JN, adakah kau akan menyahut cabaran ini?

Bloged in Uncategorized by john norafizan Thursday November 29, 2007

Ya. Aku akan menyahut cabaran ini. Sesuatu yang tidak pernah aku cuba dan lakukan.

Aku akan cuba untuk menulis dua novel berbeza pada masa yang sama. Mungkin tidak mustahil kepada penulis-penulis lain, tetapi adalah sesuatu yang amat mencabar minda dan imaginasi. Tambahan pula, kedua-dua novel ini datang dari dua genre yang berbeza. Satu untuk novel fantasi dan pengembaraan dan satu lagi karya kreatif.

Judul (novel fantasi kanak-kanak): Aldarian: Vol 1 (novel fantasi kanak-kanak)

Judul (novel kreatif): Cinta ini luar biasa

Doakan semoga aku sukses mengharung ujian yang aku sendiri mengada-ngada tempah ini!

Kulit muka Garis-Garis Deja Vu?

Bloged in garis-garis deja vu by john norafizan Tuesday November 27, 2007

YANG MANA SATU?
garis-garis deja vu

Nampak gaya kena ‘jalan’ terus!

Bloged in Uncategorized by john norafizan Sunday November 25, 2007

Pengarang novel kanak-kanak tersohor, Oshun Muhammad/ E.M. Muhammad yang telah menghasilkan novel kanak-kanak pupular seperti Ajak Kadir dan Ninja Kunaharo (blog) telah menjadi orang pertama yang membaca keseluruhan manuskrip Aldarian yang telah ditulis setakat ini… Berikut adalah komen beliau:

Salam John…

Ini baru dikatakan siri fantasi. Yeap, OD suka dan tak sabar nak baca penghabisannya… teruskan. Memang OD yakin, mss ini akan diterima dan buku ini akan dapat sambutan yang hebat. Karakas tu gunung dalam LOTR tapi tak kisahlah… ngeh… jangan second guessing lagi. John habiskan yang ni dan hantar kepada penerbit.

All the best, John. Salam hormat, salam bahagia dan ceria-ceria selalu.

Hehehe! Lega! Oh! Ya! Dan satu lagi, tak mengapa OD.. Karakas di dalam cerita LOTR adalah gunung tetapi di dalam cerita JN ia adalah tumbuhan ~ entah kenapa suka sangat dengan nama Karakas tu… macam ada ummph! gitu! Lagipon kancil pun boleh digunakan untuk binatang dan kereta, kan? hehehe)

Kepada semua, sabar dulu ye! JN masih lagi menulis novel kanak-kanak JN yang pertama ni, kalau tak sabar juga boleh lah mendapatkan novel Ajak Kadir dan Ninja Kunaharo dulu! Memang berbaloi!

wassalam

Aldarian ’sneak peek’ - bab 5

Bloged in Uncategorized by john norafizan Thursday November 22, 2007

Aku membayangkan dua watak utama, lelaki dan perempuan yang akan mengeluarkan dunia Aldarian dari kejahatan dan kegelapan. Fitri dan Elora. Adakah mereka patut jatuh cinta? Hmmm…. mungkin untuk cinta monyet!

BAB 5

Fitri membuka mata. Serentak dengan itu, jantungnya berdegup kencang.

Oh! Tuhan! Dia bukan lagi berada di dalam hutan di gunung Ledang tetapi di dalam sebuah bilik besar yang tidak bertingkap dan berpintu. Dindingnya melengkung seperti kubah dan dibina dari tanah liat putih. Ada mentol bulat yang memancarkan cahaya terang di atas puncak kubah itu. Fitri memerhatikan sekelilingnya dengan wajah ketakutan. Tidak ada sebarang perabot di dalam bilik itu. Seolah-olah penjara yang tidak ada jalan keluar sama sekali.

