Ulasan: Relevankah aku dihatimu?

Bloged in ulas buku by john norafizan Monday April 28, 2008

Relevankah Aku Di Hatimu A.K.A RADHA adalah satu lagi e-novel yang begitu diminati suatu ketika dahulu di alam maya dan diterbitkan oleh penerbitan Jemari Seni. Inilah adalah hasil karya pertama versi cetak oleh pelajar kejuruteraan yang menggunakan nama RNYSA.

 

Di awal-awal bab pembacaan, aku sudah mulai ketawa seperti orang gila. Aku tidak tahu sama ada aku yang gila atau buku ini yang gila. Bahasa santainya cukup mempesonakan. Dan jenaka sinisnya yang diadun dengan terma-terma saintifik cukup ‘perfect’ sehingga aku sanggup meneruskan pembacaan.

 

Ia mengisahkan tentang kisah seorang gadis bernama Akasyah sejak dari zaman persekolahan sehinggalah menjangkau lewat pengajian universiti di Jepun. Akasyah berkawan baik dengan Carl Duke Adam sambil meminati (dalam diam) seorang pelajar lelaki lain bernama Ammar. Kisah seperti cinta tiga segi yang membawa aku pada kenangan di persekolahan dahulu.

 

Tambahan pula dia menggunakan latar belakang Taiping dengan sekolah SERATAS (itu musuh sekolahku dahulu!) dan sedikit menyentuh MRSM Taiping sebagai latar penceritaan. Teringat aku ketika zaman bermain bola sepak dan ragbi dahulu. SERATAS adalah musuh sekolahku dan MRSM Taiping adalah musuh SERATAS!

 

Apa pula aku merepek ni?

 

Kembali pada ulasan, RNYSA cukup pandai mengadun elemen-elemen yang menghiburkan tanpa melalaikan pembaca. Untaian watak dan perjalanan cerita juga berkembang menjadi lebih serius seiring dengan kehidupan mereka yang semakin besar. Banyak teladan dan nasihat yang diselitkan membuatkan ia bukan sekadar kisah cinta murahan. Petikan ayat-ayat Al-Quran, hadis dan kisah-kisah nabi dan sahabat membuatkan RADHA menjadi begitu istimewa.

 

Mungkin aku sudah cukup terlewat membuat ulasan ini kerana RADHA sudah lama berada di pasaran. Kepada yang sudah membacanya, aku tahu mereka memahami apa yang aku cuba sampaikan.

 

Kepada yang belum memiliki RADHA, tunggu apa lagi? Dapatkan RADHA hari ini juga!

 

P/S: Semenjak dua menjak ni, aku banyak mengulas buku disebabkan sedang membaca buku-buku yang dibeli ketika di pesta buku tempoh hari, aku cuma mengulas untuk buku-buku berbahasa Malaysia sahaja, buku-buku berbahasa Inggeris yang aku baca semua mungkin ‘reserve’ untuk blog Inggeris yang terbengkalai sampai sekarang uhuhu!

 

 

Garis-Garis Deja Vu: Ulasan

Bloged in garis-garis deja vu, ulas buku by john norafizan Wednesday April 23, 2008

Dari Azeel via emel

aku mula membaca karya John Norafizan dengan novel keduanya ‘Tunjukkan Aku Satu Bintang’  dan sesuatu yang berjaya memancing ku untuk menghabiskan novel itu adalah kekuatannya dalam mendalami watak-watak di dalam bukunya dan berjaya menggambarkan peristiwa yang berlaku dengan jelas.

Dan aku juga seolah-olah terkejut dengan kehadiran watak antagonis yang paling terkesan pernah aku temui sepanjang aku membaca novel-novel berbahasa Melayu. Yang aku maksudkan adalah Father Thomas Rodriguez, yang jelas membuat kita rasa gelisah dengan segala tindak-tanduknya yang melampaui batas kemanusiaan. Dan kemudiannya aku semakin teruja untuk mencari novel pertama John, Sempadan Tanpa Seri yang jelas terlalu sukar untuk mendapatkannya. Tanpa aku jangkakan, sebenarnya Father Thomas Rodriguez sudah pun wujud di dalam novel pertama itu.

