Jumpa JN pada 2hb Ogos nanti

Bloged in pesta buku by john norafizan Sunday July 27, 2008

Maafkan aku, terlambat sedikit untuk mengumumkan tentang pesta buku ini… aku harap ramailah yang akan menyerbu gerai JS nanti :)

PESTA BUKU SELANGOR 2008

Mulai 25 Julai  - 3 Ogos 2008

Bertempat: Kompleks PKNS Shah Alam

No. Gerai: C38 (depan Restoran D&R)

Jadual Bertugas Penulis:

10:00 pagi - 2:00 petang

2:00 - 6:00 petang

NOTA:

1. Kartunis & Pelukis, Oly dan NUD’s akan berada di booth JEMARI SENI PUBLISHING sepanjang Pesta Buku Selangor 2008 berlangsung
2. Potongan harga novel antara 20% hingga 40%

Jumpa di Pesta Buku Selangor, ya!

Terima kasih kepada semua

Bloged in garis-garis deja vu, apa-apa sahaja by john norafizan Tuesday July 22, 2008

Garis-Garis Deja Vu telah memasuki cetakan kedua (2nd printing). Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Terima kasih juga kepada semua yang memberikan sokongan atas novel ini.

 

Ehehe.. lepas ni nak mintak tolong korang beli lagi cetakan kedua ni… kalau bukan untuk diri sendiri pun, untuk pakcik makcik, kengkawan, anak keponakan, sedara mara dan sesapa aja yang dijumpai di tengah jalan nanti.

 

My muse

Bloged in apa-apa sahaja, iklan buku baru by john norafizan Friday July 18, 2008

Aduh! Pening kepala. Agaknya sebab pergolakan politik yang memeningkan kepala buat aku pening kepala.

 

Sebab itu, seminggu dua ini, aku tidak dapat menulis dengan baik. Sudah kehilangan mood. Hilang arah.

 

Aku perlukan satu ‘miracle’ untuk mengubah kemalasan tahap dewa ini.

 

Mungkin agaknya aku harus pergi ke pulau terpencil dan bertapa sehingga novel kelima ini siap.

 

Bercakap tentang novel ini, ia adalah novel paling ‘ambitious’ yang pernah aku lakukan. Lebih daripada TUNJUKKAN AKU SATU BINTANG. Lebih daripada GARIS-GARIS DEJA VU.

 

Aku cuma berharap, ia akan dapat diterima sebaik-baiknya oleh peminat novel berbahasa Melayu di Malaysia.

 

 

 

 

 

 

 

Sekejap untuk berfikir

Bloged in penulisan di Malaysia by john norafizan Thursday July 17, 2008

Dari berita hairan harian hari ini. Aku rasakan ia adalah sesuatu yang harus difikirkan, bukan untuk genre sastera Islami yang mulai mendapat tempat di Malaysia ini, tetapi untuk genre-genre yang lain juga. Banyak ‘thought’ dan ‘meaning’ yang tersembunyi di sebalik artikel ini sebenarnya.

LAMAN blog SastraHolic: Picisan Merangkai Kata di http://sastralife.wordpress.com menganggap sastera Islam yang sedang menjadi fenomena di Indonesia, terjebak dalam lingkungan retorik yang sempit apabila sekadar berperanan sebagai antitesis kepada sastera ‘cabul’ yang didominasi aktivis feminisme.

Penulis blog itu, Seyyed, menganggap retorik yang sempit itu menyebabkan muatan karya mereka terkesan seolah-olah dipaksakan kepada pembaca sehingga menggunakan ayat membosankan dan sengaja diulang-ulang sebagai dalil untuk membenarkan pandangan pengarang.

“Nilai tidak semestinya selalu dinyatakan dalam bentuk kalimat, sebaliknya ia boleh tersirat melalui cara berfikir dan bertindak serta tidak sewajarnya secara hitam putih dan meletakkan stigma kerana pembaca kini sudah pandai meneka ‘petunjuk’ yang diberikan oleh pen

Watak dalam karya tidak sewajarnya bersifat bersih sepenuhnya atau tidak semestinya menjadi alim kerana mengalami kejadian yang meninggalkan trauma dan penggunaan plot seperti itu sudah basi,” tulisnya.

