1.1.2008

Bloged in apa-apa sahaja by john norafizan Monday December 31, 2007

Hari baru, tahun baru.

Aku cuma mengharapkan agar Tuhan memberikan rahmat-Nya ke seluruh alam.

Tidak ada lagi peperangan, tidak ada lagi permusuhan, tidak ada lagi sengketa.

Dan kita hidup dengan keamanan yang utopia.

Hari baru, azam baru.

Menulis banyak-banyak (bak kata O.D. satu buku satu bulan!)

Membaca banyak-banyak.

Kurangkan masa malas.

Tekan nafsu.

Hari baru, tahun baru, azam baru.

Cuma aku sahaja masih lagi yang lama dan sama! (hehehe…)

Resolusi tahun baru?

Bloged in apa-apa sahaja by john norafizan Sunday December 30, 2007

Pagi tadi aku mendengar berita dari BBC World Service tentang resolusi tahun baru di radio. Kajian oleh ahli akademik di Britain menunjukkan bahawa KURANG 1 dari 10 orang yang membuat azam pada setiap tahun baru gagal untuk melaksanakannya/ gagal untuk mencapainya bila sesuatu tahun itu berakhir.

 

Ia juga memberitahu bahawa majoriti yang membuat lebih dari dua azam pada setiap awal tahun seperti berazam mahu berhenti merokok, menguruskan badan dan mula memakan makanan berkhasiat PADA MASA YANG SAMA biasanya akan GAGAL mencapainya hatta satu pun azam tersebut!

 

Ia juga memberitahu bahawa setiap azam perlu dirancang dengan lebih teliti dan dapatkan sokongan sahabat handai dan keluarga untuk sokongan moral supaya azam itu akan tercapai.

 

Jadi apa azam aku tahun baru 2008 ini.

 

Tahun lepas aku berazam untuk menulis dua buah buku setahun dan ia sudah tercapai (walaupun satu daripadanya diterbitkan pada 2008 iaitu Garis-Garis Deja Vu). Jadi tahun ini aku akan cuba menyiapkan 3 buah buku.

 

Buku pertama harus disiapkan bulan April 2008 nanti. Buku ke-2 bulan Ogos 2008 dan buku ketiga bulan Disember 2008.

 

Aku rasa aku mampu untuk melakukannya.

 

P/S: Tapi kalau tak mampu juga, inilah kali terakhir aku membuat resolusi tahun baru bila tahun baru menjelang! TAK NAK lagi buat azam tahun baru!!!!!

Dari meja Carrie Kirana

Bloged in Uncategorized by john norafizan Sunday December 23, 2007

Cinderella Cinta
Creative Enterprise
2007

Novel ketiga John Norafizan yang berjudul Cinderella Cinta ini lebih banyak tertumpu pada perjalanan mencari cinta seorang wanita gigih - Lara Mia. Lara Mia, gadis kacukan Inggeris-Melayu, berjanji untuk sehidup semati dengan Edri di Pelabuhan Dover, Manchester pada awal cerita tetapi kehilangan Edri secara tiba-tiba membuatkan Lara Mia separuh nanar. Bersama Victor Adam, sahabat baik mereka yang juga menyintai Lara sepenuh hati, mereka menjejak Edri di bumi Pakistan yang sedang bergolak dengan perang saudara melalui pasukan Mercy Manchester.

Di Thalkot, Pakistan, Lara mengenal erti perjuangan untuk membebas diri daripada dikejar bayang-bayang Edri. Walau terpaksa mengharungi detik yang sukar di pergunungan Thalkot, Lara Mia tidak pernah jemu untuk mencari sang arjunanya yang disangka hilang di bumi Pakistan.

Misteri demi misteri terungkap di sebalik kehilangan Edri dan titik jawapan akhir ditemuinya semula di Pelabuhan Dover.

Kisah tentang cinta yang dilihat dari sudut yang kompleks dan juga berupa “signature” John Norafizan ini telah menyerlahkan bakat John dalam menggarap kisah yang mampu menyentuh perasaan saya terutama sekali pada hujung cerita. Kekuatan John sekali lagi terletak pada kebolehannya menggunakan perbendaharaan katanya yang kaya dengan perkataan-perkataan yang mampu menghuraikan perasaan Lara Mia sehingga ia berkesan di dalam hati pembaca.

Watak Lara Mia pula dibina kukuh tanpa menyerah kalah pada keadaan. Saya suka watak Lara Mia yang kental walau kadang kala Lara Mia juga  tewas dalam permainan perasaannya sendiri.