Cuma watak-watak utama di dalam kedua-dua novel tiada kaitan melainkan watak Asnawi yang jalan takdir hidupnya seiringan dengan watak lelaki keparat itu. Seolah-olah Ilahi sudah menetapkan yang Asnawi perlu ada bagi mengawasi segala tipu daya dan sikap kejam Thomas Rodriguez.

Aku mula mengenali John secara dekat apabila aku mula memberi komentar di blog beliau dan kunjungan balas itu merapatkan kami. Seingat aku, ketika itu beliau masih menulis rangka bagi novel ketiga, “Cinderella Cinta”. Dan sesuatu yang menarik perhatian, John seolah-olah menulis sesuatu yang dekat di hatinya, sama ada mungkin watak-watak itu wujud sepertimana wujudnya Manchester dan Johor Bahru di dalam kesemua novel-novelnya.

Lalu setelah keluarnya novel ketiga itu, aku jadi teruja untuk bertanya, apakah novel seterusnya. Jelas, John menjawab yang dia ingin menyelesaikan apa yang ada seolah-olah tergantung di dalam novel-novelnya. Dan seingat aku sebelum munculnya ‘Garis-garis Deja vu’ di pasaran, aku yang jelas sudah tidak sabar menunggu bertanya apakah latar belakang novel terbarunya itu. Dan aku begitu terkejut, bila dia mengatakan novel ini masih berkisar tentang Father Thomas Rodriguez lagi!

Seperti novel-novel terdahulu John, dunia seperti tidak lagi aku hiraukan lagi dan untuk ‘Garis-garis Deja vu’, aku hanya memerlukan kurang lebih 4 jam untuk menghabiskan bacaan. Dan aku membuat kesimpulan begini : John akhirnya berjaya menamatkan satu trilogi penulisan yang mungkin sudah dirangkanya sejak awal lagi dengan penuh bergaya.

Sesuatu yang menarik dalam ketiga-tiga novel ini, walaupun mempunyai jalan cerita dan watak-watak yang berlainan, namun kesemuanya menemukan kita pada satu titik permulaan yang nyata. Semuanya menjerumuskan pembaca untuk memahami dan mengenali watak Father Thomas Rodriguez dengan lebih terperinci.

Hubungannya bukan hanya beberapa watak-watak utama masyarakat Malaysia (di England) tetapi di dalam ‘Garis-garis Deja vu’, kebinasaannya itu melepasi sempadan dan bersifat antarabangsa.

Bagi sesiapa yang belum lagi membaca karya-karya John, kamu masih lagi boleh membaca novel terbarunya ini tanpa merasa ketinggalan kerana masih tidak membaca karya-karya terdahulu. Setiap novelnya berdiri tersendiri di atas watak-watak yang ada. Dan aku pasti jika sesiapa yang mula mengenali John apabila membaca ‘Garis-garis Deja vu’, pasti akan mencari ‘Tunjukkan Aku Satu Bintang’ dan ‘Sempadan tanpa Seri’.

Mengulas kepada ‘Garis-garis Deja vu’ banyak unsur-unsur baru yang diceritakan oleh John.

Bukan sahaja soal percintaan yang lain dari cinta yang pernah kamu temui dari penulis-penulis yang lain. Cinta terhadap Tuhan itu dinyatakan dalam watak Suraya yang sudah kehilangan arah dalam mencari kebenaran dan kekuasaan Ilahi. Tentang seorang Muslim yang telah lama murtad atas nama cinta, dan terus beralih kepada Kristian, seterusnya hilang punca lalu menidakkan kuasa yang Maha Esa.

Dan dari penceritaan secara monolog yang disampaikan oleh John, kita akan merasakan bagaimana resah gelisahnya seorang manusia yang hanya memikirkan tentang keresahannya tanpa sebarang kepercayaan. Kerana beberapa rentetan yang berlaku di sepanjang hidupnya, dia kini dalam kesesatan.

Cinta juga menjadi persoalan utama bagi watak Ashraf yang terhimpit dengan kisah cintanya di masa lampaunya yang membuatnya rasa cukup bersalah dan cuba menebus semua kesilapannya dalam menangani permasalahan perkahwinan pertamanya dahulu.

