karya agung sudah selesai!
Manuskrip GARIS-GARIS DEJA VU sudah berjaya disiapkan. Ayat terakhir ditaip pada pukul 5.20 pagi.
Aku akan mengambil cuti sehari dua sebelum membuat edit yang terakhir sebelum dihantar ke Creative Enterprise nanti.
Manuskrip GARIS-GARIS DEJA VU sudah berjaya disiapkan. Ayat terakhir ditaip pada pukul 5.20 pagi.
Aku akan mengambil cuti sehari dua sebelum membuat edit yang terakhir sebelum dihantar ke Creative Enterprise nanti.
Kali ini ulasan dari Azeel - anda boleh melayari blognya untuk entri yang penuh
novel yang berjudul ‘cinderella cinta’ ini adalah novel ketiga beliau. aku sudah pun membaca kedua-dua novel terdahulu beliau iatu, ’sempadan tanpa seri’ dan ‘tunjukkan satu bintang’ yang merupakan dua novel yang bergandingan antara satu sama lain. pada mulanya aku berfikir, apakah JN mahu menyiapkan satu trilogi tentang jalan cerita yang sama? adakah ada lanjutan tentang watak asnawi yang hidupnya dihabiskan di manchester dengan cinta-cinta yang pernah hinggap di dalam hidupnya. siapakah cinderella asnawi kali ini yang bisa mengetarkan jiwa asnawi yang tabah itu?
rupa-rupanya asnawi dalam novel terbaru inicuma jadi watak tambahan sahaja, bersama anak tirinya daniel. maaf, aku kira lebih sesuai aku katakan, penampilannya sekadar cuma penampilan cameo sahaja. di dalam novel ini, watak utamanya adalah Lara Mia, seorang gadis kacukan melayu-inggeris yang sedang memburu cinta hatinya, Edri yang telah menghilang entah ke mana. di masa yang sama, ada Victor Adam, yang memuja Lara Mia sejak dari kecil, berusaha memujuknya menjadi suri hatinya. dalam perjalanan jauh pencariannya itu, pemburuan cinta ini telah membawa Lara Mia dan Victor Adam jauh dari kota manchester, dan terbang ke khalkot, pakistan dan seterusnya berakhir di johor bahru. jika kamu mahu tahu tentang ringkasan cerita novel ini, kalian boleh sahaja pergi ke laman blog JN sendiri dan cuba mendapatkan gambaran atas apa yang dapat kamu perolehi bila membaca novel berkenaan. di sini, aku cuma ingin mengulas tentang apa yang aku rasakan sejak usai membaca novel ini.
‘cinderella cinta’ ini agak istimewa pada firasatku. tidak banyak penulis lelaki yang berjaya menulis dan menghidupkan watak utama iaitu seorang wanita dalam novelnya. aku pernah membaca beberapa novel sebegini dahulu, tetapi ternyata penulis lelaki selalunya gagal dalam memperhalusi watak utama wanita dalam novel mereka. tapi JN berjaya melintasi halangan ini. kamu mahu tahu kenapa aku ikuti perkembangan penulisan JN sejak dahulu? aku tertarik gaya penulisan monolognya dan permainan ‘fikiran dan perasaan’ yang menjadi trademark dalam penulisannya. JN juga mengamal kelainan, yang lari dari kebiasaan dalam novel-novel di luar sana. seperti mana ruby hazri dengan latarbelakang Jerman dalam ‘percayalah’, JN boleh membawa pembacanya menyusuri setiap lorong di kota manchester. mungkin pengalamannya di sana membuatkan kita dapat ‘menjelajahi’ kota itu secara maya dari novelnya itu. dan kali ini juga, dia turut mengheretkita ke gurun di pakistan yang kering, panas dan berdebu. untuk pengetahuan kalian, aku sudah bertanya pada JN sendiri, adakah dia pernah ke khalkot. kerana dari penulisannya, seolah-olah seperti dia pernah di sana. yg memeranjatkan, dia mengatakan, yang dia tidak pernah langsung menjejakkan kaki di bumi pakistan! inilah yang aku katakan kreativiti penulis. hanya membuat rujukan pada bahan-bahan multimedia, dia boleh bercerita dan menyatakan dengan jelas satu tempat yang tidak pernah dia lewati langsung!