Apa yang membuatkan cerita ini lain daripada lain ialah konflik dalaman Lara Mia yang digarap oleh John Norafizan dari awal hingga hujung cerita. Lara Mia banyak berdebat dengan akal dan perasaannya sendiri dalam menentukan tindakannya sama ada untuk terus mengejar cinta sejati atau akhirnya memilih pilihan yang dihadirkan untuknya.

Kreativiti John Norafizan begitu terserlah terutama di akhir cerita Cinderella Cinta. Itu juga antara keistimewaan John - bijak menyimpul tali-tali misteri yang dibiarkan tergantung sepanjang perjalanan Cinderella Cinta.

Cuma, ada juga insiden klise untuk menghidupkan episod akhir Cinderella Cinta.

Bagi saya, karya ini tetap istimewa seperti karya-karyanya yang lain. Peminat John Norafizan pasti akan merasa puas hati dengan Cinderella Cinta.  Kisah matang ini lebih sesuai untuk mereka yang mahu mencari kepuasan berlainan dalam pembacaan ini.

Rating: ****(Memang bagus dibuat koleksi peribadi)

Blog ulasan buku: Carrie Kirana 

Cinta Metafizik?

Bloged in garis-garis deja vu, cinta by john norafizan Sunday December 16, 2007

Jawapan buat penulis tersohor Serunai Faqir…

Dari kertas kerja falsafah, UKM

Metafizik

fizika - ilmu alam

meta - bahasa Itali bermaksud setelah atau

dibelakang

Metafizik membicarakan tentang segala yang dianggap ada, dipersoalkan hakikat dari segala yang ada itu akan  sebab dan tujuan gejala.

Jika fizik menyentuh segala yang boleh disentuh oleh pancaindera, metafizika mengatakan sesuatu yang tak terjangkau oleh pancaindera.

Jadi cinta metafizik adalah cinta yang tidak terjangkau oleh pancaindera……. :)   :)

Bukan cinta tapi cinta

Bloged in garis-garis deja vu, cinta by john norafizan Thursday December 13, 2007

Ya. Itulah yang aku maksudkan. Novel-novel ku bukan novel cinta semata-mata tetapi menggunakan tema cinta untuk menyampaikan maksud dan tujuannya.

Mungkin kebanyakan dari pembaca yang tidak suka dengan tema cinta tidak akan mahu membaca Sempadan Tanpa Seri (STS), Tunjukkan Aku Satu Bintang (TASB) dan Cinderella Cinta (CC). Alasannya? Tidak suka dengan cinta. Hei! Cinta adalah sesuatu yang universal dan tidak ada sesiapa yang akan terlepas dengan cinta!

Tetapi apa yang aku cuba sampaikan di dalam novel-novelku bukan semata-mata cinta di antara ‘uda’ dan ‘teruna’ yang belum berkahwin, mahu berkahwin tetapi mendapat halangan, akhirnya berkahwin dan bahagia ke anak cucu.

TIDAK. Aku sebenarnya lebih menumpukan kepada cinta kekeluargaan - anak kepada ayah dan ibunya, isteri kepada suaminya, persahabatan yang suci dan yang paling penting sekali adalah CINTA KEPADA TUHAN.

Dan di dalam pencarian itu, ada watak-watak yang akan menemui bahagia, tidak kurang juga yang akan merana sepanjang hayat mereka. dan yang lebih penting lagi, TIDAK ADA SESIAPA YANG AKAN MENDAPAT KEBAHAGIAAN SEMPURNA Itulah realiti kehidupan dan itulah yang aku cuba lakukan di dalam novel-novelku.

Oh! Ya… walau bagaimana pun, kalian akan menemui sesuatu yang lain di dalam novel Garis-Garis Deja Vu.

Bagaimanakah rasanya bertemu dengan ikan-ikan yang berzikir dengan kalimah Tuhan?

Atau tercampak ke alam yang tidak pernah kalian bayangkan selama ini?

Atau ketika di dalam perjalanan untuk mencari bahagia yang hilang, bagaimana dapat mencintai orang yang tidak dicintai?

He He He…..

Aku tidak dapat menghuraikannya dengan lebih dalam lagi. Belum lagi.

Tunggu sahaja bila Garis-Garis Deja Vu keluar di pasaran nanti!

Aku cinta bahasa Melayu!

Bloged in penulisan di Malaysia by john norafizan Tuesday December 11, 2007

Semalam seorang teman datang kepadaku dan memberitahu bahawa dia telah selesai membaca Tunjukkan Aku Satu Bintang.