 Maka bermulalah pengembaraan Ashraf ke tanah tandus kering bumi Jordan untuk mencari kepastian dan jawapan atas segala teka-teki atas nasib bekas isteri pertamanya yang ditinggalkannya. Bagaimana kesalnya dia melepaskan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah.

Cinta yang terlarang yang menjadi kekesalan yang besar oleh seorang isteri juga menjadi inti pati Garis-garis Deja vu . bagaimana rasa kekesalan kerana berlaku curang membuatkan seorang isteri mencari si suami yang entah menghilang ke mana.

Dan bagaimana cinta itu sendiri tidak mengenal batasan bangsa apabila Nini dan Numair dipertemukan dalam satu situasi yang penuh ketegangan akibat keganasan antarabangsa yang semakin menular di zaman ini. Begitu unik cinta yang terlahir begini, dan bagaimana dilema Nini yang tidak mampu membalas cinta itu kerana dia sendiri belum pasti tentang untung nasib diri sendiri dan bayi dalam kandungannya.

 Dan perlu aku tabik kepada John kerana hubungan Nini dan Numair ini adalah kekuatan bagi novel ini dan aku menghayati gerak rasa cinta tanpa suara yang harus tunduk kepada keadaan yang berlaku di sekeliling mereka.

Terlalu sarat John mencipta kisah-kisah cinta dalam ‘Garis-garis Deja vu’.

kisah anak kecil berusia 10 tahun, Damien yang terlalu mengharapkan kasih sayang ibu yang sedang koma di hospital dan perhatian ayahnya yang telah menghilang diri. Dan atas dasar mencari belaian ibu dan ayahnya, Damien dan Jenny telah mencari jalan untuk menjejaki ayahnya.

Bukan sahaja watak Damien ini sahaja, kita juga dipersembahkan dengan watak Sulaiman yang turut mencari ayah kandungnya yang tidak pernah dia temui seumur hidup selepas Ashraf diwasiatkan oleh datuknya untuk membantu anak malang itu. Dan sesungguhnya pelbagai bentuk cinta yang tersurat di dalam ‘Garis-garis Deja vu’ dan setiap satunya mempunyai kekuatan sendiri. Dihuraikan dengan begitu teliti dan hidup.

Apa kekuatan novel ‘Garis-garis Deja vu’? aku kira, secara dasarnya, penceritaannya adalah elemen kekuatan yang utama. Kisah-kisah yang berlaku di dua benua, tiga negara digarap begitu baik dengan setiap watak utama berpeluang bercerita secara monolog tentang apa yang difikirkan, apa yang dirasakan.

Ashraf, Nini, Damien dan Suraya menunjangi keseluruhan cerita dalam novel ini, dibantu dengan kehadiran watak-watak sokongan yang menguatkan penceritaan itu. Dan dengan beberapa persoalan cinta berjalan serentak, kita jadi tidak bosan dan tidak sabar untuk mengetahui peristiwa yang akan terjadi.

Dan yang paling mendebarkan apabila peristiwa ketika di dalam pesawat yang aku kira sesuatu yang terlalu baru dalam penulisan novel di Malaysia. Mungkin agak berlebihan jika aku katakan John sudah mencapai tahap novel antarabangsa, tetapi babak-babak itu cuma hanya akan kita jumpa di dalam novel-novel ciptaan Robert Ludlum atau Tom Clancy.

Seperti yang aku perkatakan tadi, pelbagai kisah cinta dipersembahkan. Tidak seperti novel-novel lain yang hanya memusatkan perhatian pembaca kepada satu kisah cinta utama sahaja, novel ini sebaliknya memperkenalkan beberapa kisah cinta yang berkisar tentang cinta dan kerinduannya, tentang cinta dan pengorbanannya serta cinta dan pencariannya.

