumah yang aku duduk ni bukan rumah sendiri. Masih lagi rumah sewa. Jadi macam tak berbaloi betul.

 

Nak pindah rumah papan? Entahlah, kat JB ni memang tak ada rumah sewa papan kot.

 

Tapi pada pukul 10 malam (Ahad – sekarang dah pukul 10.14 PM semasa aku menaip ni), aku rasa aku dah dapat idea yang sungguh bernas sekali.  Super cool, budak-budak zaman sekarang kata.

 

Ya. Aku dah fikir masak-masak. Aku rasa aku nak beli peti ais kecil dan kemudian letak dalam bilik tidur. Tu sebenarnya strategi serampang dua mata. Tujuan yang tak berapa utama ialah boleh letak minuman-minuman dalam peti ais tu.

 

Tetapi TUJUAN PALING UTAMA ialah: kalau aku rasa panas dan tak boleh menulis sebab lemak tengah mendidih dalam badan, aku boleh buka pintu peti ais. Boleh jadi portable air-cond tu….

 

Aku rasa memang idea yang bernas dan bagus walaupun terpaksa susutkan duit poket aku bulan ni. Dengan benda-benda yang tak berfaedah langsung sebenarnya.

 

Tak apalah, biarlah TESCO untung sikit. Tak pun duit tu boleh bagi kat GIANT.

 

Asal aku boleh menulis lagi.

Sebab aku memang perlu tulis.

Menulis tentang Akira dan Qistina di Hokkaido…

Tentang strawberi dan coklat…

4 hari lagi dan 4 perkara

Bloged in pesta buku, garis-garis deja vu, apa-apa sahaja, idea baru by john norafizan Tuesday April 1, 2008

1. Takziah kepada Allahyarhamah YUSNI JAAFAR yang telah pulang ke pangkuan Tuhan Yang Esa pagi tadi. Semoga rohnya akan ditempatkan di kalangan ruh-ruh orang yang beriman. Dan kepada yang masih hidup, sama-samalah kita sedekahkan sekurang-kurang Al-Fatehah untuk beliau… Al-Fatehah!

2. Terima kasih kepada April Snow, Ulat buku dan penulis yang semakin terkenal Manjlara kerana telah memberikan maklum balas (YANG POSITIF) tentang karya terbaru ku GARIS-GARIS DEJA VU. Beberapa perenggan yang diambil dari mereka adalah:

manjlara:

GGDV ialah sebuah novel yang mengisahkan tentang empat watak utamanya, Damien, Asyraf, Suraya dan Nini/Numair. Perasaan saya tika di awal pembacaan; saya ingin segera mengetahui penamatnya. Dan apabila tiba di penghujung bacaan, saya bagaikan ingin berhenti sejenak dan memperlahankan bacaan kerana seolah-olah ’sayang’ untuk ‘berpisah’ dengan watak-watak utamanya ini.

Ulatbuku:

Malah pada aku GGD ini lebih berbisa jika dibandingkan dengan Cinderella Cinta

April Snow:

4.5 Bintang………..

baru selesai mentelaah karya terbaru JN ni………perrghhh …tapi mmg muahhhh

buat John, karya anda kali nie mmg istimewa sekali…bagi haku yg sudah membaca kesemua karya terdahulunya, GGDJV memperlihatkan kematangan John berkarya…dan haku kira antara kesemua karya beliau, naskhah ni boleh diangkat sebagai karya terbaik JN…congrats sekali

Aku memang berdebar menunggu reaksi semua rakyat Malaysia yang membaca novel tempatan tentang GGD. Jika GGD diterima, aku benar-benar gembira.

Dan oh! Ya… kepada yang tidak mahu mengetahui ceritanya sebelum membeli GGD, usah klik pada review sama ada di alamat dibawah ini atau digambar GGD… tapi yang tidak kesah pada spoiler…. (bak kata Nabil dalam Raja Lawak) Lu pikir la sendiri! eheheheh

P/S: Buat April Snow, tanah ratu memang meninggalkan kenangan manis ehehehe.. tapi untuk novel seterusnya, tanah ratu akan ditinggalkan… mari kita sama-sama pergi ke negara matahari terbit pula!!!

3. Ini adalah jadual bertugas penulis-penulis Jemari Seni! Jangan lupa berkunjung ke sana!

4. Jumpa anda di pesta buku nanti!

Tajuk, Tajuk.. di mana kau Tajuk?