“Cerita memang best tapi ada problem sikit aja…”

Aku mengangguk tetapi tidak bertanya masalah apa.

“Bahasa yang kau gunakan tu… lain sangat la. rasa weird. tak real. Tak macam novel **** atau ***. Mungkin kau terpaksa gunakan B.I sikit. campur adukkan ayat sebab sekarang ni itulah cara kita bercakap. Itu trend sekarang. Kalau kau ikut cara yang kau tulis sekarang ni, rasa tak nampak betul. Lagi satu, mungkin bahasa berbunga tu kena kurangkan…”

Ya. Aku akui. cara penulisan ku sedikit lain. Tak ada guna bahasa bercampur aduk. Hanya bahasa Melayu totok sahaja! Aku tak menyalahkan kepada mana-mana penulis yang menulis dengan bahasa bercampur aduk. Hmmm… ini negara bebas dan setiap orang (dibaca: penulis) punya hak untuk menulis dengan cara mereka yang tersendiri. Aku tidak punya hak untuk menyelar cara penulisan berbeza ini. Biarlah orang lain dengan cara yang lain, dan aku tetap dengan caraku.
Jika ada yang bertanya kenapa aku tidak mengikut acuan penulisan semasa (seperti kebanyakan karya novel popular), ini kukatakan: Aku cuma mahu mendaulatkan bahasa Melayu dengan cara ku yang tersendiri. Itu sahaja. Tidak ada lebih dan tidak ada kurang.

Sekurang-kurangnya nanti, akan ada yang tahu bagaimana mahu meluahkan perasaan di dalam bahasa Melayu bukan sekadar di dalam bahasa asing sahaja. contohnya ‘masalah’ bukan ‘problem’ atau ‘bagus/baik’ bukan ‘best’!

Sekurang-kurangnya nanti, ia akan dapat membantu sedikit sebanyak tatabahasa pelajar-pelajar di sekolah (yang selalu membaca novel).

Lagipun, bahasa Melayu itu sebenarnya adalah bahasa yang indah. Aku banyak bereksperimentasi dengan perkataan dan rima bunyi bahasa Melayu. Hasilnya benar-benar menakjubkan. Sebab itu aku mahu berkongsi sama ketakjuban itu dengan mereka yang membaca karyaku.

Ya. Mungkin apa yang aku buat ni tidak akan membuatkan novel-novelku menjadi popular. Tidak mengapa. Aku cuma mahu melakukan sesuatu yang lain dari yang lain.
Tidak lebih. Dan tidak kurang.

Sneak Peak novel “43N, 141E” bahagian ke 4

Bloged in Uncategorized by john norafizan Sunday December 9, 2007

(Juga dikenali sebagai Bulan Madu Biru, Cinta ini Luar Biasa, Dekat yang Jauh)


Perkahwinan itu adalah satu perjanjian suci di antara dua insan. Bukan satu paksaan. Dan bukan juga satu perniagaan yang mengharapkan bantuan kewangan atau sokongan. Tidak. Perkahwinan itu adalah janji yang dimeterai dengan nama Tuhan. Dengan keizinan Tuhan.

            Tetapi siapa yang akan berkahwin dengannya?

            Siapa yang mahu mengahwini manusia yang telah disumpah ini?

            Lelaki itu memerhatikan gadis manis yang tersedu-sedu di sisi lelaki yang terbaring berlumuran darah itu. Dia juga mahu menangis sama. Tetapi bila mengingatkan lelaki itu tertawa riang bersama gadis itu tadi, hatinya membara semula.

            Ah! Biarkan musim bunga hari ini dipalit dengan luka. Seandainya Tuhan mahu dia terluka, dia mahu seluruh alam terluka bersama-samanya. Perlahan-lahan dia mencampakkan pistol yang dipegangnya di dalam rimbunan kuntuman mawar merah yang memekar indah. Dia tahu. Tidak, dia yakin. Bunga-bunga tidak akan membelot kepadanya.

            Dan kemudian dia berlari ke arah gadis dan lelaki yang terbaring itu.

            “Qistina! Oh! Qistina! Apa yang terjadi?” Lelaki itu memeluk gadis itu sambil menangis pilu. Gadis itu terkesima seketika. Bagus. Dia melepaskan pelukannya. Dan kemudian menatang kepala lelaki itu pula. Ah. Lelaki itu belum lagi mati. Sialan!