Jangan pula pembaca mengharapkan adanya ungkapan-ungkapan cinta yang terlalu melankolik, ianya sukar untuk kamu cari dalam novel ini. Kisah di mana kita diajak untuk berfikir betapa realiti dalam bercinta itu adalah sesuatu yang harus difahami dan dikupaskan secara ilmiah. Ini adalah kekuatan kedua yang harus ditimbangkan untuk membezakan penulisan John yang begitu kreatif.

Kesinambungan kisah ini yang bermula dan berlaku di sekitar Manchester semenjak wujudnya Father Thomas Rodriguez di sana dalam ‘Sempadan Tanpa Seri’, hingga membawa kepada pengembaraan Ashraf yang cuma pertama kali menjejak kaki di bumi Inggeris, merupakan kekuatan ketiga novel ini. Dan bagi aku yang mengikuti novel-novel terdahulu, ini merupakan pengembaraan terakhir yang harus ditempuhi.

Makanya, ikatan antara ‘Sempadan Tanpa Seri’ dan ‘Tunjukkan Aku Satu Bintang’  dipererat lagi dengan munculnya ‘Garis-garis Deja vu’. Ini aku namakan keseronokan dan keterujaan apabila membaca, seperti mana berlaku kepada peminat setia siri ‘Harry Potter’. Kekuatan yang hanya akan dirasakan oleh pengikut setia John Norafizan dan akan turut dirasai oleh peminat-peminat barunya nanti.

Secara keseluruhan, ‘Garis-garis Deja vu’ membawa kita mengembara ke seluruh pelosok dunia, mengenali kebudayaan yang wujud di merata dunia. dan ianya bukan hanya menghasilkan unsur cinta yang berbeza, juga mempunyai unsur mistik yang membawa kita menyedari yang setiap apa yang berlaku itu sesungguhnya adalah di bawah kekuasaan Nya. John masih lagi mahu membuka mata kita tentang konsep mengenali Allah dengan sudut pandangannya yang penuh firasat.

Tahniah atas kejayaan ini, dan teruslah melahirkan sesuatu yang berbeza dan tidak terbelenggu dengan penulisan arus perdana.

 

Nota: Azeel telah menutup blognya – datang dan menghilang. Kata Azeel, ada sesuatu yang hilang sehingga tidak mampu menulis lagi. Tetapi sebelum itu dia telah berjanji untuk mengulas Garis-Garis Deja Vu dan petang semalam, dia menghantar ulasan ini

Lili buat najah:ulasan

Bloged in ulas buku by john norafizan Tuesday April 22, 2008

Lili buat Najah (LBN) adalah karya pertama Nazurah Aishah yang dihantar secara e-novel di salah satu forum di internet tidak lama dahulu. Ia telah mengumpul ramai pengikut dan ‘die-hard fan’ sebelum diterjemahkan ke versi bercetak beberapa minggu yang lalu. Ini adalah satu testimoni di mana penulis-penulis blog atau e-penulis adalah entiti yang tidak boleh diabaikan dewasa ini kerana mereka seperti permata yang hanya menunggu untuk digilap. Dengan saluran yang betul, tidak mustahil karya mereka boleh diterbitkan dan menjadi ‘best-seller’ melebihi karya penulis-penulis sedia ada.

 

LBN mengisahkan hubungan perkahwinan sembunyi-sembunyi antagonis novel ini, Tasha dengan Najah yang belajar di luar negara (England! Manchester! Yea!). Mereka balik ke tanah air dan terpaksa berlagak seperti tidak ada apa-apa yang berlaku di antara mereka. Semuanya dilakukan demi menyembunyikan perkahwinan mereka dari keluarga Najah, lebih-lebih dari ibu Najah, Puan Seri Tunku Helena Tunku Ariff Bendahara (PSTHTAB) yang ku kira adalah protagonisnya.

 

Segala-galanya semakin rumit bila PSTHTAB mahu menjodohkan Najah dengan menantu pilihan hatinya, Farah. Farah pula yang ditonjolkan sebagai wanita ‘tergedik-gedik’ cuba mengambil hati Najah dengan bekerja di syarikat milik bapa Najah. Keadaan menjadi kompleks bila Tasha pula telah diambil bekerja terlebih dahulu di syarikat yang sama.

