
Empat watak utama mendominasi Garis-Garis Deja Vu (GGD), Ashraf, Suraya, Damien dan Nini. Dua wanita dan dua lelaki (seorang dewasa dan seorang anak kecil). Ku kira, Deja Vu mengambil nyawa Sempadan Tanpa Seri (STS) (Creative Enterprise, 2003) dan rencah Tunjukkan Aku Satu Bintang (TASB) (Creative Enterprise, 2005) berbanding dengan novel terakhir ku, Cinderella Cinta (CC) (Creative Enterprise, 2007). Namun kali ini ada sesuatu yang lain di dalam GGD, yang masih belum dikupas pada novel-novel ku sebelum ini.
Cinta magis dan pengembaraan mistik.
Kembali kepada penceritaan watak; Suraya adalah gadis di pertengahan umur dua puluhan yang tersepit di antara cinta dan kebahagiaan yang hakiki. Benar. Dia seorang yang degil dan kuat semangat. Tetapi adakah segala-galanya yang degil dan kuat itu dapat menutupi kekosongan di hatinya? Suraya yang sentiasa berperang dengan perasaannya sendiri. Inilah yang digambarkan melalui watak Suraya sebagaimana di dalam perenggan ini;
Suraya menarik nafas dalam-dalam. Ada perasaan aneh yang menyelongkar dirinya saat dia menolak daun pintu bilik Eilin. Aneh dan malu dan takut dan gementar. Dia tidak tahu kenapa. Seperti berada di dalam mimpi yang kabur. Dan di dalam mimpi itu, Suraya sedang bermimpi yang lain. Mimpi di dalam mimpi. Bagai deja vu.
Damien. Damien. Ah! Aku tidak tahu kenapa. Aku benar-benar menyukai watak Damien. Barangkali Damien adalah gambaran anak kecil yang mahu aku tulis di dalam TASB tetapi tidak dapat ku lakukan kerana kemahuan cerita yang sebegitu. Damien adalah anak malang yang lahir di dalam keluarga yang berantakan. Tidak seperti Daniel (TASB), Damien berusaha kuat untuk mendapatkan kebahagiaan yang hilang. Dan dia sanggup berkorban demi untuk mencari kebahagiaan itu. Namun, aku masih belum lagi terlupa bahawa dia cuma seorang anak kecil yang berumur sepuluh tahun sahaja…
Damien memeluk tubuhnya erat. Hembusan kabus segera keluar dari mulutnya ketika dia melepaskan satu keluhan panjang. Tidak mengapalah kalau baba tidak mahu menemaninya ke hospital pagi itu. Dia akan pergi sendiri. Biar dia duduk menemani ummi sehingga ummi terjaga dari komanya. Dan kalaupun ummi tidak terjaga, dia mesti berdoa dengan beribu doa agar Tuhan dapat mendengar sekurang-kurangnya satu doa dari Damien. Biarlah dengan satu doa itu, Tuhan akan menyembuhkan ummi. Dan kemudian keluarga mereka akan menjadi keluarga yang bahagia semula.
Damien tersenyum sayu. Dan mungkin selepas itu baba akan membenarkan Damien memanggilnya dengan panggilan baba semula.
Nini adalah gambaran nasib malang wanita-wanita yang ditinggalkan oleh suami. Dan Nini di dalam cerita ini sedang mengandung dua bulan ketika suaminya hilang tiba-tiba. Aku cuba menyelami perasaan seorang wanita yang sedang mengandung dan kemudian hilang tempat bergantung.
Rindu ini tidak tertanggung lagi. Cinta ini tidak tertahan lagi. Rasa bersalah ini tidak mampu dihilangkan lagi. Ribut yang melanda kehidupannya harus diredakan. Biar tidak ada kekeliruan lagi. Dan Nini tahu dia harus melakukan sesuatu. Sesuatu yang akan membuatkan suaminya itu kembali semula ke sisi isterinya yang sah ini. Nini mengeluh kecil. Perlahan-lahan dia menatap sekeping kertas di tangannya dengan hati yang berdebar-debar.
Dan Ashraf yang melengkapkan cerita GGD sebagai pembukaan pada setiap bahagian di dalam buku GGD. Watak Ashraf adalah watak yang kompleks. Sama ada dia bersalah atau tidak, hanya pembaca yang akan menentukannya. Dan mungkin persoalan yang dibawanya kadang-kadang terdetik di fikiran kita; bagaimanakah mencintai orang yang tidak dicintai….
Cinta seorang Ashraf telah lama mati. Rohnya telah terbang di bawa angin panas bumi Jordan ini. Dan hilang sejak lama dahulu…
Watak-watak yang paling kompleks semenjak penciptaan Father Thomas Rodriguez di dalam TASB.
Oh! Ya. Sebelum aku terlupa, biarlah ku beritahu rahsia ini: Garis-Garis Deja Vu boleh juga dipanggil sambungan untuk dua novel terawal STS dan TASB. Satu trilogi. Trilogi yang berdiri dengan sendirinya… J J J
Sneak Peek ke 3 akan menemui anda pada 01 MAC 2008