idea baru: novel fantasi kanak-kanak, boleh ke?

Bloged in Uncategorized by john norafizan Tuesday October 30, 2007

Keh Keh Keh… tak tahu sama ada boleh diteruskan atau tidak…

BAB 1: Kehilangan Haikal

Malam gelap tanpa bintang. Unggas malam berteriak sayu bagai lagu pilu dibawa angin lalu. Bulu romanya meremang sejuk. Fitri memejamkan mata. Seribu satu suara-suara kecil bagaikan menerjah di pendengaran. Di mana Haikal?

Fitri menyumpah di dalam hati. Kalau diikutkan marah, mahu sahaja dia meninggalkan Haikal di dalam belantara gelap itu begitu sahaja. Biar padan dengan muka Haikal yang degil. Sudah beberapa kali diberitahu tadi, jangan merayap di dalam hutan malam-malam begini. Kalau mahu buang air kecil, pergi sahaja di kawasan belukar di tepi khemah.

“Haikal! Haikal! Hoi! Kau jangan nak main-main dengan abang! Kalau aku dapat kau… nahas kau nanti!” Fitri menjerit lagi sambil menahan marah. Namun adik lelakinya yang berumur sepuluh tahun itu tidak membalas laungannya. Sudah tiga kali panggilan Fitri tidak berjawab. Dengan pantas dia menuruni lurah curam dengan hati yang risau.

Ayah yang menyuruh dia membawa Haikal di dalam perkhemahan kali ini. Memang setiap tahun Fitri dan empat lagi rakan baiknya akan pergi berkhemah bila tiba musim cuti sekolah. Tahun lepas ke Desaru, dua tahun lepas ke gunung panti di Kota Tinggi. Tahun ini ayah membenarkan dia dan rakan-rakannya pergi ke gunung Ledang. Lagipun kata ayah, rumah pak Ucu, ayah saudaranya ada di Sagil, Muar. Tetapi Fitri memang tidak bersetuju bila ayah mencadangkan agar Haikal ikut bersama.

Mana boleh! Haikal masih lagi kecil. Kecil dan degil. Mana boleh bercampur dengan orang dewasa sepertinya?

“Hai, Fitri ingat Fitri dah besar ke? Baru aja enam belas tahun!” Sampuk mama sambil tertawa kecil bila melihat wajah Haikal yang masam mencuka ketika dia cuba menentang cadangan ayah tempoh hari.

“Lagipun… Fitri asyik bergaduh aja dengan Haikal. Ni lah masanya nak berbaik-baik adik-beradik. Kan abang sepatutnya baik dengan adik sendiri?”

Haikal tidak dapat menyangkal kata-kata mama. Memang dia tidak menyukai Haikal sejak Haikal dilahirkan lagi. Fitri tahu kenapa. Haikal terlalu manja dan suka merengek. Dan segala apa yang dimintanya pasti akan ditunaikan oleh ayah dan mama. Itu yang membuatkan Fitri geram. Dan lagi, Haikal suka menconteng buku-buku persekolahannya.

Dia masih ingat lagi sewaktu di tingkatan satu dahulu, habis buku karangan sekolahnya diconteng Haikal. Seluruh kelas mentertawakan Fitri. Dan dia dihukum oleh cikgu kerana tidak pandai menyimpan buku-bukunya dengan teliti.

“Haikal! Haikal!” Jerit Fitri pantas meredah semak samun di banjaran gunung Ledang itu. Dia berpaling ke belakang. Nampak unggun api kawasan perkhemahannya yang meliuk-liuk di tiup angin malam. Tidak ada lagi suara jenaka dan ketawa empat lagi rakannya. Mungkin sudah masuk tidur. Kesemua rakan-rakan Fitri mahu menolong Fitri mencari Haikal tadi, tetapi ditolak Fitri mentah-mentah. Fitri pasti Haikal sengaja bersembunyi untuk menakutkan mereka.

“Kalau aku dapat kau, aku lanyak kau cukup-cukup!” Gerutu Fitri sambil melangkah pantas. Daun-daun senduduk dan anak-anak pokok hutan dipijaknya dengan geram. Dia terus menuruni kaki gunung menuju ke tepi sungai kecil yang mengalir lesu.

“Hoi!” Langkah Fitri terhenti. Jantungnya berdegup kencang. Siapa yang berteriak tadi?