untuk sesiapa yang masih belum pernah membaca sebarang novel JN, mungkin kamu boleh mulakan dengan membaca novel ‘cinderella cinta’ ini dahulu. lupakan dulu tentang 2 novel karyaan JN yg terdahulu. kerana rasanya, sebuah kisah cinta dan kehidupan seorang anak muda yang termuat dalam 2 novel berasingan pasti sekali boleh membuat kamu rasa terbeban. dan ada satu ingatan untuk yang ingin membaca ‘cinderella cinta’. JN seperti novel-novelnya sebelum ini, bukan hanya pandai membuai jiwa kamu dengan perasaan cinta tetapi karyanya pasti ada kejutan yang selalunya akan dileraikan di penghujung novelnya. pada bab-bab awal, aku mengambil masa juga untuk mencari momentum untuk terus membaca. menjelang pertengahan cerita, aku sudah rasa keresahan dengan kedegilan Lara Mia yang begitu keras pendiriannya. aku sering memikirkan kebebalan Lara Mia yang berdiri tegak mempertahankan apa yang dia rasa. tetapi sebaik sahaja wujud watak-watak pembantu di bumi pakistan, yg mulai mempengaruhi kehidupan Lara Mia, bermulalah satu keasyikan. dan aku mulai tidak keruan untuk menghabiskan novel ini sepantas mungkin.
agak berlebihan ulasan aku kali ini, kan? ada kekuatan dalam novel ini yang harus aku suarakan. aku merasakan kepuasan bila aku mengakhiri pembacaanku kali ini. memang aku sudah nantikan kemunculan novel terbaru JN ini sejak tamat membaca ‘tunjukkan aku satu bintang’. ternyata penantian itu berbaloi. dan entah berapa lama lagi, harus aku tunggu kemunculan novel keempat tapi aku berharap JN dapat menentukan untuk masa akan datang, pengembaraan cintanya harus lebih hebat dari 3 novel yang ada! aku mahukan pengembaraan cinta yang lebih menguja fikiranku!
Buat saudara Azeel, Insya Allah novel ke-empat nanti pasti tidak akan mengecewakan anda!
Aku tak tahu seandainya ini adalah satu teknik penulisan yang baik. Tetapi aku tidak menggalakkan mereka yang ingin menjadi penulis mengikut caraku ini.
Ya, aku mengarang TANPA draf atau perancangan bab secara sistematik. ‘Paling sistematik’ yang aku rancang pun ialah dengan berpandukan ringkasan cerita yang ada hanya terdiri daripada beberapa perenggan sahaja asas sahaja. Itupun aku tidak mengikut cerita itu 100%, adakalanya tersasar jauh (seperti ketika mendraf manuskrip Tunjukkan Aku Satu Bintang dulu) Orang kata cara ini tidak bagus, plot tidak akan berkembang dengan sekata, cerita yang bercelaru. Aku akui ia memang benar-benar bercelaru!!!
Kerana itu, untuk Cinderella Cinta, aku telah cuba untuk menulis menggunakan graf sistematik ini, iaitu ketika penceritaan Lara Mia di England.. tetapi otakku tiba-tiba menjadi tepu dan aku jadi ragu-ragu sama ada 1) tolak terus ke tepi draf Cinderella Cinta (nasib baik aku tidak mengambil pilihan ini! SYUKUR!) atau 2) cuba juga meneruskannya di dalam kepayahan.
Aku mengambil keputusan untuk mengikut pilihan kedua. Alhamdulillah…
Tetapi kali ini, aku terus menulis tidak dengan berpandukan draf lagi. Bermula dari Lara Mia menjejakkan kaki ke bumi Pakistan, segala draf dan plot dan perkembangan watak tersimpan di dalam disket mindaku, bukan lagi di dalam coretan di atas kertas atau di dalam komputer.
Ketika itulah aku dapat merasakan satu kebebasan.
Aku tidak tahu kenapa cara menulis ku seperti itu, (dan aku tidak menggalakkan sesiapa pun menuruti caraku), apa yang aku lakukan ialah dengan menggaris beberapa idea tunjang di dalam mindaku:
1. Tema atau penceritaan manuskripku.. (contohnya untuk manuskrip deja vu ini: temanya adalah pengembaraan dan cinta misteri
2. Watak yang menunjangi cerita ini (deja vu: Ashraf, Damien, Nini, Suraya)
3. Serba sedikit tentang diri pemegang watak utama (NOTA: di sini, aku selalunya akan menulis juga deskripsi watak-watak itu di atas kertas - Tetapi bila aku sudah ‘kenal’ dengan watak-watak itu, kertas ini ditinggalkan, kecuali untuk merujuk kepada sesuatu kronologi masa dan tahun.
4. Setelah itu aku akan memilih satu tempat untuk memulakan manuskripku, contoh di Pasir Gudang, atau England….
Dan dari situ, aku akan membiarkan imaginasiku berkembang mengikut cita rasa ‘imaginasi’ itu…. dan aku pun terus menaip dan menaip.
Aku juga akan memberikan beberapa bab untuk dibaca sekadar mendapat maklum balas, kadang-kadang juga aku akan berbincang tentang sesuatu watak yang aku pertonjolkan di dalam manuskrip itu, sekadar untuk membuatkan ia menjadi relevan dan logik di dalam nyata.