Bloged in idea baru by john norafizan Tuesday December 4, 2007

(P/S: Ikut seperti rentak lagu duit, duit nyanyian kembara)

Aku masih lagi tidak tahu apakah tajuk yang sesuai untuk novel ini.

Sinopsis: Seorang gadis yang tidak tahu apa yang berlaku kepada dirinya telah terdampar di pulau Hokkaido Jepun tanpa sebarang memori. Seorang lelaki mengurungnya, seorang lelaki cuba membunuhnya dan seorang lagi cuba menyelamatkannya.

Manakah tajuk yang sesuai?

 

  1. Bulan madu Biru
  2. Cinta ini luar biasa
  3. Buat aku tersenyum
  4. Coklat, Strawberi
  5. Tinggalkan aku di sini
  6. Pelarian
  7. Segalanya atau tiada
  8. Untuk Qistina
  9. Jangan Pernah menangis
  10. transmigrasi
  11. Dekat yang jauh

 

Bulan (madu) Biru - tak tahu yang mana nak mula!!!

Bloged in idea baru by john norafizan Monday November 19, 2007

3 Projek penulisan yang masih lagi baru berputik (termasuk cerita yang tergendala- cinta dalam sepotong keju, fantasi kanak-kanak - Aldarian), kali ini cerita remaja ‘berat’, tajuk awal nya adalah bulan (madu) biru…..

BAB 1

Bagaimana seorang gadis dari Malaysia boleh terdampar di pulau Hokkaido? Gadis yang hanya tahu mengucapkan ‘selamat pagi’ dan ‘terima kasih’ dan ‘apa khabar’ di dalam bahasa Jepun itu tidak sepatutnya berada di sini. Seolah-olah ikan laut yang tercampak di dalam kolam kecil di atas gunung yang paling tinggi. Seperti seekor harimau Afrika yang menggigil kesejukan di tengah-tengah benua Antartika.

Tetapi gadis yang sedang memandang laut Jepun yang bergelora lesu itu tidak menggigil kesejukan. Mungkin kerana udara musim bunga kali ini benar-benar menyenangkan. Seperti berada di tepi unggun api yang hampir malap. Udara yang di tinta dengan sedikit kesejukan salji lebihan musim dingin dan haruman segar bunga-bungaan itu bagaikan hipnosis.

Dan landskap bumi pula menjadi medan peperangan warna-warna alam yang gemilang. Warna-warna bunga biru, kuning, merah, merah jambu. Dan bunga-bunga Lavender dan Sakura yang berkembang mekar. Seperti permaidani semula jadi berwarna ungu pada lantai tanah dan langsir putih (dan dipalit merah segar) jadi tirai pertemuan dua pencinta yang asyik. Tidak ada sesiapa yang waras yang akan meninggalkan Hokkaido ketika musim semi berlangsung!

Tetapi bagaimana seorang gadis dari Malaysia boleh berada di sini?

Mare-shia?”

Gadis itu berpaling ke arah lelaki Jepun di sebelahnya itu. Mungkin jengkel bila ditanya buat kali yang kedua dengan soalan yang sama. Tetapi gadis itu hanya tersenyum malu dan mengangguk (buat kali yang kedua!). Wajah gadis itu benar-benar menakjubkan. Seolah-olah bidadari yang hanya hadir di dalam mimpi. Mata bundar dan kulit seputih salji di puncak Fuji. Senyuman yang manis. Bibir mongel. Rambut hitam ikal separas bahu. Dan kelembutan tersembunyi di balik renungannya yang menyenangkan. Lelaki itu tersengih malu.

“Nama saya Akira. Dan siapa nama awak?” Lelaki yang bergelar Akira itu cuba untuk memulakan bicara. Ah, demi Tuhan! Untuk sesaat itu dia tidak perlu berasa malu. Untuk gadis secantik itu dia tidak perlu berasa malu. Lagipun, dia ada peluang untuk mengasah bahasa Inggerisnya yang sudah semakin berkarat itu!

“Qistina. Nama saya Qistina.” Gadis itu tersenyum lagi. Senyuman yang bagai mekar bunga matahari di musim panas.

Qistina. Qistina. Nama aneh untuk seorang gadis Melayu yang terdampar keseorangan di pulau paling utara Jepun ini. Qistina. Qistina. Tidak akan ada ibu-ibu di Jepun yang akan menamakan anak mereka dengan nama Qistina. Nama aneh. Tetapi nama yang tidak boleh dilupakan.