Seyyed berpendapat sastera Islam bukan semata-mata bertujuan membangkitkan emosi keagamaan dengan menggambarkan kehidupan yang hitam putih dan meletakkan stigma, sebaliknya ia memberikan pencerahan kepada akal pembaca

Perkara terbabit mampu dilakukan dengan menampilkan watak yang mengalami pertentangan dalam hidup akibat kemiskinan, intelektual serta keyakinan, tetapi cerita mengarah kepada kebenaran.

“Watak tidak perlu selalu menjadi pemenang, bahkan watak itu boleh kalah, tetapi dalam membela kebenaran, bermartabat atau kalau perlu kalah biarlah dengan keberanian kerana hakikatnya kelompok tewas lebih ramai berbanding yang berhasil.

“Bagaimanapun, perbezaan antara dua pihak itu adalah cara dikalahkan. Sama ada kalah dalam membela kebenaran. Kalah dalam menjaga martabat diri atau mungkin kerana mahu mempertahankan tauhid,” katanya dalam blog terbabit. Penulis blog itu menyarankan pengarang dalam sastera Islam tidak takut untuk menilai kebenaran sesuatu teori atau pendapat seperti sasterawan yang juga ulama, Hamka, yang mengutip al-Quran dan hadis.

Tidak ketinggalan Hamka turut memungut pandangan sasterawan Russia, Leo Tolstoy, sekali gus berhujah dengan penguasaan susunan bahasa serta pemikiran mantik yang indah untuk mematahkan kekeliruan materialisme dengan logik Aristotle.

Novel akan datang: Panggil aku Diah

Bloged in iklan buku baru by john norafizan Tuesday July 15, 2008

Judul Novel: Panggil Aku Dahlia

Penulis: Noor Suraya

————————————————————————

Sedutan Novel …

Dahlia menutupi badannya yang kecil dengan gebar putih. Dia berjalan perlahan-lahan ke ruang tamu di tengah rumah tingkat tiga itu dengan telanjang kaki. Ruang yang sederhana luas itu, sebahagiannya ditutupi rak buku yang tinggi hampir mencecah ke lelangit rumah. Ada sofa lembut warna merah jambu berbelang putih memenuhi ruang tamu itu. Walaupun sofa tu sudah lusuh tetapi masih bersih; sehinggakan warnanya yang pudar itu nampak bagaikan satu fesyen pula. Kerusi otoman warna maroon, satu-satunya perabot baru yang ayah beli setelah hampir sepuluh tahun Dahlia pergi. Semuanya tidak berubah, sama seperti dulu! Serupa! Kecuali…. Nay sudah tidak ada!

Di sudut ruang belajar itu, ada lukisan yang Dahlia lukis sewaktu dalam tingkatan dua. Dahlia memang tidak pandai melukis, dan lukisan yang tergantung itu satu-satunya yang pernah dia lukis secara serius. Itu pun kerana terpaksa, kerana dia tersalah pilih aktiviti kokurikulum. Hanya kerana dia ingin melarikan diri daripada sekelab dengan Wadi, dia mendera perasaannya dengan segala warna, kertas, berus. Jadi itulah hasilnya. Namun lukisan itu ada nilai sentimental yang tersendiri. Lukisan itu telah dijual untuk mengutip derma, dan ayah membeli dengan harga yang mahal. Sejak itu, ia menghuni ruang ini sejak bertahun-tahun. Dan ayah Dahlia pernah berbangga bukan main padanya pada waktu itu!

Sebenarnya ayah suka kalau Dahlia pandai melukis. Tanah tinggi ini ada seratus panorama yang boleh dipindahkan atas seribu kertas, kata ayahnya. Itulah hasil kerjanya: lukisan warna-warni tentang ladang ini dari jendela matanya sendiri. Ada bunga dahlia pelbagai warna, jua dahlia dalam warna hijau. Dan sepasang sibur-sibur berebut akan bunga nan satu. Ayah suka melihat latar ladang teh yang beralun dan menganjur luas di belakang bunga-bunga itu. Sedangkan nay pula mengagumi bunga dahlia besar berwarna seroja yang terserlah di depan sekali. Kata nay, dahlia seroja itu ialah Dahlia… penyeri banglo warisan ini. Manakala Dahlia lebih menyenangi sibur-sibur itu. Kata nay, sibur-sibur itu menyerupai nyamuk tiruk aja! Ah, nay… bukankah itu jelas-jelas sepasang sibur-sibur. Mana mungkin dikatakan nyamuk!…

Nota:

Aku memang benar-benar teruja bila melihat sinopsisnya. Aku pasti ini adalah karya terbaik kak Su setakat ini. Mungkin sama baik dengan tanah Adriyana atau mungkin lebih lagi. Cover pun cantik… tahniah kak su!