 

Adakah PSTHTAB akan menerima Tasha sebagai menantu? Apa yang berlaku di antara hubungan Tasha dan Najah yang kadang-kadang bergelora? Adakah lagi kepedihan yang harus Tasha tempuhi demi cintanya yang agung pada Najah? Apakah ‘kegilaan’ yang dilakukan Najah demi untuk melihat Tasha bahagia?

 

LBN adalah bacaan santai/sedih tetapi lebih baik daripada novel-novel cinta remaja/dewasa santai/sedih yang sudah banyak di luar sana. Ia memperlihatkan kematangan dan kepandaian penulis dalam menggarap genre ini agar tidak terjatuh dalam kisah-kisah sinetron Indonesia yang merapu-rapu.

 

Aku rasa tidak rugi membacanya. Ada sesuatu yang akan membuatkan rasa terharu menggaru-garu di hati. Oh! Ya, aku terlupa satu perkara, jika anda seorang yang sensitif, anda pasti mahu menyediakan tisu untuk mengesat air mata yang akan keluar nanti. Hehehe!

 

Syabas kepada Nazurah Aishah. Semoga beliau akan terus menulis novel-novel yang menggetarkan perasaan pada masa hadapan. Dan syabas juga kepada Jemari Seni kerana telah berjaya mencungkil bakat seorang lagi penulis berpotensi besar seperti beliau.

 

 

 

 

Labyrinth: ulasan

Bloged in penulisan di Malaysia by john norafizan Friday April 18, 2008

Labyrinth adalah karya kedua imaen selepas novel Vendetta (di dalam Gurindam Jiwa). Ia mengisahkan tentang kejadian pembunuhan bersiri yang menemukan pakar bahasa Dani dan detektif polis Kamal yang berbeza karakter dan kisah hidup. Pembunuhan itu seolah-olah satu jalan yang membawa mereka, selain daripada mencari pembunuh dengan modus operandi misteri itu, menemukan mereka pada jalan-jalan berliku di dalam hidup dan jawapan yang harus mereka cari.

 

Dilontarkan pula cerita Hanani, polis wanita keras kepala tetapi menyimpan perasaan pada teman baiknya, dan Maira yang berada di persimpangan cinta – cinta kepada manusia tetapi pada masa yang sama dia tidak mahu cinta kepada manusia itu memesongkan dia pada cinta yang lebih agung – cinta kepada Tuhan.

 

Terperangkap di dalam labyrinth, di dalam lubang arnab si ‘Alice in wonderland’, siapakah yang berjaya keluar menemui bahagia?

 

Nah! Engkau sedang membaca The English Patient, Da Vinci Code, cerita Hannibal Lecter, buku-buku Pramoedya, Love at the time of Cholera, By the River Peidra I sat down and wept, sedikit Hamka, sajak Chairil dan sajak-sajak lainnya sambil menonton CSI dan Silence of the Lambs pada masa yang sama. Pada masa yang sama! Aku benar-benar terkesima!

 

Dan jangan pula dikata ia sebuah novel yang berat, kerana ada ketikanya aku tersenyum simpul dan hampir tertawa kecil seolah-olah sedang membaca Bridget Jones Diary!

 

Sebenarnya aku tidak pernah mempercayai bahawa ada penulis thriller di Malaysia ini tetapi setelah aku membaca karya Imaen, aku terpaksa mengakui bahawa telahan ku salah. Rupa-rupanya kita sudah ada Thomas Harris dan Dan Brown versi Malaysia. Tetapi Thomas Harris dan Dan Brown yang mengingatkan aku pada Tuhan.

 

Dan kini, aku sedang mengkaji pula ‘minda’ Imaen di dalam Vendetta (kumpulan cerita di dalam gurindam jiwa).

 

Ini bukan sesuatu yang bias kerana ku kira penulis Imaen berjaya mencantumkan prosa-prosa yang cukup kukuh dan bersahaja di dalam Labyrinth. Metafora-metafora yang membuatkan aku terpaksa berhenti sebentar untuk berfikir. ‘Ideologi’ yang membuatkan aku tersengih dan mengangguk puas.

 

Plot dan perkembangan watak juga digarap kemas. Jadi aku tidak ada masalah di situ.