“Akira. Maksudnya kepandaian. Akira budak pandai.” Katanya sambil membengkokkan lengan menunjukkan kekuatan. Hmm. Apa pula kaitan kepandaian dengan menunjukkan urat lengan? Tetapi gadis itu sudah tertawa kecil. Akira tidak tahu sama ada Qistina a) mengetawakan jenakanya yang tidak lucu itu ataupun b) mengetawakan bahasa Inggerisnya yang sudah berkarat.

“Apa maksud Qistina?”

“Qistina adalah keadilan.”

Dia tersenyum. Gadis itu tersenyum. Dan mentari musim bunga pun turut tersenyum.

Kepandaian dan keadilan bagaikan buku dan ruas. Aur dan tebing. Saling memerlukan. Saling memberi dan menerima. Kepandaian akan menjadi kebongkakan bila tidak ada rasa keadilan pada setiap perbuatan. Dan keadilan itu akan menjadi sesuatu yang lemah bila tidak ada kepandaian yang memimpinnya mengharungi hari demi hari yang mencabar.

Mungkin juga seperti Romeo dan Juliet…

“Qistina, awak bukan pelancong?”

Qistina menggeleng kepala.

“Dan awak ke sini keseorangan… sehelai sepinggang?”

Kali ini mengangguk.

“Jadi kenapa awak ke sini?”

Qistina tersenyum mesra membuatkan Akira menahan nafas. Senyuman itu meluruhkan segenap kewarasan lelakinya. Dan senyuman itu dengan mudah dapat memadamkan mentari yang sedang bersinar ini!

“Akira, kalau awak tahu awak akan mati esok, apa yang akan awak buat dan lakukan?”

Akira tersentak. Seumur hidupnya, inilah kali pertama seseorang bertanya soalan yang seumpama itu. Dan gadis secantik itu yang meluahkannya!

“Er… saya tak tahu…”

“Hmm… Akira, saya tak tahu apa yang awak akan lakukan, tapi inilah yang sedang saya buat dan lakukan!

 

 

 

idea lama tapi baru: novel remaja yang terbengkalai!

Bloged in idea baru by john norafizan Monday November 5, 2007

Sudah ada beberapa bab (9 bab!) tapi aku tak tahu kenapa aku tak mampu meneruskannya… hilang mood? bosan?

BAB 1

            Yana mempercepatkan langkahnya. Sekumpulan anak-anak muda yang sedang asyik bermain gitar tertawa mengekek-ngekek sambil menjerit memanggil namanya. Yana Sepet! Yana Sepet! Jerit mereka tidak henti-henti.

Yana kenal dengan pemilik-pemilik suara setan itu. Salah seorang darinya adalah Salleh anak bilal Samad. Tetapi sebenarnya, tidak ada tokoh pun menjadi anak bilal. Masakan! Ayah sibuk melaungkan azan di dalam masjid sementara anak pula sibuk melaungkan lagu di tepi tembok di hujung kampung.

Satu kampung sudah tahu dengan perangai Salleh yang memalukan. Sebut sahaja nama anak-anak gadis di kampung itu, semuanya sudah diganggu Salleh. Kalau tidak kerana itu pun, mereka kenal benar dengan Salleh yang punya jerawat batu berbonggol-bonggol di wajah. Dan rambutnya? Ya Allah! rambut yang panjang mengurai mengalahkan puntianak!

            Teman rapat merangkap pembantu peribadinya ialah Zamani, pemuda berusia tiga puluh tahun yang suka mencuri ayam penduduk-penduduk kampung. Zamani hanya sempat menamatkan zaman persekolahannya sehingga ke darjah lima sahaja.

Di kalangan rakan-rakannya, Zamani lebih dikenali dengan nama Bob Marley kerana punya rambut panjang berpintal-pintal seperti penyanyi enam puluhan itu. Dan baunya…hanya Tuhan sahaja yang tahu! Dua lagi teman rapat mereka ialah Seman jongang dan Talib jerangkung.

            Yana membetulkan kaca mata berbingkai hitam yang dipakainya dan pura-pura memandang ke tempat lain. Beg besar berwarna biru tua yang digalasnya dibetulkan sedikit untuk mengurangkan rasa lenguh yang sudah merayap di badan.

            Yana berdoa di dalam hati supaya Salleh dan tiga lagi rakan-rakannya itu tidak mempedulikan kehadiran Yana di dalam terik mentari tengah hari itu. Seluar bersaiz besar dan kemeja T labuh bertulis ‘Sukaneka FELDA Pasir Raja’ yang dipakainya membuatkan pergerakan gadis itu sedikit lucu.