            “Panggil ambulans! Panggil ambulans!” Dia menjerit penuh sayu. Dia menangis penuh sendu. Orang yang berkumpul di situ berbisik sesama sendiri. Mungkin sedang memikirkan tentang tragedi cinta tiga segi yang berakhir dengan kematian. Biarkan.

Dia tidak mahu berfikir tentang itu semua. Dia hanya memikirkan bagaimana mahu membawa gadis itu selamat pulang ke rumah. Jauh dari manusia. Jauh daripada cinta yang mungkin memanggil gadis itu pergi. Untuk selama-lamanya.

            Lima, enam orang yang punya simpati cuba menelefon ambulan.

Dua puluh, tiga puluh minit kemudian ambulans datang ke tempat itu.

Segala-galanya berlaku dengan cepat. Begitu pantas. Mereka menaiki van ambulan bersama-sama lelaki yang masih hidup itu. Dan setengah jam kemudian dia dan gadis itu duduk di bilik menunggu dengan debaran yang masih belum pulih. Dia tidak tahu sama ada gadis itu berdebar-debar kerana menunggu keputusan doktor tentang lelaki tadi. Dia? Dia berdebar-debar kerana tidak mahu menunggu lama di bilik menunggu itu. Bau kematian terlalu sinonim dengan bangunan hospital.

            “Qistina, kita kena pergi sekarang juga!” Beritahu lelaki itu di dalam bahasa Inggeris yang lancar.

            “Aku tak mahu polis mencari kau dan membawa kau ke kedutaan Malaysia!” Tambahnya lagi di dalam bahasa Jepun. Gadis itu kelihatan panik. Tetapi dia tahu. Gadis itu tidak memahami kata-katanya sebentar tadi.

            “Nakamura! Aku tak boleh tinggalkan Akira begitu sahaja. Dia… dia ditembak! Oh! Tuhan… aku kena bertanggungjawab!” Gadis itu membentak. Ada air jernih yang bergenang di kelopak matanya. Lelaki yang dipanggil Nakamura itu tersenyum. Jadi… nama lelaki yang cuba menculik gadis kepunyaannya ini bernama Akira?

            Akira. Akira. Semoga kau mati dan tidak akan kembali lagi mengganggu kebahagiaan kami.

            “Dia akan selamat. Jangan takut… kita balik dulu. Mandi dan esok pagi kita datang semula ke sini. Tapi kalau kau tetap nak, kita lawat dia malam ni. Aku janji!” Dia benar-benar tidak mempercayai bahawa gadis itu akan terpedaya dengan janji palsu itu. Tetapi kemudian gadis itu dengan berat hati mengangguk perlahan-lahan. Cuma matanya sahaja yang mencerminkan curiga.

            “Kau janji, Nakamura?”

            “Untuk Qistina yang aku sayang! Untuk Qistina yang terlalu bernilai, aku akan buat apa sahaja. Kita tak akan pergi melawat dia esok. Oh! Tidak! Kita akan melawat dia malam ni juga!” Ah! Penipuan. Penipuan yang mengasyikkan. Tetapi dia tidak berbohong bila dia memberitahu Qistina  bahawa dia mencintai gadis itu. Cuma tidak mungkin dia akan membawa gadis itu berjumpa dengan lelaki keparat yang ditembaknya itu malam ini. Oh! Tidak! Tidak mungkin!

            “Mari, Qistina! Mari!”

            Sapporo sudah ditelan dengan gelap malam ketika mereka tiba di pangsapuri mereka. Bau bunga-bunga musim semi bermain di bibir udara yang mencengkam dingin. Tiba-tiba lelaki itu tersenyum. Ah! Pangsapuri mereka. Pangsapuri mereka. Dia tidak pernah berfikir seperti itu selama ini.

            Seperti sesuatu yang manis. Pangsapuri itu bukan milik dia seorang tetapi milik mereka berdua. Milik dia dan Qistina. Ya, milik pencinta dan orang yang dicintai.

            “Aku nak tunggu di luar!” Ujar gadis itu tiba-tiba. Lelaki itu cuba untuk tidak mengendahkan kedegilan gadis itu yang berdiri di tepi jalan tar sambil berpeluk tubuh. Dia menghulurkan tambang kepada pemandu teksi gemuk itu dan tersenyum. Pemandu teksi itu turut tersenyum. Mungkin dia sedang berfikir bahawa sepasang kekasih ini sedang bergaduh. Tambahan pula, kedua-duanya hanya membisu ketika di dalam perut teksi tadi.