 

Pada aku, Labyrinth bukan ada satu cerita sahaja. Tetapi cerita dan pengertian berlapis-lapis kepada yang tahu dan mahu mencari. Benar-benar puas! Benar-benar berbaloi!

 

Kini, selain dari Ahmad Patria Abdullah, Khadijah Hashim, Anwar Ridhwan dan Faisal Tehrani, aku harus meletakkan Imaen di dalam senarai penulis-penulis Melayu yang aku minati.

 

Tahniah Imaen untuk Labyrinth!

 

 

 

 

 

YM Deja Vu

Bloged in garis-garis deja vu by john norafizan Wednesday April 16, 2008

Saudara Azeel adalah reviewer untuk buku Cinderella Cintaku, reviewnya digunakan untuk laman web ini. Namun apa yang membuatkan hatiku berasa teruja dan takut pada masa yang sama adalah kerana expectation nya. Langkahku dalam bidang penulisan ini masih lagi jauh. Amat jauh. Dan tanpa sokongan teman-teman dan peminat novel Melayu, aku kira, aku sudah ‘bungkus’ tiga tahun yang lalu…

Dan ini sebahagian dari isi YM itu:

enazeel: salam john. sori … mingu lps aku outstation …tak dpt jenguk kau di pesta buku

john_norafizan: salam.. no problem

enazeel: btw … aku dah baca garis-garis dejavu …

john_norafizan: oh yer ker? erm… ok ker?

enazeel: dan kau betul2 buat aku tak boleh letak novel kau tu

john_norafizan:

john_norafizan: aku amek cabaran ko sebenarnyer

enazeel: 4 jam aku habiskan

john_norafizan: in a way, ko yang buat aku mulakan deja vu

enazeel: mmg cantik … kali ni teratur jalan cerita kau

john_norafizan: thanks… syukur

enazeel: dan aku rasa takde subplot yg merapu2 …

enazeel: semua watak yg kau ceritakan mmg kau perhalusi

enazeel: cuma aku nak pesan kau satu sahaja …

john_norafizan: ok aper dier?

enazeel: next novel, kau kena start dgn satu trilogi baru ..

enazeel: actually, bagi org yg ikut novel kau, novel baru kau tu satu keterujaan yg berterusan … sebab kau akhirnya selesaikan trilogi kau tu

enazeel: aku takut kalau kau teruskn dgn cerita dgn latarbelakang yg sama … pembaca baru kau jadi sesat

enazeel: faham maksud aku kan?

john_norafizan: ya… aku memang benar-benar dah tinggalkan trilogi ’sempadan tanpa seri ni’

enazeel: mulakan trilogi baru utk novel akan dtg

enazeel: btw … aku kira kau dah leraikan semuanya …

enazeel: dan aku rasa kau dah letak satu dasar kukuh kalau kau nak sambung lagi sbnrnya …

enazeel: watak2 kanak2 yg sekian lama kau cipta .. boleh diteruskan …

john_norafizan: ok

enazeel: mana tau kau ada idea utk gabungkn mereka dan buat satu siri novel adventure utk kanak2

john_norafizan: hehe.. itu yang aku fikirkan tapi buat masa sekarang nanti dulu

enazeel: lagipun watak2 kanak2 tu semuanya di manchester, england … cukup sesuai utk something mcm harry potter, narnia

john_norafizan:

enazeel: aku kira kau dah mengatasi RAM … sbb aku habiskn novel kau …. novel dia aku baru baca bab2 awal saja

enazeel: kau tak nak buat skrip filem?

john_norafizan: belom lagi walaupun aku memang berniat ke arah tu

john_norafizan: Insya Allah kalau aku benar-benar dah dapat bertapak dalam bidang penulisan aku akan buat projek lain pula

john_norafizan: aku nak kecilkan jurang antara sastera popular dan sastera ’sastera’

enazeel: kau ada cerita hebat … dan kalau digabungkn ketiga2 trilogi tu, kau boleh buat satu filem hebat … cerita ttg paderi gila tu

enazeel: susah john … tak ramai penulis popular yg mcm kau … ***************** kau lain … kau menulis kerana kau mengembangkan apa yg mahu kau tuliskan

john_norafizan: aku tahu tapi seseorang mesti mencuba, kan?