Dia tidak memahami apa yang sedang berlaku dan tidak mempercayai apa yang dialaminya ini. Bukankah tadi dia sedang merayau-raya di dalam hutan tebal untuk mencari Fitri yang tersesat? Oh! Oh! Mungkin dia sedang bermimpi selepas terjatuh ke dalam lubang telaga yang dalam dan gelap tadi.

“Engkau tidak bermimpi, Fitri! Aku yang membuka pintu masa dan dunia untuk membawa engkau ke mari!” Bukan kepalang terkejutnya Fitri bila menyedari bahawa ada orang lain di dalam bilik itu. Mustahil! Mana ada orang sebentar tadi? Mustahil!

Tidak jauh dari tempat dia terlena tidur tadi, seorang lelaki tua sedang memerhatikannya dengan pandangan tajam. Lelaki itu kelihatan begitu tua dan seolah-olah sudah berusia ratusan tahun. Rambutnya begitu putih dan panjang. Begitu juga misai dan janggutnya yang telah mencecah sehingga ke paras perut. Namun, seakan memberitahu bahawa lelaki itu sekadar menyembunyikan kekuatannya yang sebenar di sebalik perwatakan yang lemah itu.

“Siapa… siapa kau? Bagaimana… bagaimana kau tahu nama aku? Aku kat mana ni? Mana Haikal? Kembalikan adik aku semula!” Saat itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa takut dan gementarnya tubuh Fitri. Tetapi Fitri cuba untuk menutup rasa ketakutan yang bersarang di benak. Ya, dia memang ketakutan setengah mati tetapi dia juga mahu segera keluar dari dunia yang aneh ini! Bersama Haikal!

Lelaki tua itu tersenyum kecil.

“Nama ku Darius. Aku seorang karman atau di dunia tempat engkau tinggal, mereka selalu memanggil orang seperti aku sebagai bomoh. Dan seperti seorang bomoh di dunia mu, aku boleh mengetahui nama mu dengan cara tersendiri. Tetapi aku lebih dari seorang bomoh, Fitri. Engkau telah aku bawa merentasi pintu masa untuk datang ke sini, dunia yang kami sebut sebagai Aldarian. Selamat datang ke Aldarian!”

Fitri menggeleng kepala tanda tidak percaya. Memang. Sukar untuk mempercayai apa yang dikatakan oleh lelaki yang memanggil dirinya sebagai Darius itu. Mana ada dunia lain selain daripada bumi? Ah! Ini hanyalah mainan fikirannya sendiri. Dengan pantas, Fitri menampar-nampar wajahnya. Oh! Dia mahu segera terbangun dari mimpi aneh ini.

Darius tersenyum buat kali yang kedua.

“Engkau tidak bermimpi, Fitri. Memang sukar untuk mempercayai bahawa ada dunia lain selain dari dunia yang kau diami. Tapi… di luar sana, ada ratusan… malah ribuan hidupan lain di dunia lain, di dalam ruang masa yang lain. Tapi hanya Tuhan yang satu sahaja punya pengetahuan itu. Dan engkau tidak bermimpi.” Fitri terkedu seketika sambil menatap karman tua yang masih tersenyum itu. Bagaimana dia tahu apa yang bermain di fikiran Fitri? Ah! Giliran Fitri pula yang tersenyum lebar.

“Kau… kau cuma mainan fikiran aku aja… sebab tu kau boleh tahu apa yang bermain dalam fikiran aku. Kau boleh tahu nama aku. Aku tahu… bila aku terbangun nanti, segala-galanya akan hilang!” Fitri masih lagi tidak mahu mempercayai apa yang dikatakan oleh Darius.

Kali ini karman itu tidak tersenyum.

“Aku tidak mahu berkata apa-apa lagi. Engkau akan tahu bila kita keluar dari sini. Cuma buat masa sekarang ni, aku terpaksa memberitahu serba sedikit tentang kenapa aku menyeru kau masuk ke dalam Aldarian!”