            Teksi itu meluncur laju dan kemudian hilang ditelan gelap malam. Sekarang cuma tinggal dia dan gadis itu.

            “Qistina, mari kita naik!”

            “Aku takut nak naik… aku… aku… nak pergi dari sini.”

            Wajah lelaki itu berubah muram. Dan dari rasa muram berubah menjadi berang. Dia memandang ke kiri dan ke kanan. Tidak ada sesiapa di situ kecuali samar neon yang suram. Dia mendekati gadis itu lantas menampar pipinya dengan seribu rasa bersalah. Gadis itu terundur ke belakang. Ada kelukaan yang terpalit di dalam sinar matanya yang bundar. Gadis itu sedang berkecil hati dengannya.

            Oh! Oh! Jantung lelaki itu berdegup kencang. Dia tidak bermaksud mahu melukakan sesuatu yang disayanginya. Tuhan, jangan biarkan gadis itu terlepas darinya.

            “Qistina… kau adalah isteri aku. Kau tak boleh jumpa dengan dia lagi!” Dia berteriak ke arah gadis itu dengan suara yang kuat.

            “Aku… aku tak tahu… aku tak tahu… bila aku kahwin dengan kau!” Gadis itu kini sudah terjelepok lemah di atas lantai tanah bersalut rumput tebal. Gadis itu menangis pilu. Dan malam terasa semakin beku.

            “Qistina! Oh! Qistina! Aku tak bermaksud nak marah kau… tapi kau sakit! Kau sakit, Qistina! Sebab tu kau lupa yang kita dah berkahwin lama! Ah! Aku benar-benar menyesal bawa kau keluar tadi! Qistina, lepas ni kau tak boleh keluar lagi!”

            Gadis itu mendongak berang. Buat seketika, kesejukan yang dirasai oleh lelaki itu hilang begitu sahaja. Seolah-olah ada bara yang baru dilontarkan di atas kepalanya.

            “Tolong! Tolong! Ada orang nak culik aku!” Gadis itu menjerit tiba-tiba. Dan kemudian dia bangun dan berlari ke arah jalan raya.

“Tolong! Tolong!” Lelaki itu benar-benar panik. Sebentar lagi, ruang pejalan kaki ini pasti dikerumuni orang ramai. Dan sebentar lagi, dia pasti akan kehilangan gadis itu. Tanpa berfikir panjang, dia terus menerkam ke arah gadis itu dan menamparnya dengan tamparan yang kuat. Terlalu kuat sehingga membuatkan gadis itu terjatuh menyembam jalan bertar dan terkulai pengsan.

            “Oh! Tuhan! Oh! Tuhan!” Oh! Tidak! Bagaimana kalau ada orang yang nampak? Jangan percaya jika kau rasa kau tidak diperhatikan, Nakamura!

            Tanpa berlengah, dia terus mengendong gadis itu dan membawanya ke tingkat lima. Ke dalam pangsapurinya. Ah! Mungkin belum lagi tiba masa untuk memanggil pangsapuri itu sebagai pangsapuri milik mereka berdua. Belum lagi.

            Dia meletakkan gadis itu perlahan-lahan di atas katilnya. Lelaki itu berdiri di sebelah gadis itu dengan pandangan yang asyik. Seolah-olah terpaku kerana melihat bunga yang sedang berkembang mekar di hadapan mata. Gadis bernama Qistina ini telah menambat hatinya. Dan dia tidak akan membiarkan Qistina diambil orang.

            Lelaki itu mengunci bilik tidurnya perlahan-lahan. Kemudian, dia keluar semula dari pangsapuri itu dengan hati yang senang. Segala-galanya akan menjadi baik. Dia pasti. Tuhan tidak akan melupakannya. Bila mentari tersenyum semula esok hari, Qistina akan mencintainya lagi. Tidak ada kesangsian lagi.

            Tetapi ada satu lagi perkara yang harus dilakukannya. Dia harus pergi ke situ. Ya. Malam telah berbisik kepadanya bahawa dia harus pergi ke tepian Akunabaro. Dan itulah yang mahu dilakukannya sekarang.

            Sejam kemudian, seorang lelaki kelihatan sedang terbongkok-bongkok mencari sesuatu di dalam rimbunan mawar di tepian Akunabaro yang sepi. Tidak ada sesiapa di situ kecuali sekumpulan anak muda dan sepasang kekasih yang sedang memadu rindu. Dan masing-masing tidak mempedulikan lelaki itu yang kelihatan memaki hamun kepada dirinya sendiri.