            Ah! Pedulikan apa orang kata. Asalkan dia dapat balik ke rumah dengan selamat dan memberitahu ibu tentang berita gembira dari Kuala Lumpur, itu sudah cukup baik. Yana memandang ke hadapan. Cuma selang lima buah rumah sahaja sebelum dia sampai ke destinasinya.

            “Alamak! Cik Yana badut kampung lalulah! Nak ke mana laju-laju tu? Duduklah dengan kita orang!” Yana menjuihkan bibir bila mendengar teriakan Zamani. Salleh pula ketawa terbahak-bahak sambil mengeluarkan kata-kata yang tidak senonoh.

            Yana cuba untuk tidak mempedulikan mereka. Pandangannya terfokus ke hadapan dan langkahnya semakin dilajukan. Secara tiba-tiba, ada satu tangan yang merentap bahunya dengan kuat membuatkan Yana hampir-hampir terjatuh. Kalau Yana tidak menoleh pun, dia tahu Zamani yang memegangnya. Bau rambut Zamani cukup kuat bagaikan bau bangkai tikus dalam sebuah bilik yang tertutup yang tidak ada pengaliran udara keluar!

            “Eh! Apa ni Zamani? Lepaskanlah!” Zamani cuma tertawa senang.

            “Alah, Yana. Kau ni jual mahal lah! Aku tahu kau tu bukannya ada teman lelaki pun. Asyik-asyik berkepit dengan buku. Cubalah bawa bersolek sikit!” Perli Salleh pula yang mengekor di belakang Zamani tadi. Dia kini berdiri betul-betul berhadapan dengan Yana.

            “Kau bukannya ada kawan, Yana… baik kau kawan dengan aku dan Salleh!” Perli Zamani pula. Yana menggetap bibirnya menahan sayu. Dia terasa hati dengan kata-kata Zamani itu.

            Ya! Dia tahu dia tidak punya sebarang kawan. Bukan dia yang sombong tetapi tiada siapa yang mahu berkawan dengannya. Siapa yang mahu berkawan dengan anak orang yang paling miskin di kampung itu?

            Yana juga tahu bahawa fizikalnya juga berbeza dengan adik beradiknya yang lain. Matanya yang sepet dan kulitnya yang putih kuning itu membuatkan pelajar-pelajar di sekolahnya memanggil Yana dengan nama anak Cina pungut.

            Pernah ketika dia berada di dalam darjah lima dahulu, Yana balik ke rumah sambil menangis teresak-esak. Kawan-kawannya (kalau boleh dipanggil kawan!) telah mencuri kasutnya ketika kelas pendidikan jasmani dan mencampakkan ke dalam sungai di belakang sekolah. Dia terpaksa balik dengan hanya berstoking sahaja di dalam terik mentari yang membahang. Tumitnya bagaikan dibakar. Dan sakitnya? Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu.

            Dua hari dia merajuk tidak mahu pergi ke sekolah. Ibu memujuknya dengan membawa Yana ke bandar Kulai yang letaknya kira-kira tiga puluh kilometer dari kampung FELDA Pasir Raja. Ibu memberitahu Yana bahawa dia akan membelikan kasut baru untuk Yana.

            Yana tahu ibu tidak punya duit yang banyak. Arwah ayah telah lama meninggal dunia dan tidak ada apa-apa yang ditinggalkan untuk mereka sekeluarga. Dan pada zaman ekonomi yang tidak menentu itu, berapa kerat sangat hasil kelapa sawit yang mereka dapat? Tambahan lagi gaji yang sedikit itu terpaksa pula dibahagi dua dengan pekerja-pekerja Indonesia yang memotong buah kelapa sawit di kebun mereka.

            Demi Yana, ibu telah mengorbankan sebahagian dari duit perbelanjaan dapur mereka untuk membelikan kasut baru buat Yana. Ibu sanggup melihat Hanafi yang baru sahaja memasuki darjah empat ketika itu dan adik bongsunya Hairul yang berumur empat tahun makan secara ala kadar sahaja. Hampir dua minggu ibu hanya memasakkan bubur nasi dengan lauk ikan bilis dan ulam kangkung yang tumbuh dengan banyaknya di belakang rumah mereka.