Fitri tersentak dan tiba-tiba menjadi kaku. Pandangan tajam Darius seolah-olah panah beracun yang membekukan pergerakan otot-otot Fitri. Dia mahu menjerit tetapi tidak ada suara yang keluar. Dia ingin bangun tetapi tubuhnya seolah-olah tidak mengikut perintah lagi. Seolah-olah dia telah terperangkap di dalam jasad orang lain yang tidak mahu menerima kehadiran Fitri di situ.

Perlahan-lahan pandangan mereka bertaup dan menjadi satu.

Fitri seolah-olah dapat mendengar kicauan burung yang menyanyikan lagu alam. Angin yang berhembus dan mendendangkan kedamaian. Hujan yang bercerita tentang rahsia langit dan bumi. Daun-daun hutan yang berbisik tentang Aldarian. Segala-galanya tertulis di dalam setiap detik masa yang berputar. Dan segala-galanya sedang memberitahu Fitri sesuatu:

Tentang rahsia alam. Tentang kewujudan dimensi dan dunia yang pelbagai di luar sana. Tentang dunia Aldarian. Aldarian adalah dunia yang indah. Manusia, magian, pari-pari dan segala binatang hidup di dalam keharmonian. Tidak ada kejahatan. Dan makhluk-makhluk gelap seperti jin dan jembalang tidak pernah mengganggu keseimbangan alam itu.

Tetapi kini Aldarian telah dikuasai oleh kegelapan. Raja magian, Azeroth ahli sihir magian yang paling sakti telah berpaling tadah kepada kegelapan. Peperangan terhebat di dalam sejarah Aldarian telah berlaku di antara kejahatan dan kebaikan. Tetapi kebaikan telah berjaya menakluki kejahatan. Tentera-tentera Azeroth telah lari ke serata alam sementara Azeroth pula telah berjaya dibunuh.

Namun, Azeroth yang bersekongkol dengan makhluk-makhluk kegelapan telah membuat sihir yang paling keji iaitu menghidupkan dirinya sendiri. Dia telah berkuasa semula. Kini dia telah berjaya menemui anak lelaki ketujuh dari anak lelaki yang ketujuh dari anak lelaki yang ketujuh. Sihir hitam yang terkuat. Dan anak itu akan membawa panji-panji kegelapan ke segenap penjuru Aldarian. Aldarian akan hancur kecuali orang yang punya pertalian darah dengan anak lelaki ketujuh dari anak lelaki ketujuh dari anak lelaki yang ketujuh berjaya menamatkan sihir itu…

Fitri tercampak ke dinding bagaikan ditendang oleh kuasa aneh bila pandangan di antara dia dan karman tua itu terputus. Darius telah berpaling wajah ke arah lain. Fitri menarik nafas yang termengah-mengah. Tubuhnya basah dengan peluh. Dia memandang karman tua itu. Darius juga sama sepertinya, termengah-mengah cuba mencari sekelumit nafas.

“Fitri… adik kau Haikal adalah anak yang ketujuh dan ayah engkau adalah anak yang ketujuh dan datuk kau juga adalah anak yang ketujuh. Walaupun Haikal bukan berasal dari Aldarian, sihir hitam Azeroth telah menemui Haikal. Dia telah membawa Haikal ke mari. Tetapi aku berjaya menghidu rancangan sihirnya yang busuk. Dan dalam saat-saat genting, aku telah membuka pintu dimensi untuk membawa kau ke sini. Nasib baik kau berhampiran dengan Haikal, kalau tak… aku sendiri tak mampu untuk menjejaki kau, Fitri!”

Wajah Darius tiba-tiba menjadi muram. Dia memandang Fitri sambil menarik nafas panjang sebelum menyambung kata-katanya.

“Azeroth telah kembali tetapi dia kembali tanpa jasad, Fitri. Dia merancang untuk mengambil tubuh Haikal. Fitri… Azeroth akan bunuh Haikal ketika matahari bertemu bulan di hari Orosis… tepat enam bulan dari sekarang!”

“HAH???”

