
Bohemian adalah karya kedua (yang ketiga jika Vendetta, satu daripada 3 cerita dalam novel Gurindam Jiwa diambil kira) penulis berbakat Imaen yang diterbitkan oleh penerbitan Jemari Seni.
Sememangnya aku telah menunggu novel ini sejak membaca Labyrinth lagi. Pada aku, Imaen adalah salah seorang penulis yang memiliki seni penulisan yang lain daripada kebanyakan penulis di Malaysia.
Lalu, bila Bohemian berada dalam tangan dan aku membacanya kali kedua dengan penuh kritis, aku dapat merasakan (seperti telahan ketika membacanya kali pertama) bahawa Imaen cuba lari dari rentak novelnya yang terdahulu. Tidak ada lagi ala-thriller Labyrinth. Atau debaran Labyrinth. Tetapi untuk mengatakan bahawa Bohemian kehilangan identiti ‘kepolisan dan jenayahnya’ berbanding novel terdahulu, ia adalah salah sama sekali. Jenayah itu tetap ada, cerita kepolisan itu ada, tetapi sukar untuk membandingkannya dengan labyrinth.
Bohemian adalah cerita tentang Fadlan yang bertemu dengan Nadira dalam keadaan tidak sengaja. Kedua-dua punya karakter yang berbeza, seorang pemuzik jalanan dan seorang lagi adalah peguam. Seorang kaki rambu, seorang lagi elitis. Pada masa yang sama ada juga cerita tentang Suhaimi yang menyaksikan satu pembunuhan ketika menunggu kekasihnya di taman. Rentetan-rentetan cerita antara Fadlan dan Nadira dan pembunuhan yang disaksikan Suhaimi membentuk cerita Bohemian sehingga ke akhirnya.
Pada aku, Bohemian bukanlah satu cerita yang tidak ada plot. Yang benarnya, Bohemian adalah novel yang mempunyai plot yang tidak linear. Ia penuh dengan sindiran pedas, moment yang manis, dan pengertian berlapis sehingga mungkin ada pembaca yang mengharapkan jalan cerita seperti Labyrinth menjadi sedikit kecewa. Banyak sebenarnya yang ingin disampaikan oleh penulis. Jika membacanya tergopoh-gapah, mungkin pembaca akan ‘tersesat’.
Tapi harus diingat, Bohemian bukan cerita cinta remaja yang santai yang entah apa-apa itu. Bohemian adalah cerita falsafah yang ditulis dalam ruang penceritaan yang santai.
Seperti Aunt Safiyya and the Monastery (Bahaa Taher) dan A River Sutra (Gita Mehta), Bohemian membawa falsafah ketuhanan dan kehidupan yang baik. Bezanya, mesej Bohemian berselindung di sebalik cerita cinta antara Fadlan dan Nadira. Dan inilah yang menjadi kekuatan karya Imaen kali ini.
Tahniah untuk Imaen. Dan kepada peminat novel tanah air, jangan lupa dapatkan novel Bohemian di pasaran.
Buku seterusnya: Bila Nysrah kata tak mahu (Jemari Seni) – Aidil Khalid
Naqiah Khalida – Ku reda atas segala takdir (Must read) – Diya Nordin