            “Ah! Dah tak ada lagi! Dah tak ada lagi! Celaka! Celaka!” Lelaki itu menyumpah dengan wajah ketakutan. Pistol yang dicampakkannya tadi ketika menembak Akira sudah tidak ada di situ. Bunga-bunga mawar itu telah membelot kepadanya.

Mahu jadi penulis? (Otak kiri atau otak kanan)

Bloged in apa-apa sahaja by john norafizan Thursday December 6, 2007

Persepsi pertama ketika melihat gambar ini. Anda melihat penari ini menari mengikut arah jam atau lawan jam (clockwise atau anticlockwise)?

Jika mengikut arah jam, maka anda banyak menggunakan ‘otak kanan’ anda (lawan jam, otak kiri)

Kebanyakannya akan melihat penari itu menari mengikut lawan jam (anticlockwise), tetapi anda boleh ‘menukar’ pergerakan penari ini jika anda benar-benar fokus.

Nota:

Otak kiri: Logik, matematik, fakta, bahasa, praktikal

Otak kanan: imaginasi, emosi, fantasi, suka mengambil risiko.

(Jadi, seorang penulis itu mestilah di dominasi lebih dengan penggunaan otak kanan huhuhu…)

Sumber: PerthNow 

Tajuk, Tajuk.. di mana kau Tajuk?

Bloged in idea baru by john norafizan Tuesday December 4, 2007

(P/S: Ikut seperti rentak lagu duit, duit nyanyian kembara)

Aku masih lagi tidak tahu apakah tajuk yang sesuai untuk novel ini.

Sinopsis: Seorang gadis yang tidak tahu apa yang berlaku kepada dirinya telah terdampar di pulau Hokkaido Jepun tanpa sebarang memori. Seorang lelaki mengurungnya, seorang lelaki cuba membunuhnya dan seorang lagi cuba menyelamatkannya.

Manakah tajuk yang sesuai?

 

  1. Bulan madu Biru
  2. Cinta ini luar biasa
  3. Buat aku tersenyum
  4. Coklat, Strawberi
  5. Tinggalkan aku di sini
  6. Pelarian
  7. Segalanya atau tiada
  8. Untuk Qistina
  9. Jangan Pernah menangis
  10. transmigrasi
  11. Dekat yang jauh

 

Entahlah… kadang-kadang malas nak difikirkan lagi!

Bloged in penulisan di Malaysia by john norafizan Sunday December 2, 2007

Ketika entri ini ditulis, aku sedang menonton Liza Hanim menyanyikan Tari Silat Melayu di dalam acara gemilang festival filem antarabangsa Kuala Lumpur (KLIF) 2007. Aku jarang menonton televisyen, jadi aku tidak dapat memberi komen sama ada ia adalah satu program yang baik atau tidak. Sama ada ia akan menaik tarafkan industri perfileman Malaysia, ia adalah sesuatu yang sekunder.

Cuma aku terfikir, bilakah pula masanya kita akan mengadakan ‘festival’ atau upacara yang dapat memberikan penghargaan kepada penulisan novel Melayu tanah air? Atau adakah semua penulis Malaysia (disebut: penulis novel berbahasa Melayu) harus menulis novel mereka di dalam bahasa Inggeris dan kemudian mempertandingkannya di pertandingan antara bangsa untuk diiktiraf?

Ya, kita memang ada pertandingan penulisan kreatif seperti hadiah penulisan utusan dan pertandingan menulis novel sejarah Johor (sekadar menyebut beberapa nama). Apa yang aku maksudkan di sini adalah novel-novel kreatif yang TELAH dihasilkan oleh penerbit-penerbit novel Melayu dan bukannya novel khusus untuk pertandingan. Mungkin aku yang khilaf dan memang ada pertandingan seumpama itu di Malaysia ini, sama ada aku yang ketinggalan atau sebenarnya kurang promosi, aku tidak tahu. Apa yang jelas, pada pandangan mata kasar ku ini, ia seolah-olah hampir tidak ada!

Entahlah… mungkin lebih seronok rasanya melihat Anita Sarawak menari ‘tergedik-gedik’ dari memeningkan kepala memikirkan apa yang harus aku taip selepas perkataan ini…..

Selepas perkataan ini…

Selepas perkataan ini…

Selepas perkataan ini…

Selepas perkataan…

Selepas…

Se…

ZZZZZZ

14 queries. 0.638 seconds.
Powered by Wordpress
theme by evil.bert