“Hoi! Hoi!” Suara yang menjerit itu semakin menjauh. Seolah-olah memberi isyarat agar Fitri mengikutnya.

Dia memandang ke sekeliling. Dahan-dahan hutan berdiri kaku di balik malam yang gelap. Angin seolah-olah telah berhenti bertiup. Dan suara-suara unggas malam yang kedengaran tadi telah hilang begitu sahaja. Malam yang sepi di balik bintang-bintang tanpa sinar.

Fitri menarik nafas sambil cuba menghilangkan ketakutan yang mulai bersarang di hati. Memang ada satu lagi kumpulan perkhemahan yang mereka jumpa petang tadi. Tetapi kumpulan perkhemahan pengakap-pengakap itu berada lebih kurang dua kilometer dari tempat Fitri berkhemah. Tidak ada yang berkhemah di kawasan kaki gunung Ledang ini kecuali dia dan rakan-rakannya. Lagipun, tidak mungkin dia sudah berjalan sebegitu jauh.

“Abang Fitri! Tolong!”

Sah! Kali ini suara Haikal yang memanggil namanya. Tetapi kenapa Haikal menjerit seperti berada di dalam ketakutan? Jantung Fitri berdebar kencang namun langkah kakinya semakin dipercepatkan. Dia sudah tidak kesah meredah semak samun dan belukar di tengah-tengah malam itu untuk mencari Haikal.

Dia berlari ke arah sungai menuruni lembah curam. Paku-pakis hutan diredahnya tanpa peduli. Tetapi kemudian kakinya tersadung akar kayu yang merentangi jalan. Fitri tersembam dan terus jatuh. Tetapi ada sesuatu yang aneh berlaku ke atas dirinya. Benar-benar aneh!

Fitri menjerit ketakutan.

Oh! Apa yang sedang berlaku ini? Dia sepatutnya sudah terjatuh dan menyembam bumi. Tetapi bukan itu yang terjadi kini. Fitri dapat merasakan dirinya seolah-olah terjatuh ke dalam satu lubang telaga yang dalam. Telaga yang tidak punya dasar dan begitu gelap sekali. Tubuhnya melayang-layang merempuh angin yang menggila. Kesejukan meratah seluruh tubuh Fitri. Bagaikan ais yang membekukan nadi dan urat saraf. Dan Fitri terus terjatuh dan terjatuh.

Fitri menjerit meminta tolong, tetapi suaranya bagaikan tersekat di celah kerongkong. Dia benar-benar ketakutan. Dia cuba mencapai apa sahaja buat memaut agar tidak terus terjatuh. Tetapi tidak ada apa-apa untuk dipaut. Fitri terus terjatuh.

Kemudian, satu gegaran kuat bagaikan guruh berdentum membingitkan suasana yang semakin menggila itu. Serentak dengan itu, satu cahaya hijau bersinar dengan terang sehingga menyilaukan matanya buat seketika. Fitri tidak tahu apa yang sedang berlaku kerana pada masa yang sama, tubuhnya semakin lama menjadi semakin lemah.

“Selamat datang ke bumi tengah, wahai penunggang naga yang terakhir!”

Satu suara bergema lantang. Namun ketika itu, Fitri sudah tidak mendengarnya lagi. Matanya terkatup erat. Dia terus terjatuh bagai batu kecil menuju ke bawah. Ke arah dasar lubang besar (atau telaga atau apa-apa sahaja) yang tidak ada dasarnya…

Review: Cinderella Cinta

Bloged in Uncategorized, penulisan di Malaysia by john norafizan Tuesday October 23, 2007

Dari blog mamaerra… terima kasih mama!

“Mia anakku…kau tidak boleh selamanya merindui sesuatu yang dah tiada. Kau harus melangkah ke depan, melihat ke depan kerana di depan saja kau boleh mencari dan mendapatkan kebahagiaan. Tak ada kebahagiaan pada kenangan. Yang ada cuma kepedihan!”

Novel kedua JN aku baca selepas Sempadan Tanpa Seri. Jalan cerita yang bagus. Membaca kisah cinta Lara Mia dan Edri mengingatkan aku akan kisah Uda dan Dara, Laila dan Majnun serta Romeo dan Juliet. Aku kagum dengan kesetiaan cinta Lara Mia terhadap Edri. Hatinya lansung tidak terbuka untuk Victor Adam, walau pun telah berkali-kali lelaki itu bersumpah dan berjanji yang dia sanggup berbuat apa saja asalkan Lara Mia bahagia.