Ps: Tidak sabar menunggunya

Sonet lama: revisited

Bloged in sisipan by john norafizan Monday July 14, 2008

Bila melihat pelangi mewarna dada petang di dalam hujan lebat di bawah sinar mentari yang terang, entah kenapa aku tiba-tiba tersadung rindu. Mungkin kerana pelangi itu cukup pantas memikat hatiku. Mungkin juga aku pernah menyaksikan panorama yang sama satu ketika dahulu di suatu tempat yang pernah dan tetap menjadi tempat kesayanganku sampai bila-bila.

Bila bercerita tentang pelangi aku tiba-tiba disentuh satu semangat baru. Bagaikan digaru-garu untuk menjejaki kaki pelangi supaya aku dapat ke langit sana dan terbang bebas bagaikan burung.

Atau setidak-tidaknya mimpiku yang terbang tinggi menjadi kenyataan yang abadi…

Semua orang menginginkan agar impian mereka terlaksana. Semua orang mahu bergembira dan mengharapkan cita-cita mereka terlaksana.

Cuma metoda dan kecapaian mereka yang menjadi pengukur darjah kegembiraan itu. Maksud ku, mereka mungkin mahu menjadi juru terbang, tetapi mereka hanya mampu menjadi peramugara (atau peramugari).. Natijahnya sama tetapi metodanya berbeza.. mereka tetap terbang di atas sana walau dalam bentuk yang berbeza.

Nah! Usah kalian menidakkan suratan.. Kegembiraan itu di mana-mana walau pun jauh terperosok ke lembah bumi..  Di atas sana atau jauh di bawah sini adalah dunia milik Tuhan.. Semuanya milik Yang Abadi. Kita harus bersyukur dan bergembira dengan keaadan kita yang seperti ini.

Dia lebih tahu segala-galanya…

Ah! Celoteh pelangi menjadi berita tentang kehidupan pula! Maafkan aku.. cuma aku tidak dapat tidak terpaksa memberitahu bahawa kita semuanya adalah milik Tuhan. Dan kerana itu, atas segala yang kita lakukan adalah untuk-Nya. Tidak ada kegembiraan yang lebih hakiki dari mendapat redha Ilahi.

Di bawah langit merundum Hujan,

Aku akur bahawa kita cuma peminta,

Secarik bahagia dala sekelumit waktu,

Yang bahagia bukannya sendiri,

tetapi kepuasan dalam membahagiakan orang lain..

Di bawah restu-Nya…

Mungkin juga benar bila kita berusaha dengan kuat, Tuhan akan membalasnya sepadan dengan usaha yang kita taburkan itu. Alhamdulillah jika kita dalam berjaya. Tetapi usah menyalahkan takdir jika segala-galanya bagaikan memusuhi kita.

Siapa tahu nanti, ada lagi kejayaan yang lebih agung untuk kita nikmati?

Ah! Mengelamun lagi tentang kehidupan!!!!

Yang benarnya, aku cuma mahu mengingati diri bahawa suatu hari nanti aku akan berehat dari perjalanan tanpa pasti ini. Bahwa suatu hari nanti, kesan tapak kaki ku akan hilang di bawa angin lalu.. terbang bagai kuntum-kuntum Dandelion dan hilang di padang rumput yang seluas langit biru.

Seperti pelangi, cantiknya yang hanya untuk seketika..

Seperti pelangi, suatu masa akan pergi jua….

Seperti pelangi, aku juga akan menemui Penciptaku,

Seperti pelangi, untuk sekejap cuma…..

S*it?

Bloged in apa-apa sahaja by john norafizan Friday July 11, 2008

Hari ini aku lihat banyak sangat komen lucah  dan tak bertamadun yang aku dapat dari spammers. Emel spam ni memang  menyesakkan mata, sampai kadang-kadang aku terpaksa membuang semua  komen tanpa melihat dari siapa.  Geram! Geram!  Geram! Tapi aku akan ‘nuke’ emel ni menggunakan kuasa di wordpress hahahaha!

Hari ni juga, Paklah kata tahun 2010, dia akan bersara.

Petronas syarikat kelapan yang paling untung sekali di dunia.

Aku tak tahu berita mana sebenarnya yang membuatkan kegeraman dan kemarahan ini mencapai takat didih yang dah tak boleh disejukkan lagi!!!!