enazeel: aku sbnrnya sudah jrg beli buku … sebab sejak setahun dulu, setiap 4,5 buku yg dibeli, cuma satu saja yg bermutu

john_norafizan: i see..

enazeel: kau tau kenapa aku suka baca tulisan kau? kau berani menulis sesuatu yg berbeza

enazeel: dan cerita kau lebih terbuka. mereka yg lain, menulis ttg cinta yg mudah

john_norafizan: itu satu penghargaaan azeel.. timer kaseh

enazeel: maaf, aku dah lupa nama2 watak dlm novel kau, tapi cinta yg kau cipta di padang pasir itu sesuatu yg mengharukan.

john_norafizan: cerita ashraf…

enazeel: antara tebusan dan pengganas … dlm satu dimensi baru.

john_norafizan: oh.. yang itu nini dan numair

enazeel: maksud aku isteri ashraf tu … dan pemuda palestin tu

john_norafizan: yeap

enazeel: itu kekuatan novel kau kali ini

enazeel: dan pengalaman ashraf itu tercipta bila kau mahu memperkembangkan cerita2 di manchester ..

enazeel: dan yg baru dan menarik bagiku adalah tentang nini dan numair .. kalau la kau boleh bercerita ttg saat-saat terakhir mereka …

enazeel: saat-saat terakhir mereka kau cuma ceritakan melalui watak ketiga …

enazeel: itu yang aku kesalkan sedikit … kau tau, bila kau sampai ke tahap itu, aku sudah merasakan helaian novel semakin menipis .. sebab masa tu aku mau ttg mereka

enazeel: tapi takpe john … novel kau mmg bagus

enazeel: skjap … aku ada meeting ni

john_norafizan: ok

john_norafizan: nanti sambung

Andrea Hirata

Bloged in Uncategorized, pesta buku by john norafizan Monday April 14, 2008

Andrea Hirata dan Andrea Hirata Malaysia ehehehe…

Tapi siapa nak filemkan Garis-Garis Deja Vu?

2.

Pesta buku vol 2

Bloged in Uncategorized, pesta buku, garis-garis deja vu by john norafizan Friday April 11, 2008

Sembah dan syukur pada Tuhan yang Esa…

Alhamdulillah! Pesta buku kali ini memang benar-benar terkesan di dalam hati. Garis-Garis Deja Vu mendapat pujian dan respons yang benar-benar positif. Dan kini aku mendapat tahu bahawa CINDERELLA CINTA telah dinobatkan sebagai novel terbaik Creative Enterprise untuk 2007.

Walaupun sekadar menduduki tempat ke 5 (berbanding TUNJUKKAN AKU SATU BINTANG - tempat pertama), aku masih lagi gembira. Karya ku tetap diterima dan kualitinya masih lagi terjaga. Itulah yang paling penting sekali.

Tetapi yang benarnya, aku gembira kerana aku sudah meninggalkan penerbitan lama dengan karya-karya yang berkualiti. Itulah yang manis.

Kini aku akan melangkah dengan lebih jauh lagi. Dengan lebih laju lagi. Ku kira masanya telah tiba. Dan GARIS-GARIS DEJA VU adalah tangga pertama. Aras pertama untuk buku-buku yang seterusnya.

Selamat datang ke dunia John Norafizan yang baru!

NOTA: GAMBAR-GAMBAR PESTA BUKU SUDAH DIUPDATE! Klik di

bawah chat box pada menu ‘galeri foto’ sebelah ‘puisi sendu’