            Semenjak dari hari itulah, dia tidak berkawan dengan sesiapa pun. Temannya adalah buku-buku dan perpustakaan yang sudah menjadi rumah keduanya. Dia mahu belajar pandai-pandai dan membalas jasa ibu yang banyak berkorban untuknya. Jadi salah kah dia jika tidak mempunyai ramai kawan?

            “Betul kata Zamani tu… marilah duduk sebelah aku ni!” Sahut Seman jongang yang merestui perlakuan teman-temannya.

            “Tak pun kalau kau malu, kita boleh berasmara di kebun kelapa sawit kat belakang rumah aku tu. Kau seorang, kami berempat!” Sahut Salleh sambil membelai pipi Yana. Yana meronta-ronta sambil cuba mengelakkan wajahnya dari dipegang Salleh. Yang lain-lain sekadar tertawa tanpa rasa simpati.

            “Lepaskanlah aku, Salleh! Aku tak buat apa-apa pada kau. Janganlah buat aku macam ni!” Yana cuba merayu. Air matanya hampir mengalir keluar. Tidak ada orang yang lalu lalang. Jantung Yana berdegup kencang. Bagaimana kalau Salleh benar-benar melakukan apa yang dikatakannya itu?

            “Tolonglah Salleh, Zamani! Jangan!” Yana merayu lagi tetapi rayuannya tidak diendahkan. Salleh menghampiri Yana dan menyentuh dada gadis itu.

            “Kau tahu tak? Kau ni sebenarnya cantik. Baik kau jadi kekasih aku!”

            “Hoi, Salleh! Zamani! Apa yang kau buat pada arwah Pak Mat tu? Kau nak mampus?!!!” Suara Lebai Samad yang menjerit dari jauh dengan enjin motor yang tersengguk-sengguk sudah cukup membuatkan kutu-kutu kampung yang diketuai oleh Zamani melepaskan Yana. Dan keempat-empatnya terpegun bagaikan baru sahaja ternampak hantu!

            Lebai Samad memecut motornya ke arah mereka dan tidak sampai beberapa saat kemudian, satu penampar hinggap di pipi Salleh. Lebai Samad berdiri bercekak pinggang memandang keempat-empat anak muda itu silih berganti. Tidak ada yang berani menentang pandangan tajam Lebai Samad ataupun cuba untuk bersuara.

            Yana mahu tergelak melihatkan Salleh yang kini bagaikan tikus ketakutan.

            “Kau tak ada kerja lain ke Salleh? Malu aku kat masjid… semua orang cakap anak lebai Samad suka kacau anak dara orang!” Lebai Samad mengherdik anak terunanya dengan lantang. Salleh masih lagi tunduk terpaku. Dia tidak berani menatap biji mata ayahnya yang bagaikan hendak tersembul keluar itu!

            “Kami… kami cuma bergurau aja, abah…” Beritahu Salleh terketar-ketar. Dia memang takut dengan ayahnya itu.

            “Kepala otak kau, bergurau macam tu! Aku tak kira, kau balik rumah sekarang! Asar nanti aku nak kau kat masjid. Kau juga Zamani, Seman dengan Talib! Kalau tak ada, aku suruh budak-budak masjid cari kau nanti! Faham?”

            Tanpa sebarang kata, Salleh segera mengambil motornya dan memecut laju meninggalkan Zamani, Seman dan Talib yang masih terpinga-pinga itu. Kemudian, Seman dan Talib pula tergesa-gesa meminta diri untuk pulang ke rumah.

            “Kau pula Zamani, semenjak ayah dan mak kau meninggal, rumah ni dah jadi macam sarang setan! Patutnya kau sebagai anak tunggal banyakkanlah buat amal, sedekahkan Al-Fatihah pada arwah orang tua kau!” Giliran Zamani pula yang terpaksa mendengar syarahan dari Lebai Samad.

            Zamani dengan perasaan malu meminta maaf dan kemudian masuk ke rumahnya tanpa memandang sedikit pun ke arah Yana. Yana mahu tertawa tetapi ditahankannya sahaja. Dia tidak mahu merosakkan suasana yang begitu tegang itu.

            “Dah, Yana… mari Lebai hantar kamu balik… jangan dilayan dengan budak-budak yang tak ada masa depan ni!” Beritahu Lebai Samad, kali ini dengan nada lembut dan mesra. Yana tersenyum dan mengangguk perlahan-lahan. Dia sudah tidak sabar untuk bertemu ibu!

15 queries. 0.757 seconds.
Powered by Wordpress
theme by evil.bert