Ulasan Garis Deja Vu dari dua sumber

Bloged in garis-garis deja vu by john norafizan Thursday July 10, 2008

Ulasan dari blog Darius:

Uniknya Garis-garis Deja Vu (GGDV) ini ialah kerana ia menggabungjalinkan empat cerita di dalam satu novel. Seperti kata blurb di belakang novel ini: “Dua benua. Tiga negara. Empat nyawa. Dan satu takdir yang tersimpul mati!” Membaca GGDV mengingatkan Darius sewaktu Darius menonton filem “Cinta” yang merupakan jalinan lima cerita yang meraikan lima dimensi cinta.Darius tertarik dengan kisah GGDV ini kerana penulis telah menerapkan unsur-unsur falsafah menerusi puisi Jalaluddin Rumi. Juga simbolisme-simbolisme yang digunakan oleh John Norafizan mampu memukau pembaca.

Konflik yang menggerakkan kisah ini membuatkan pembaca berfikir - pencarian Ashraf yang membawanya ke padang pasir di Jordan, pencarian Suraya untuk kembali ke pangkal jalan, pencarian Damien yang tiba-tiba keseorangan di dunia ini, dan pencarian Nini yang membawanya berhadapan dengan situasi yang genting tinggi nun di udara!

Walaupun Darius amat berpuas hati dengan GGDV, Darius rasakan yang novel ini mungkin tidak dapat dihargai oleh kebanyakan pembaca yang sudah dilambakkan dengan pelbagai kisah cinta tipikal menerusi novel-novel lain di pasaran. Jika demikianlah halnya, Darius rasa ini adalah suatu kerugian kepada pembaca itu sendiri.

GGDV adalah satu karya di antara beberapa karya yang lari daripada stereotaip kisah cinta biasa. Ya, GGDV masih kisah cinta tetapi ia mengupas cinta kepada Yang Maha Pencipta, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada suami dan cinta yang sejati.

Darius juga tertarik dengan pembahagian bab yang dilakukan oleh penulis, dan juga subtajuk yang diberikan bagi setiap empat bab. Dan subtajuk yang diberikan itu menjadi tema dan intipati empat bab berikutnya. Bila membaca GGDV, terdapat satu mood yang sukar untuk Darius terjemahkan ke dalam perkataan. Mungkin perkataan yang terbaik yang boleh Darius fikirkan ialah “surreal.”

 

Mahu kisah cinta yang offbeat? Mahu kisah cinta yang mengajak kita berfikir? Mahu kisah cinta yang membawa kita hampir kepada kekuasaan-Nya? Tidak perlu pergi jauh, kerana jawapannya ada pada Garis-garis Deja Vu.

Dari teman Facebook:

Salam bro.

Sebelum ni saya tak pernah baca karya bro. Tapi bila dapat email dari mymasjid sebelum pelancaran Garis-Garis Deja Vu..Jatuh cinta terus.Dah baca. Tak tahu nak cakap apa..macam nak nangis pun sebab rasanya inilah novel yang betui2 menepati citarasa saya.

Trasa sesuatu bila membaca puisi Rumi.. Bila kita kenai ramai orang apalagi bukan dari serumpun dengan kita..Terasa trigin sahaja melawat idan mengalami hidup di negara asing. Syria antara tempat yang ingin saya lawati kerna sejarah Islamnya..Ahh terlalu tinggi cita-citaku.. M’sia pun tak abis round lagi..hehe(Terpengaruh dengan ayat2 dlmGDV,bahasa pun saya terperasan ingin menjadi watak di dalam GDV) Bahasa Ibunda yang saudara gunakan membuatkan saya terasa teruja membaca bab demi bab.

Teruskan usaha anda Mr.John! Tak sabar menunggu karya yang seterusnya kalau bleh nak jugak diselitkan puisi yang hebat seperti Rumi..hehe

Nota: ehehe… rasanya tidak ada puisi Rumi dalam novel yang terbaru ini, tetapi mungkin sesuatu yang lebih lain dan power!

Trangenesis: Bisikan rimba ulasan

Bloged in ulas buku by john norafizan Tuesday July 8, 2008

Transgenesis: Bisikan rimba adalah karya kedua yang dihasilkan oleh penulis Amir Hussaini selepas ombak senja. Ia diterbitkan oleh PTS Fortuna publications di bawah genre Fantasi & Fiksyen Sains.