Pesta buku vol 1

Bloged in pesta buku by john norafizan Wednesday April 9, 2008

Aku sudah tiba di hujung tanah Melayu, tetapi penat dan sedikit pening masih lagi terasa. Mungkin kerana menghidu terlalu banyak asap karbon dioksida di Puduraya malam tadi agaknya. Aku baru sahaja menyelesaikan Sang Pemimpi dan Edensor (Andrea Hirata), Karbala (Faisal Tehrani), Dirgahayu Tun Dr. Mahathir dan pemimpin yang itu (A. Samad Said) dan kini tenggelam dalam cerita-cerita pengembaraan di dalam ‘travel writing’ oleh (antaranya) Hanif Kureishi, Martha gellhorn dan Ryszard Kapuscinki.
Nanti aku akan ceritakan pengalaman di pesta buku bila sebu ku sudah hilang…
Juga akan ku masukkan semua gambar-gambar di pesta buku di dalam web ‘picture’ ku… tapi tunggu dulu ya! (minggu depan! minggu depan!)
Untuk sementara waktu, tatapilah wajah-wajah gembira di pesta buku (A. Samad Said, faisal tehrani, Noor Suraya, Anis Ayuni, Ebriza, Mersik, Puteri Imanisya, Puteri Andalas, Rose Harissa, Lily Haslina, Syud, Rnysa, geng-geng ulatbuku -kakwan, mamajambu, tulipK, k. mas dan banyak lagi (maafkan aku jika terlupa!) .. dan sudah tentu dengan pengulas buku no. 1 - Carrie Kirana dan pelakon cun Vanida Imran. Ah! Akulah yang paling gembira sebenarnya!!!! Ehehehehehe….)

4 hari lagi dan 4 perkara

Bloged in pesta buku, garis-garis deja vu, apa-apa sahaja, idea baru by john norafizan Tuesday April 1, 2008

1. Takziah kepada Allahyarhamah YUSNI JAAFAR yang telah pulang ke pangkuan Tuhan Yang Esa pagi tadi. Semoga rohnya akan ditempatkan di kalangan ruh-ruh orang yang beriman. Dan kepada yang masih hidup, sama-samalah kita sedekahkan sekurang-kurang Al-Fatehah untuk beliau… Al-Fatehah!

2. Terima kasih kepada April Snow, Ulat buku dan penulis yang semakin terkenal Manjlara kerana telah memberikan maklum balas (YANG POSITIF) tentang karya terbaru ku GARIS-GARIS DEJA VU. Beberapa perenggan yang diambil dari mereka adalah:

manjlara:

GGDV ialah sebuah novel yang mengisahkan tentang empat watak utamanya, Damien, Asyraf, Suraya dan Nini/Numair. Perasaan saya tika di awal pembacaan; saya ingin segera mengetahui penamatnya. Dan apabila tiba di penghujung bacaan, saya bagaikan ingin berhenti sejenak dan memperlahankan bacaan kerana seolah-olah ’sayang’ untuk ‘berpisah’ dengan watak-watak utamanya ini.

Ulatbuku:

Malah pada aku GGD ini lebih berbisa jika dibandingkan dengan Cinderella Cinta

April Snow:

4.5 Bintang………..

baru selesai mentelaah karya terbaru JN ni………perrghhh …tapi mmg muahhhh

buat John, karya anda kali nie mmg istimewa sekali…bagi haku yg sudah membaca kesemua karya terdahulunya, GGDJV memperlihatkan kematangan John berkarya…dan haku kira antara kesemua karya beliau, naskhah ni boleh diangkat sebagai karya terbaik JN…congrats sekali

Aku memang berdebar menunggu reaksi semua rakyat Malaysia yang membaca novel tempatan tentang GGD. Jika GGD diterima, aku benar-benar gembira.

Dan oh! Ya… kepada yang tidak mahu mengetahui ceritanya sebelum membeli GGD, usah klik pada review sama ada di alamat dibawah ini atau digambar GGD… tapi yang tidak kesah pada spoiler…. (bak kata Nabil dalam Raja Lawak) Lu pikir la sendiri! eheheheh

P/S: Buat April Snow, tanah ratu memang meninggalkan kenangan manis ehehehe.. tapi untuk novel seterusnya, tanah ratu akan ditinggalkan… mari kita sama-sama pergi ke negara matahari terbit pula!!!

3. Ini adalah jadual bertugas penulis-penulis Jemari Seni! Jangan lupa berkunjung ke sana!

4. Jumpa anda di pesta buku nanti!

14 queries. 0.391 seconds.
Powered by Wordpress
theme by evil.bert