Fitri terpaku dengan hati yang penuh bercelaru dan tanda tanya. Haikal akan dibunuh? Adiknya akan dibunuh? Dia tidak mempercayai apa yang didengarnya. Tidak mempercayai bahawa lelaki tua bernama Darius ini dan segala-galanya yang ada di sini benar-benar wujud dan bernyawa. Tidak mungkin.

“Oh! Tuhan… Darius… beritahu aku, adakah kita bermimpi?” Tanya Fitri lagi. Ingatannya terbang melayang mengingatkan Haikal. Ah! Dia memang tidak menyukai adiknya yang degil itu. Tetapi sedalam mana pun kebenciannya pada Haikal, dia tidak boleh membiarkan Haikal diperlakukan sesuka hati seperti itu.

“Kau boleh duduk sini dan cuba menipu diri kau sendiri dengan mengatakan bahawa semua ni adalah khayalan sehingga semuanya sudah terlambat dan Haikal mati dibunuh. Atau kau punya peluang untuk selamatkan Haikal dan keluar dari Aldarian. Sekarang, kalau kau dah buat keputusan, kita akan melalui lekuk masa untuk pergi tiga ratus batu dari sini ke gunung Auran dan bertemu dengan naga terakhir yang masih lagi hidup!”

“Bertemu… bertemu naga?”

Darius mengangguk.

“Kita akan dapatkan pedang sakti untuk melawan Azeroth. Cuma kau sahaja yang dapat mengambil pedang itu kerana kau adalah abang Haikal.”

“Aku… aku…”

“Hmm… jadi kau dah buat keputusan untuk menyelamatkan Haikal? Bagus… pejam mata kau, kita akan merentas masa sekarang juga!”

Fitri ternganga. Tidak tahu apa yang harus dikatakannya. Darius telah membuat keputusan bagi pihak Fitri. Dan dia tidak dapat berbuat apa-apa selain mengikut sahaja cadangan Darius tadi. Oh, Tuhan! Tidak ada sesiapa yang akan mempercayainya kalau diberitahu tentang pengalaman ini. Tidak ada sesiapa!

Bulan (madu) Biru - tak tahu yang mana nak mula!!!

Bloged in idea baru by john norafizan Monday November 19, 2007

3 Projek penulisan yang masih lagi baru berputik (termasuk cerita yang tergendala- cinta dalam sepotong keju, fantasi kanak-kanak - Aldarian), kali ini cerita remaja ‘berat’, tajuk awal nya adalah bulan (madu) biru…..

BAB 1

Bagaimana seorang gadis dari Malaysia boleh terdampar di pulau Hokkaido? Gadis yang hanya tahu mengucapkan ‘selamat pagi’ dan ‘terima kasih’ dan ‘apa khabar’ di dalam bahasa Jepun itu tidak sepatutnya berada di sini. Seolah-olah ikan laut yang tercampak di dalam kolam kecil di atas gunung yang paling tinggi. Seperti seekor harimau Afrika yang menggigil kesejukan di tengah-tengah benua Antartika.

Tetapi gadis yang sedang memandang laut Jepun yang bergelora lesu itu tidak menggigil kesejukan. Mungkin kerana udara musim bunga kali ini benar-benar menyenangkan. Seperti berada di tepi unggun api yang hampir malap. Udara yang di tinta dengan sedikit kesejukan salji lebihan musim dingin dan haruman segar bunga-bungaan itu bagaikan hipnosis.

Dan landskap bumi pula menjadi medan peperangan warna-warna alam yang gemilang. Warna-warna bunga biru, kuning, merah, merah jambu. Dan bunga-bunga Lavender dan Sakura yang berkembang mekar. Seperti permaidani semula jadi berwarna ungu pada lantai tanah dan langsir putih (dan dipalit merah segar) jadi tirai pertemuan dua pencinta yang asyik. Tidak ada sesiapa yang waras yang akan meninggalkan Hokkaido ketika musim semi berlangsung!

Tetapi bagaimana seorang gadis dari Malaysia boleh berada di sini?

Mare-shia?”