 

Ia mengisahkan tentang pembunuhan misteri yang berhubung kait dengan eksperimen yang menghasilkan percampuran DNA manusia dan DNA lain (dalam kes ini DNA flora – tumbuhan-tumbuhan).

 

Transgenesis bermula dengan kisah pembunuhan tauke balak Hwang Chien Ming di sebuah hutan dengan bersaksikan pekerjanya Razilan. Pembunuhan misteri yang dilakukan oleh gadis bermata dan berambut hijau dan seolah-olah punya kuasa misteri telah menggemparkan masyarakat setelah berita itu tersiar di surat khabar Semboyan Nasional. Pada masa yang sama, kehilangan ‘subjek’ eksperimen di institut Trans-DNA tambah merumitkan keadaan. Pencarian oleh ‘orang kuat’ institut, wartawan yang ingin membongkar misteri pembunuhan ini dan keterlibatan beberapa pihak ‘secara halus’ lagi tambah membuatkan novel ini jadi satu pembacaan yang menarik.

 

Dan misteri demi misteri, sejarah silam yang tidak tersangka membuatkan ia adalah salah satu buku yang wajib berada dalam senarai buku yang harus dibeli pembaca.

 

Pada aku, transgenesis adalah karya terbaik Amir Hussaini setakat ini. Ombak senja memang karya yang bagus, tetapi transgenesis lebih lagi! Dia bijak memainkan plot penceritaan dengan misteri demi misteri yang membuatkan aku, tidak dapat tidak, harus membaca ceritanya sehingga ke muka surat terakhir. Kadang-kadang, bila aku seolah-olah tahu ‘apa yang akan berlaku selepas itu’, dia membuat twist 180 darjah dan membuat telahanku salah sama sekali.

 

Aku rasa benar-benar bertuah dapat mengenali penulis ini lewat kawad YM dan perbualan telefon. Tetapi perlu aku beritahu dahulu, bukannya kerana aku mengenali penulis ini sebagai teman yang membuatkan aku memberikan review yang amat positif. Bukan. Buku ini memang berhak untuk dipuji. Itulah kenyataannya, sungguh!

 

Kita memang perlu ramai lagi penulis yang dapat mempelbagaikan genre lain dari cinta agar dunia sastera tanah air tidak menjadi stereotaip dan akhirnya terkubur begitu sahaja. Bila masyarakat asyik dimomokkan dengan novel-novel yang hanya bermain dengan emosi, tanpa membuatkan pembaca terfikir, ia akan membentuk masyarakat yang tidak mahu untuk berfikir. Macam kebanyakan filem Bollywood…

 

Syabas sekali lagi buat Amir Hussaini dan Trangenesisnya!

 

(Nota: Jangan silap faham, ada juga novel bergenre cinta yang bagus….)

Tentang Deja Vu

Bloged in garis-garis deja vu by john norafizan Wednesday July 2, 2008

Ramai orang yang memberitahu bahawa aku sepatutnya memanjangkan lagi cerita di antara Numair dan Nini, watak utama keempat dalam GARIS-GARIS DEJA VU. Cinta ‘pandang pertama’ yang sepatutnya diperhalusi lagi untuk mencapai klimaks yang lebih; atau dalam lain perkataan supaya novel menjadi lebih tebal.

 

Sebenarnya, GARIS-GARIS DEJA VU ada lebih kurang 30 muka surat yang ‘hilang’ bagi penceritaan watak Nini. Tetapi mungkin, dalam konteks keseluruhan isi novel, aku tidak dapat meletakkan bab-bab itu kerana isinya yang tidak relevan dalam penceritaan novel.

 

Perlu diingat, walaupun ada 4 cerita yang berbeza dalam novel ini, tetapi setiap cerita itu saling melengkapi antara satu sama lain. Seperti siang dan malam. Langit dan awan. Memanjangkan satu cerita akan membuang ‘feel’ keseluruhan cerita dan itulah yang cuba aku elakkan.

 

Lagipun, yang paling utamanya, adalah pendekatan spiritual itu sendiri. Aku mahu pembaca (dan yang paling utama aku sendiri!) sedar bahawa definisi cinta yang sebenar adalah cinta kepada Tuhan. Dan cinta kepada Tuhan tidak dapat dihayati dengan indah tanpa pengorbanan.

 

 

 

14 queries. 0.354 seconds.
Powered by Wordpress
theme by evil.bert