Tidak aku nafikan, cara ini mendatangkan keburukan, contohnya untuk Cinderella Cinta, sepatutnya rahsia terakhir jalan cerita itu ialah - Father Thomas Rodriguez yang membunuh Henry, kawan baiknya sendiri dan suami Jeslina - tetapi kerana sudah terlalu banyak sangat informasi di kepala, fakta ini tidak dicoret di dalam buku…..
Itulah serba sedikit petua penulisan ku… dan aku benar-benar tidak menggalakkan cara menulis seperti ini.
Mungkin nanti, aku juga akan cuba untuk menulis dengan cara sistematik yang biasa diamalkan oleh penulis-penulis lain.
Seni adalah aktiviti yang memberikan kepuasan dalaman dan stimuli minda kepada pencipta dan juga pengkritik karya-karya itu sendiri. Manusia memang tidak dapat lari dari seni. Sejak dari zaman Renaissance pada kurun ke 15 lagi, seni menjadi sesuatu yang berharga dan diraikan, pengkarya-pengkarya seni dihormnati sama seperti golongan-golongan bangsawan. Karya-karya seni khususnya dari tokoh-tokoh terkenal menjadi (da vici sekadar sebagai contoh) rebutan golongan-golongan kaya.
Terlalu banyak cabang seni di luar sana - seni lukisan, seni tulisan, seni pertukangan, seni perfileman, seni pembentukan tembikar malah tatoo juga adalah salah satu cabang seni!
Duduk-duduk sambil memerah otak malam tadi untuk manuskrip “Deja vu” ku, aku terfikir, seni tulisan itu, jika ia bukan sesuatu yang paling sukar, ia adalah antara seni yang sukar untuk dihasilkan. Aku tak nafikan, semua orang boleh menulis, malah kanak-kanak berumur tiga, empat tahun sekarang inipun ramai yang boleh menulis. Tetapi memperkembangkan satu jalan cerita seolah-olah kita mencipta dunia tersendiri dengan sorotan perkembangan watak-watak dan konflik yang membuatkan pembaca terpaku dari muka surat pertama sehingga terakhir (yang kadang-kadang mencapai sampai seribu muka surat!!!) - tidak semua mampu melakukannya.
Aku dapat bayangkan, jika aku menceburi seni menyanyi, mungkin aku tak perlu memerah otak seperti sekarang, atau terpaksa berkurung seorang diri bagi menghasilkan manuskrip terbaru ku (*tersenyum-senyum - kalau aku menyanyi - alamat banjir lagilah Johor!).
Atau kalau aku ahli seni melukis, pasti aku sekarang berada di tepi pantai sambil menterjemahkan landskap alam di kertas kanvas (dan minum-minum segelas oren). Ah! Indah betul dunia!
Tapi aku tahu, setiap cabang seni itu ada cabaran dan latihan yang harus dilakukan, yang harus dibuat untuk menghasilkan persembahan karya yang menarik. Walaupun setiap cabang seni itu berbeza, tetapi ada satu perkara yang sama yang menyatukan seni-seni yang berlainan ini.
Apa dia?
BERLATIH DAN TERUS BERLATIH!!!!
Itu adalah jawapan yang aku terima dari dua tiga orang pembeli di pesta buku Kuantan yang aku pergi beberapa hari yang lepas. Lidahku terkelu, tubuhku terkedu dan aku hanya mampu tersenyum malu!
Aku tidak salahkan pembeli-pembeli muda yang rata-ratanya berumur di antara 13-19 tahun. Mereka ini pastinya memilih novel cinta remaja yang mudah dan ringan sebagai bahan pembacaan mereka. Apatah lagi, novel-novel ini dekat dengan kehidupan remaja ini sendiri.
Tapi bagaimana pula dengan yang sudah berumur 30 tahun tetapi masih meminati karya sebegini? Jawabnya, novel-novel cinta dewasa yang aku karang ini tidak punya tempat di dalam dunia penulisan novel di Malaysia! Atau mungkin aku patut menukar genre novel ku arah novel remaja agaknya!
10 pagi! DAN INI ADALAH NEAR-LIVE UPDATE DARI PESTA BUKU KUANTAN!!!


Ramai kenalan kartunis/penulis yang belum datang. Kiranya akulah ‘penulis contoh’ kerana datang awal!
Dua gambar yang dapat dilampirkan di sini.
1) Aku dan kartunis terkenal Ujang
2) Aku dan kartunis “kartun kecil-kecil” Aza
Banyak lagi gambar-gambar menarik yang dapat dilihat di galeri foto JN!
Petang ini meluncur ke Mersing, pekan ikan dan pekan mimpi.
