Novel terbaru…
Novel terbaru aku sudah masuk gear lima – meluncur laju macam masa harga minyak tak mahal dan tak takut nak tekan minyak sampai pedal minyak macam nak tercabut… inilah bestnya bila dapat berlumba menulis dengan rakan-rakan penulis yang lain. Semangat nak menulis tu mencanak-canak naik! Ehehehe! Nazurah, Syud dan Ebriza… dah sampai gear berapa dah?
Jadi apa yang ada dengan novel ke 5 John Norafizan?
Ehehe… sesuatu yang lain…. lain sangat-sangat! Lain tapi best! J J
Kesimpulannya, kalau Garis-Garis Deja Vu tu dah lain, maka kali ini seribu kali lain. Aku berharap pembaca-pembaca novel tanah air akan dapat menerima ‘perubahan’ ini.
Inilah ‘snapshot’ sikit-sikit novel terbaru nanti… enjoy!!!
Snapshot 1
Demi Tuhan aku percaya bahawa Oroka tidak boleh disembuhkan lagi. Sakitnya sudah mencapai tahap kronik yang amat membimbangkan. Sering kali di dalam bilik tidurnya, aku mendengar Oroka menjerit ketakutan seolah-olah ternampak sesuatu yang mengerikan. Cuma bila ayah datang dan menenangkannya, barulah jeritan Oroka menjadi reda. Kadang-kadang juga, aku mendengar dia memanggil namaku dalam tangisan penuh sendu dan menakutkan. Bulu romaku meremang naik. Tetapi aku cuba untuk tidak mempedulikan Oroka dan pura-pura tertidur mati.
Snapshot 2
Di Jepun, dia telah berkahwin dengan nenek, anak kepada jeneral yang baru sahaja balik dari Manchukou. Kata ayah, tidak ada cinta pada perkahwinan itu walaupun nenek tidak menentang. Yang benarnya, jeneral itu telah terhutang budi pada datuk. Terhutang budi yang dibawa hingga ke mati. Kerana jika tidak kerana datuk, leher jeneral itu pasti dikelar oleh penentang-penentang Monggol yang kerasukan. Darah jeneral itu pasti membasahi padang rumput steppe dan memerahi sungai Khalka yang mengalir lesu di antara Mongolia dan Manchukou.
Snapshot 3
Jika engkau berdiri sambil memejamkan mata di lembah Furano, engkau akan dapat mencium bau segar bunga-bunga Lavender yang memekar indah. Udara yang dingin akan menyentuh pipi bagai sentuhan bidadari. Dan kicau burung kedengaran bagai dewi Aphodite sedang menyanyikan kesyahduan sambil memetik tali-temali harp.
Kami berlari bagai pelari Olimpik yang pasti akan mendapat pingat emas. Kami berlari laju seolah-olah kaki kami tidak lagi jejak ke bumi. Lari dan lari dan lari. Seperti terbang di atas awan. Seperti berenang dalam lautan tidak bertepian. Aku di hadapan sementara Oroka mengejar dari belakang.
Snapshot 4
Memang benar. Sejak pertemuan kali pertama lagi aku seolah-olah ‘terikat’ dengan Kafka. Seolah-olah kami punya hubungan simbiosis yang tidak mungkin dileraikan. Dia seperti lukisan Monalisa yang selamanya akan dikaitkan dengan Leornardo. Bagai patung si David yang selamanya membuktikan kehebatan Michealangelo. Aku adalah Leonardo dan Michealangelo itu. Dan dia adalah Monalisa dan David yang gagah.
Snapshot 5
Aku tidak pernah tahu bagaimana ada orang dapat menyembunyikan kepedihan dalam hati dan kemudian pura-pura tersenyum di hadapan dunia. Adakah mereka sebenarnya kalis dengan penderitaan? Atau tidak pernah menganggap keperitan hidup sebagai kegagalan yang harus ditangisi? Ayah selalu memberitahu, hati manusia sering dilanda gusar. Hanya dengan mengingati Tuhan sahaja kita dapat menghilangkan kegusaran itu. Sama seperti apa yang dikatakan Yamata dahulu. Kata darwis itu, kebahagiaan dan ketenangan akan datang bila manusia tahu dan faham akan tujuan kehidupan mereka di muka bumi ini.