Gadis itu berpaling ke arah lelaki Jepun di sebelahnya itu. Mungkin jengkel bila ditanya buat kali yang kedua dengan soalan yang sama. Tetapi gadis itu hanya tersenyum malu dan mengangguk (buat kali yang kedua!). Wajah gadis itu benar-benar menakjubkan. Seolah-olah bidadari yang hanya hadir di dalam mimpi. Mata bundar dan kulit seputih salji di puncak Fuji. Senyuman yang manis. Bibir mongel. Rambut hitam ikal separas bahu. Dan kelembutan tersembunyi di balik renungannya yang menyenangkan. Lelaki itu tersengih malu.

“Nama saya Akira. Dan siapa nama awak?” Lelaki yang bergelar Akira itu cuba untuk memulakan bicara. Ah, demi Tuhan! Untuk sesaat itu dia tidak perlu berasa malu. Untuk gadis secantik itu dia tidak perlu berasa malu. Lagipun, dia ada peluang untuk mengasah bahasa Inggerisnya yang sudah semakin berkarat itu!

“Qistina. Nama saya Qistina.” Gadis itu tersenyum lagi. Senyuman yang bagai mekar bunga matahari di musim panas.

Qistina. Qistina. Nama aneh untuk seorang gadis Melayu yang terdampar keseorangan di pulau paling utara Jepun ini. Qistina. Qistina. Tidak akan ada ibu-ibu di Jepun yang akan menamakan anak mereka dengan nama Qistina. Nama aneh. Tetapi nama yang tidak boleh dilupakan.

“Akira. Maksudnya kepandaian. Akira budak pandai.” Katanya sambil membengkokkan lengan menunjukkan kekuatan. Hmm. Apa pula kaitan kepandaian dengan menunjukkan urat lengan? Tetapi gadis itu sudah tertawa kecil. Akira tidak tahu sama ada Qistina a) mengetawakan jenakanya yang tidak lucu itu ataupun b) mengetawakan bahasa Inggerisnya yang sudah berkarat.

“Apa maksud Qistina?”

“Qistina adalah keadilan.”

Dia tersenyum. Gadis itu tersenyum. Dan mentari musim bunga pun turut tersenyum.

Kepandaian dan keadilan bagaikan buku dan ruas. Aur dan tebing. Saling memerlukan. Saling memberi dan menerima. Kepandaian akan menjadi kebongkakan bila tidak ada rasa keadilan pada setiap perbuatan. Dan keadilan itu akan menjadi sesuatu yang lemah bila tidak ada kepandaian yang memimpinnya mengharungi hari demi hari yang mencabar.

Mungkin juga seperti Romeo dan Juliet…

“Qistina, awak bukan pelancong?”

Qistina menggeleng kepala.

“Dan awak ke sini keseorangan… sehelai sepinggang?”

Kali ini mengangguk.

“Jadi kenapa awak ke sini?”

Qistina tersenyum mesra membuatkan Akira menahan nafas. Senyuman itu meluruhkan segenap kewarasan lelakinya. Dan senyuman itu dengan mudah dapat memadamkan mentari yang sedang bersinar ini!

“Akira, kalau awak tahu awak akan mati esok, apa yang akan awak buat dan lakukan?”

Akira tersentak. Seumur hidupnya, inilah kali pertama seseorang bertanya soalan yang seumpama itu. Dan gadis secantik itu yang meluahkannya!

“Er… saya tak tahu…”

“Hmm… Akira, saya tak tahu apa yang awak akan lakukan, tapi inilah yang sedang saya buat dan lakukan!

 

 

 

Thus, this decision!

Bloged in penulisan di Malaysia by john norafizan Friday November 16, 2007

Salam,

It’s tough time. No kidding. I have decided to flip my ‘allegiance’ to another publisher. Yeah, I know it’s a sacrilege but I have to think about my future in this writing business. I would go nowhere.

And for that, I am holding my latest manuscript from being published. Not yet anywhere. So you wouldn’t see GARIS-GARIS DEJA VU (GGD) for the time being. Not yet anywhere.