Esok aku ke kuantan, bertemu dengan sahabat-sahabat penulis dan peminat-peminat novel tanah air. Aku yakin kali ini lebih meriah. Hmmm… tak sabar untuk mengemas barang dan menghidupkan suis kereta!!
Johor Bahru.
Mersing.
Kuantan.
(dan mungkin juga teluk cempedak….)
Pelabuhan Dover menjadi saksi ikrar cinta agung Lara Mia dan Edri…
Pelabuhan Dover juga menjadi azimat kecekalan cinta Lara Mia yang hilang…
Dan…
Pelabuhan Dover juga menjadi nisan cinta suci yang bersemadi tanpa makam…
Bumi England menemukan mereka. Mengalun lagu rindu, menganyam permaidani cinta, menyulam janji di hati. Percintaan mereka bukanlah satu dongengan. Kasih yang mereka semai bukan untuk main-main. Andai mati, biar mati bersama.
Lara Mia dan Edri.
Mereka ibarat Uda dan Dara.
Boleh jua dikatakan seperti Romeo dan Juliet.
Atau juga Laila dan Majnun.
Namun kisah cinta mereka tiada penghalang! Cinta mereka terlerai bukan kerana tiada restu! Cinta mereka berkubur kerana janji dimungkiri!
Pemergian Edri ke bumi Pakistan meninggalkan coretan luka di dalam diari hidup Lara Mia. Pemergian tanpa pesan. Tiada kata-kata terakhir. Yang ada hanyalah tanda tanya. Seribu satu persoalan yang bersarang tanpa jawapan.
Tindakan Edri membuahkan sengsara kepada Lara Mia. Victor hadir menghulurkan kembali bahu untuk Lara Mia menangis. Masih menagih cinta yang bertepuk sebelah tangan, Victor sabar menanti sehingga pintu cinta Lara Mia terbuka untuknya. Cinta ditolak bukan bererti tiada peluang, cuma mungkin belum tiba masanya lagi untuk benih cinta bercambah. Biar dia terluka, asalkan Lara Mia bisa tersenyum kembali…
Langit Pakistan sekali lagi menyaksikan kecekalan Lara Mia. Menyertai rombongan Mercy Manchester bersama Victor, Maimoon dan Mohammad; Lara Mia menyimpan harapan yang menggunung untuk bertemu kembali dengan kekasih hati di negara itu.
Di bumi itulah, Lara Mia bertemu Salimullah dan Fatimah dalam usaha untuk membela nasib rakyat Thalkot. Harapan Lara Mia agar nasib kaum wanita di tanah Thalkot berubah (selain dari merubah nasib dirinya dan cintanya sendiri!).
Bermusim di Thalkot, wajah Edri masih segar di dalam ingatan Lara Mia. Namun mengapa jawapan semakin kelam? Satu persatu soalan hanya jatuh berguguran tanpa dijawab. Derita semakin parah, luka semakin mendalam. Ke mana menghilang arjuna hatinya? Bukankah Edri ke Pakistan untuk membantu rakyat di sana sejak dua tahun yang lalu?
Kepada Ona derita dikongsi bersama. Kepada Ona segala calitan hidup diberitakan. Mengapa masih juga belum ketemu orang yang dirindu? Mengapa terlalu payah untuk dia mengutip kembali serpihan cinta yang tinggal?
Pertemuan dengan Babar Yousofzai semakin merumitkan pencariannya. Langkah Lara Mia semakin tersekat. Antara pengorbanan yang harus diberi demi untuk mencari kembali kekasih hati yang hilang atau mengalah pada ugutan lalu terus meratap nasib rakyat Thalkot yang tidak akan berubah, Lara Mia terduduk mencari jawapan.
Zubeidah hadir merungkai segala-galanya. Episod hidup Zubeidah yang lara mendesahkan nafas lega di dalam pencarian Lara Mia. Zubeidah yang menjadi mangsa keadaan adalah punca segala rahsia terbongkar.
Dan sekali lagi…
Pelabuhan Dover menjadi hakim. Pengakhiran cinta yang kecundang… adakah akan tercantum kembali? Janji manis yang mengharapkan kemaafan… adakah mungkin akan menjadi dendam yang terindah? Cinta yang bertepuk sebelah tangan… mungkinkah benih cinta sudah mula bertunas dan akan terus menguntum?
Segala-galanya tertunai di Pelabuhan Dover…
Cinderella Cinta yang bahagiakah Lara Mia?
Atau… Cinderella Cinta yang merana kerana cinta?
Masih lagi… Pelabuhan Dover masih teguh untuk mengungkap segala persoalan…
“… hidup ini adalah rindu yang tak bertepian…”
18 queries. 0.396 seconds.
Powered by Wordpress
theme by evil.bert