“…Kadang-kadang apa yang kita sangka cinta adalah air mata yang berkilau dengan keindahan. Tapi tak lebih daripada kepedihan hakiki…”

Bernaung di bawah payung Mercy Manchester, Lara Mia menjejaki bumi Pakistan bersama rakan-rakan termasuk Victor dan terselit harapan yang dia akan bertemu arjuna hatinya di sana.

“…hidup adalah kesengsaraan yang harus kita tempuh, walau suka atau tak. Walaupun kadang-kadang kita menafikan dengan mengatakan bahawa kita bahagia… kita masih lagi tidak punya kebahagiaan yang sempurna.”

Tinggalan jejak dan bayangan Edri dapat dirasai… tapi ke mana hilangnya si dia? Mengenali Salimullah dan Fatimah membuatkan Lara Mia semakin hampir kepada kekasih hati. Tetapi mengapa masih belum ditemui lelaki itu? Pertemuannya dengan Babar Yusofzai menambahkan lagi sengsara di hati. Satu-persatu pengorbanan perlu dilakukan demi si arjuna… dengan Ona perasaannya dikongsi bersama.

Kehadiran Zubeidah telah membongkar segala rahsia yang tersimpan…  Walaupun begitu, Pelabuhan Dover masih setia di situ… menjadi saksi dan menjawab semua persoalan si Cinderella Cinta….


Hhmmm… aku suka jalan ceritanya. Seronok juga baca hasil karya penulis lelaki ni, ada kelainan. Payah sebenarnya bagi mereka untuk menyelami dan menghayati perasaan wanita, melainkan mereka telah membuat ‘research’ dan ‘homework’ yang mencukupi sebelum ianya diungkap kepada perkataan-perkataan. Kalau boleh aku pun nak jadi macam Lara Mia tu… tabah dan cekal demi cinta (boleh ke aku ni?) Syabas JN! Sudah semestinya novel ini menjadi salah satu koleksiku. Tak sabar nak tunggu kelahiran Garis-Garis Deja Vu pula tapi sebelum tu kena cari masa pula nak baca Tunjukkan Aku Satu Bintang (tahun lepas novel tu dibeli tapi belum lagi sampai ‘queue’ untuk membaca novel tersebut… hehehe…)

Selepas ini…

Bloged in apa-apa sahaja by john norafizan Sunday October 21, 2007

Salam…

Bagaimana dengan kalian semua?

Sudah satu bulan aku bercuti dari menulis. Sengaja. Insya Allah, aku akan menulis kembali bila November menjenguk.

 

Hmm… aku tahu Ebriza, si penulis jelita tu telah mencabarku untuk menulis novel cinta remaja CINTA DALAM SEPOTONG KEJU, tetapi entahlah…

 

Buat masa sekarang, hati digaru-garu untuk menulis novel fantasi kanak-kanak/remaja…

 

Cinta remaja atau cerita kanak-kanak/fantasi remaja?

 

Hmm… apa yang aku harus buat?

Selamat Hari Raya

Bloged in apa-apa sahaja by john norafizan Sunday October 7, 2007

JN mengucapkan selamat Hari Raya kepada semua, semoga kemaafan dan kemesraan jadi milik kita semua! Lepas raya kita pulun tulis novel banyak-banyak, ok? HUHUHU…

Definasi CINTA

Bloged in cinta by john norafizan Wednesday October 3, 2007

Aku rasa ini adalah turutan cinta yang sebenarnya, walaupun mungkin aku tersilap congak.
1. Cinta kepada Tuhan

2. Cinta kepada nabi

3. Cinta kepada ibu dan bapa

4. Cinta kepada suami/isteri/anak

5. Cinta kepada adik beradik

6. Cinta kepada saudara jiran dan sahabat handai/saudara mara

7. Cinta kepada saudara seagama

6. Cinta kekasih kepada kekasihnya

7. Cinta kepada umat manusia

8. Cinta kepada kehidupan di dunia ini

Tetapi kenapa novel-novel kita lebih banyak menonjolkan cinta yang ke-6 atau cinta yang ke-4?

33 queries. 0.385 seconds.
Powered by Wordpress
theme by evil.bert