On the happier note, I am getting back my muse. I’m gonna start writing new piece now. The title of my latest work is undecided. But it’s gonna be fun and better. Better that what I have done so far (well, on par with GGD to say the least).

There won’t be any Manchester (or England) background anymore, I have had enough of it!) but to a new frontier **smiling.

What would it be then?

**smiling again.

It’s JAPAN. Yeah, folks, I am gonna write something ‘unthinkable’….

Sign off.

Wassalam

idea lama tapi baru: novel remaja yang terbengkalai!

Bloged in idea baru by john norafizan Monday November 5, 2007

Sudah ada beberapa bab (9 bab!) tapi aku tak tahu kenapa aku tak mampu meneruskannya… hilang mood? bosan?

BAB 1

            Yana mempercepatkan langkahnya. Sekumpulan anak-anak muda yang sedang asyik bermain gitar tertawa mengekek-ngekek sambil menjerit memanggil namanya. Yana Sepet! Yana Sepet! Jerit mereka tidak henti-henti.

Yana kenal dengan pemilik-pemilik suara setan itu. Salah seorang darinya adalah Salleh anak bilal Samad. Tetapi sebenarnya, tidak ada tokoh pun menjadi anak bilal. Masakan! Ayah sibuk melaungkan azan di dalam masjid sementara anak pula sibuk melaungkan lagu di tepi tembok di hujung kampung.

Satu kampung sudah tahu dengan perangai Salleh yang memalukan. Sebut sahaja nama anak-anak gadis di kampung itu, semuanya sudah diganggu Salleh. Kalau tidak kerana itu pun, mereka kenal benar dengan Salleh yang punya jerawat batu berbonggol-bonggol di wajah. Dan rambutnya? Ya Allah! rambut yang panjang mengurai mengalahkan puntianak!

            Teman rapat merangkap pembantu peribadinya ialah Zamani, pemuda berusia tiga puluh tahun yang suka mencuri ayam penduduk-penduduk kampung. Zamani hanya sempat menamatkan zaman persekolahannya sehingga ke darjah lima sahaja.

Di kalangan rakan-rakannya, Zamani lebih dikenali dengan nama Bob Marley kerana punya rambut panjang berpintal-pintal seperti penyanyi enam puluhan itu. Dan baunya…hanya Tuhan sahaja yang tahu! Dua lagi teman rapat mereka ialah Seman jongang dan Talib jerangkung.

            Yana membetulkan kaca mata berbingkai hitam yang dipakainya dan pura-pura memandang ke tempat lain. Beg besar berwarna biru tua yang digalasnya dibetulkan sedikit untuk mengurangkan rasa lenguh yang sudah merayap di badan.

            Yana berdoa di dalam hati supaya Salleh dan tiga lagi rakan-rakannya itu tidak mempedulikan kehadiran Yana di dalam terik mentari tengah hari itu. Seluar bersaiz besar dan kemeja T labuh bertulis ‘Sukaneka FELDA Pasir Raja’ yang dipakainya membuatkan pergerakan gadis itu sedikit lucu.

            Ah! Pedulikan apa orang kata. Asalkan dia dapat balik ke rumah dengan selamat dan memberitahu ibu tentang berita gembira dari Kuala Lumpur, itu sudah cukup baik. Yana memandang ke hadapan. Cuma selang lima buah rumah sahaja sebelum dia sampai ke destinasinya.

            “Alamak! Cik Yana badut kampung lalulah! Nak ke mana laju-laju tu? Duduklah dengan kita orang!” Yana menjuihkan bibir bila mendengar teriakan Zamani. Salleh pula ketawa terbahak-bahak sambil mengeluarkan kata-kata yang tidak senonoh.

            Yana cuba untuk tidak mempedulikan mereka. Pandangannya terfokus ke hadapan dan langkahnya semakin dilajukan. Secara tiba-tiba, ada satu tangan yang merentap bahunya dengan kuat membuatkan Yana hampir-hampir terjatuh. Kalau Yana tidak menoleh pun, dia tahu Zamani yang memegangnya. Bau rambut Zamani cukup kuat bagaikan bau bangkai tikus dalam sebuah bilik yang tertutup yang tidak ada pengaliran udara keluar!

            “Eh! Apa ni Zamani? Lepaskanlah!” Zamani cuma tertawa senang.

            “Alah, Yana. Kau ni jual mahal lah! Aku tahu kau tu bukannya ada teman lelaki pun. Asyik-asyik berkepit dengan buku. Cubalah bawa bersolek sikit!” Perli Salleh pula yang mengekor di belakang Zamani tadi. Dia kini berdiri betul-betul berhadapan dengan Yana.

            “Kau bukannya ada kawan, Yana… baik kau kawan dengan aku dan Salleh!” Perli Zamani pula. Yana menggetap bibirnya menahan sayu. Dia terasa hati dengan kata-kata Zamani itu.

            Ya! Dia tahu dia tidak punya sebarang kawan. Bukan dia yang sombong tetapi tiada siapa yang mahu berkawan dengannya. Siapa yang mahu berkawan dengan anak orang yang paling miskin di kampung itu?

            Yana juga tahu bahawa fizikalnya juga berbeza dengan adik beradiknya yang lain. Matanya yang sepet dan kulitnya yang putih kuning itu membuatkan pelajar-pelajar di sekolahnya memanggil Yana dengan nama anak Cina pungut.

            Pernah ketika dia berada di dalam darjah lima dahulu, Yana balik ke rumah sambil menangis teresak-esak. Kawan-kawannya (kalau boleh dipanggil kawan!) telah mencuri kasutnya ketika kelas pendidikan jasmani dan mencampakkan ke dalam sungai di belakang sekolah. Dia terpaksa balik dengan hanya berstoking sahaja di dalam terik mentari yang membahang. Tumitnya bagaikan dibakar. Dan sakitnya? Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu.

            Dua hari dia merajuk tidak mahu pergi ke sekolah. Ibu memujuknya dengan membawa Yana ke bandar Kulai yang letaknya kira-kira tiga puluh kilometer dari kampung FELDA Pasir Raja. Ibu memberitahu Yana bahawa dia akan membelikan kasut baru untuk Yana.

            Yana tahu ibu tidak punya duit yang banyak. Arwah ayah telah lama meninggal dunia dan tidak ada apa-apa yang ditinggalkan untuk mereka sekeluarga. Dan pada zaman ekonomi yang tidak menentu itu, berapa kerat sangat hasil kelapa sawit yang mereka dapat? Tambahan lagi gaji yang sedikit itu terpaksa pula dibahagi dua dengan pekerja-pekerja Indonesia yang memotong buah kelapa sawit di kebun mereka.

            Demi Yana, ibu telah mengorbankan sebahagian dari duit perbelanjaan dapur mereka untuk membelikan kasut baru buat Yana. Ibu sanggup melihat Hanafi yang baru sahaja memasuki darjah empat ketika itu dan adik bongsunya Hairul yang berumur empat tahun makan secara ala kadar sahaja. Hampir dua minggu ibu hanya memasakkan bubur nasi dengan lauk ikan bilis dan ulam kangkung yang tumbuh dengan banyaknya di belakang rumah mereka.

            Semenjak dari hari itulah, dia tidak berkawan dengan sesiapa pun. Temannya adalah buku-buku dan perpustakaan yang sudah menjadi rumah keduanya. Dia mahu belajar pandai-pandai dan membalas jasa ibu yang banyak berkorban untuknya. Jadi salah kah dia jika tidak mempunyai ramai kawan?

            “Betul kata Zamani tu… marilah duduk sebelah aku ni!” Sahut Seman jongang yang merestui perlakuan teman-temannya.

            “Tak pun kalau kau malu, kita boleh berasmara di kebun kelapa sawit kat belakang rumah aku tu. Kau seorang, kami berempat!” Sahut Salleh sambil membelai pipi Yana. Yana meronta-ronta sambil cuba mengelakkan wajahnya dari dipegang Salleh. Yang lain-lain sekadar tertawa tanpa rasa simpati.

            “Lepaskanlah aku, Salleh! Aku tak buat apa-apa pada kau. Janganlah buat aku macam ni!” Yana cuba merayu. Air matanya hampir mengalir keluar. Tidak ada orang yang lalu lalang. Jantung Yana berdegup kencang. Bagaimana kalau Salleh benar-benar melakukan apa yang dikatakannya itu?

            “Tolonglah Salleh, Zamani! Jangan!” Yana merayu lagi tetapi rayuannya tidak diendahkan. Salleh menghampiri Yana dan menyentuh dada gadis itu.

            “Kau tahu tak? Kau ni sebenarnya cantik. Baik kau jadi kekasih aku!”

            “Hoi, Salleh! Zamani! Apa yang kau buat pada arwah Pak Mat tu? Kau nak mampus?!!!” Suara Lebai Samad yang menjerit dari jauh dengan enjin motor yang tersengguk-sengguk sudah cukup membuatkan kutu-kutu kampung yang diketuai oleh Zamani melepaskan Yana. Dan keempat-empatnya terpegun bagaikan baru sahaja ternampak hantu!

            Lebai Samad memecut motornya ke arah mereka dan tidak sampai beberapa saat kemudian, satu penampar hinggap di pipi Salleh. Lebai Samad berdiri bercekak pinggang memandang keempat-empat anak muda itu silih berganti. Tidak ada yang berani menentang pandangan tajam Lebai Samad ataupun cuba untuk bersuara.

            Yana mahu tergelak melihatkan Salleh yang kini bagaikan tikus ketakutan.

            “Kau tak ada kerja lain ke Salleh? Malu aku kat masjid… semua orang cakap anak lebai Samad suka kacau anak dara orang!” Lebai Samad mengherdik anak terunanya dengan lantang. Salleh masih lagi tunduk terpaku. Dia tidak berani menatap biji mata ayahnya yang bagaikan hendak tersembul keluar itu!

            “Kami… kami cuma bergurau aja, abah…” Beritahu Salleh terketar-ketar. Dia memang takut dengan ayahnya itu.

            “Kepala otak kau, bergurau macam tu! Aku tak kira, kau balik rumah sekarang! Asar nanti aku nak kau kat masjid. Kau juga Zamani, Seman dengan Talib! Kalau tak ada, aku suruh budak-budak masjid cari kau nanti! Faham?”

            Tanpa sebarang kata, Salleh segera mengambil motornya dan memecut laju meninggalkan Zamani, Seman dan Talib yang masih terpinga-pinga itu. Kemudian, Seman dan Talib pula tergesa-gesa meminta diri untuk pulang ke rumah.

            “Kau pula Zamani, semenjak ayah dan mak kau meninggal, rumah ni dah jadi macam sarang setan! Patutnya kau sebagai anak tunggal banyakkanlah buat amal, sedekahkan Al-Fatihah pada arwah orang tua kau!” Giliran Zamani pula yang terpaksa mendengar syarahan dari Lebai Samad.

            Zamani dengan perasaan malu meminta maaf dan kemudian masuk ke rumahnya tanpa memandang sedikit pun ke arah Yana. Yana mahu tertawa tetapi ditahankannya sahaja. Dia tidak mahu merosakkan suasana yang begitu tegang itu.

            “Dah, Yana… mari Lebai hantar kamu balik… jangan dilayan dengan budak-budak yang tak ada masa depan ni!” Beritahu Lebai Samad, kali ini dengan nada lembut dan mesra. Yana tersenyum dan mengangguk perlahan-lahan. Dia sudah tidak sabar untuk bertemu ibu!

51 queries. 2.842 seconds.
Powered by Wordpress
theme by evil.bert